30 Mac 2014
Beberapa hari lalu kami melaporkan sikap biadap ahli keluarga warga China yang menjadi penumpang MH370 yang menuduh kerajaan Malaysia menyembunyikan maklumat sebenar dan keluar dari taklimat dengan Malaysia di Beijing.
Malaysia mengumumkan perjalanan MH370 berakhir di Lautan Hindi berdasarkan fakta satelit dan butiran-butiran perjalanan. Hari ini antara nereka tiba di Kuala Lumpur termasuk “ketua pemberontak” “Jiang” yang menuduh kerajaan Malaysia tidak memberi maklumat sebenar kepada mereka.
Sementara itu, Malaysiakini.com melaporkan:
Waris penumpang MH370 dari China mahu Kerajaan Malaysia dan Malaysia Airlines (MAS) meminta maaf kerana mengisytihar kematian kesemua 239 orang dalam penerbangan MH370, tanpa mengemukakan bukti konklusif.
Seorang wakil kepada 34 orang waris berkenaan, Jiang Hui berkata kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertindak dengan tidak bertanggungjawab apabila mengumumkan perkara itu, 24 Mac lalu.
“Kami mahu Kerajaan Malaysia dan MAS memohon maaf kepada keluarga dan waris berkenaan isu ini.
“Pada 24 Mac, Kerajaan Malaysia beri kenyataan tidak bertanggungjawab bahawa kapal terbang terhempas tanpa bukti,” kata beliau dalam sidang media dalam bahasa Mandarin di sebuah hotel di Subang hari ini.
Katanya, mereka kini terdesak kerana pertemuman dengan wakil penting Malaysia sebelum ini hanya memberi “maklumat tidak efektif kepada mereka”.
Mereka juga kesal kerana wakil berkenaan perlu memeriksa maklumat dengan kerajaan Malaysia untuk setiap pertanyaan mereka.
Oleh itu, kumpulan tersebut mahu bertemu dengan wakil dari kerajaan Malaysia, pembuat pesawat Boeing, pembuat enjin, Rolls Royce, syarikat satelit Inmasat serta wakil operasi mencari dan menyelamat bagi mendapatkan jawapan.
“22 hari telah berlalu, tiada satupun mereka menemui kami. Adakah ini bermakna qualiti produk mereka bermasalah?…
“Kami berharap dalam beberapa hari ini kami turut boleh bertemu dengan pasukan penyelamat, MAS dan kerajaan Malaysia untuk berkomunikasi.
Lebih ramai akan tiba
“Kami harap komunikasi ini tak berlaku seperti di Beijing,” katanya.
Kata-katanya itu disambut dengan sorakan slogan “Kami mahu kebenaran”, “Kami mahu bukti”, dan “Kami mahu keluarga kami” oleh kira-kira 30 orang yang lain.
Individu berkenaan turut mengenakan baju-T berwarna putih dengan tulisan “Doakan untuk MH370″ dan “Kembalilah dengan aman” dalam bahasa Cina.
Kumpulan berkenaan turut mempamerkan kain rentang dengan slogan sama.
Jiang turut menyatakan, beberapa lagi anggota keluarga dari China akan hadir dalam minggu ini untuk bergabung dan membawa mesej sama dengan kumpulan pertama ini.
“Kita akan memanggil sidang media di sini sekiranya ada perkara yang hendak disampaikan.”
Kumpulan waris kepada penumpang berkenaan dibawa untuk menyertai satu perbincangan dengan wakil kerajaan Malaysia dan juga Malaysia Airlines di hotel berkenaan, sebaik tiba dari Beijing pagi ini.
Terdahulu, para waris penumpang berkenaan mengunci mulut dan enggan memberi sebarang kenyataan kepada para wartawan selepas pertemuan selama lebih dua jam.
Seramai 15 orang dari 34 orang yang menyertai pertemuan tersebut menegaskan mereka “tidak mahu bercakap”, apabila para wartawan mengerumuni mereka sebaik keluar dari bilik perbincangan di hotel tersebut.
No comments:
Post a Comment