Monday, March 03, 2014

Siapa Ganti Anwar Ibrahim Sebagai Calon DUN PRK Kajang Bagi PKR?

3 Mac 2014


krisis air selangor
Beberapa perkembangan mutakhir yang sedang melanda PKR dan DAP, kelihatan amat melemaskan Anwar Ibrahim. Di tengah-tengah kesibukannya cuba membetulkan semula imejnya setelah dihalau keluar oleh Imigresen Jepun tidak lama dahulu kerana cuba masuk ke negara itu tanpa visa khas memandangkan dia adalah bekas banduan yang telah dikenakan hukuman penjara lebih dari setahun, pelbagai masalah dalaman yang terpaksa dihadapi oleh Ketua Umum PKR yang kelihatan cukup bersemangat mahu menjadi Menteri Besar Selangor demi menyelamatkan kebebasannya dari penjara. Publisiti tentang pemergiannya ke Jepun yang kononnya disambut secara besar-besaran oleh orang Jepun, sekadar satu lagi usaha terdesak yang hanya memalukan diri sendiri apabila helah tersebut terkantoi dengan teruk.

Kata dua daripada Supremo DAP, Lim Kit Siang menambahkan lagi parah. Kata Kit Siang, kemenangan Anwar Ibrahim di PRK DUN Kajang akan dianggap sebagai satu ‘kekalahan memalukan’ jikalau perolehan undi majoriti menyusut berbanding undi majoriti yang diperolehi oleh Lee Chin Cheh yang langsung tidak popular, tidak dikenali dan tidak diketahui latar belakangnya sebelum PRU-13.

Dalam PRU-13, Lee Chin Cheh dari PKR memperolehi 19,571 undi berbanding Lee Ban Seng dari Barisan Nasional 12, 747 undi. Manakala dua orang calon Bebas, Mohamad Ismail dan Mohd Iwan Jefrey Abdul Majid pula hanya memperolehi undi sebanyak 1,014 dan 249 sahaja. Lee Chin Cheh diisytiharkan menang dengan majoriti sebanyak 6,824 undi.

Lim Kit Siang memberi bayangan, Anwar Ibrahim yang dilabelkan sebagai pemimpin dunia, seharusnya menang besar di DUN Kajang. Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin sebelum ini bercakap besar kononnya, Anwar Ibrahim akan menang dengan majoriti lebih 10,000. Bagaimanapun, Zuraidah Kamaruddin yang mula melihat perubahan sikap pengundi di Kajang, sedar jangkaan 10,000 undi majoriti itu tidak ubah seperti menggapai awan untuk dipintal menjadi selendang penutup punggung lebarnya!

Setakat ini, selain Anwar Ibrahim untuk calon PRK DUN Kajang mewakili PKR, Chew Mei Fun mewakili Barisan Nasional, Zaid Ibrahim dan beberapa nama lain akan bertanding atas label Bebas. PRK DUN Kajang sekalipun dilihat tidak seimbang ekoran demografi penduduknya berkapasiti 48% Melayu, 41% Cina, 10% India dan 1% lain-lain bangsa, nama-nama calon yang dibariskan bolehlah dikategorikan sebagai heavyweight. Apatah lagi, sudah menjadi lumrah, PRK seringkali akan menjadi perang besar-besaran dengan segala jentera diturunkan dan ditumpukan ke kawasan tersebut.

Dek kerana itulah, walaupun kempen masih tidak dibenarkan, Anwar Ibrahim dan Pakatan telah menjalankan kempen-kempen pilihanraya secara giat di kawasan tersebut. Anwar Ibrahim – kecuali semasa dia berada di Jepun – hampir setiap malam berkubang di Kajang. Para pecacainya pula seringkali tercari-cari gambar yang menunjukkan sokongan kepada Anwar Ibrahim bukannya berkurangan bahkan bertambah terutama sekali di kawasan Melayu. Kawasan Cina diuruskan oleh DAP dengan sebaik-baiknya dengan menggunakan pebagai teknik dan taktik termasuklah ugutan dan kecaman seperti ANJING UMNO dan Pǎo gǒu (running-dog).

Namun, menjelang beberapa hari lagi sebelum penamaan calon, Khalid Ibrahim yang merupakan Pengarah Pilihanraya PKR untuk PRK DUN Kajang, sudah mula buat perangai. Selain daripada menandatangani MOU dengan Kerajaan Pusat bagi penstrukturan semula pengurusan air Selangor dan meneruskan projek Loji Langat II yang terbengkalai, Khalid Ibrahim bermulut celupar apabila menyatakan bahawa projek tersebut selama ini terbengkalai kerana halangan daripada Anwar Ibrahim.
Ketika Azmin Ali yang bermusuh dengan Khalid Ibrahim cuba menunjuk kuasa selaku Pengerusi PKR Selangor, Khalid Ibrahim muncul lagi dengan satu lagi pengumuman besar, dia akan bertanding menentang Azmin Ali untuk jawatan Timbalan Presiden PKR. Sekaligus pengumuman yang dibuat oleh Khalid Ibrahim itu, akan menyibukkan Azmin Ali yang sudah tentulah akan berusaha mempertahankan jawatan tersebut seboleh-boleh mungkin memandangkan di dalam PKR selain Anwar Ibrahim dan Wan Azizah, dia yang paling senior. Dia merupakan satu-satunya pemimpin PKR yang berasal dari zaman Reformasi manakala pemimpin-pemimpin PKR yang lain, semuanya sudah meninggalkan parti itu dan menentang Anwar Ibrahim kalau tidak pun menyepikan diri dan tidak lagi terlibat dengan politik.

Mungkin disebabkan ‘kekecohan’ yang sedang melanda PKR dan Pakatan Rakyat sekarang, sudah terdengar ura-ura yang Anwar Ibrahim tidak akan jadi calon PRK DUN Kajang. Sebaliknya seseorang yang lain akan dilantik. Nama yang paling hampir adalah Rafizi Ramli yang telah mengaku ‘Kajang Move’ adalah ideanya. Apatah lagi sekarang ini, Anwar sendiri dapat melihat bagaimana wujud dan munculnya kumpulan Cina-Cina pro-BN yang bukan dari MCA atau GERAKAN, sedang giat berkempen, bersaing dengan tentera-tentera biadap DAP sambil menerangkan apa sebenarnya yang berlaku kepada masyarakat Cina Kajang.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan, itulah sebabnya, Anwar Ibrahim meninggalkan Kajang untuk ke Jepun walaupun dalam keadaan biasa, dia tidak akan meninggalkan sama sekali kawasan kempennya  seperti yang dilakukannya sebelum ini. Anwar ke Jepun sekadar untuk mempertahankan egonya dan terus bercakap bohong kononnya dia telah menandatangani MOU dan menarik pelaburan Jepun ke Selangor, walaupun yang dia pergi itu sebenarnya tidak lebih sebagai juruceramah dalam sebuah forum yang tidak ada kena-mengena langsung dengan ekonomi atau perniagaan. Apatah lagi Yayasan Sasakawa yang dikatakan telah meminta maaf kepada Anwar Ibrahim, bukannya siapa-siapa dalam Kerajaan Jepun, malahan tidak ada sebarang kuasa pun di negara tersebut.

Gelagat Anwar Ibrahim itu sendiri sudah menunjukkan dia sebenarnya semakin kurang berminat dengan PRK DUN Kajang memandangkan segala perancangannya tidak menjadi dan berjalan lancar seperti sepatutnya. Justeru, siapa sebenarnya yang akan menjadi calon PKR untuk PRK DUN Kajang nanti?

Dipetik daripada : www. mykmu. net

No comments:

Post a Comment