Tuesday, January 26, 2016

Inilah Dikatakan Lebih Sudu Daripada Kuah.... PH Mahu Sidang Khas Undi Tak Percaya Terhadap Mukhriz

KUALA LUMPUR : Ekoran krisis jawatan Menteri Besar yang tercetus di Kedah sejak minggu lalu, Pakatan Harapan hari ini mahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah diadakan bagi mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata demikian selepas mengadakan Mesyuarat Pakatan Harapan, petang tadi.

"Kita juga bincangkan kemelut MB Kedah, dimana ia perlu mengikut perlembagaan. DUN Kedah perlu mengadakan satu sesi khas untuk membuat undi tidak percaya kepada Mukhriz," katanya kepada pemberita.

Wan Azizah mengulas tindakan sekumpulan pemimpin UMNO Kedah yang mengadakan sidang media pada Rabu lalu yang mengumumkan mereka hilang kepercayaan terhadap Mukhriz ekoran kelemahan pemimpin itu menguruskan parti dan kerajaan negeri.

Sidang media berkenaan diketuai oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mereka menggariskan empat sebab yang mendorong penolakan Mukhriz iaitu, kegagalan menyatupadukan kepimpinan dan jentera parti, tiada sebarang perancangan strategik bagi menghadapi PRU14, gagal menggerakkan jentera parti sejak mengambil alih kepimpinan parti dan gagal mengurus tadbir kerajaan negeri dengan berkesan.

Mengulas lebih lanjut, Wan Azizah berkata krisis berkenaan perlu diatasi dengan segera kerana tidak mahu rakyat menjadi mangsa perbalahan pemimpin negeri.

"Ini bukan kisah siapa jadi juara. Kita nak menjuarai rakyat. Sebab itu kita masuk ke gelanggang politik untuk beri pilihan kepada rakyat. Jika ada kebaikan kita (PH) akan buat perubahan," ujarnya lagi.

Dalam sidang media yang sama juga, Pakatan Harapan kekal dengan pendirian asal menolak tindakan kerajaan untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Mereka menyifatkan TPPA sebagai satu perjanjian perdagangan yang tidak normal dimana tidak menjamin kepada aktiviti perdagangan dan perniagaan, terutamanya sektor kecil dan sederhana selain bimbang akan membawa Malaysia ke arah 'penjajahan' yang baru.

Sementara itu, Pakatan Harapan turut menyifatkan pengumuman Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawa Perdana Menteri tidak melakukan kesalahan dalam siasatan SRC International Sdn Bhd dan wang derma RM2.6 bilion sebagai 'sudah dijangka'.

"Banyak perkara boleh berlaku di dalam Malaysia yang kita sendiri sukar untuk fahami. Apabila Peguam Negara buat keputusan itu, itu sudah dijangka. Sekiranya mereka tidak tukar Peguam Negara, mungkin lain jadinya," kata Wan Azizah.

Terdahulu, Mohamed Apandi dalam satu sidang media hari ini berkata beliau berpuas hati dengan kes siasatan dana berjumlah RM2.6 bilion dimana keterangan saksi dan dokumen berkaitan dikemukakan SPRM menunjukkan dana berjumlah RM2.08 bilion yang dimasukkan ke akaun Najib merupakan sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Siasatan berkaitan SRC International di bawah Akta SPRM 2009 mendapati tiada keterangan menunjukkan Najib menyalahgunakan kedudukan beliau semasa mesyuarat Jemaah Menteri yang memberi kelulusan jaminan kepada wang pinjaman RM4 bilion oleh SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Sementara itu, siasatan di bawah Kanun Keseksaan mendapati tiada keterangan yang boleh menunjukkan Najib mengetahui dan atau dimaklumkan terdapat kemasukan wang dari akaun SRC ke dalam akaun-akaun beliau.

Pada 31 Disember, SPRM berkata ia sudah menghantar kertas siasatan itu kepada Peguam Negara selepas mengambil keterangan hampir 100 individu termasuk penderma RM2.6 bilion.

SPRM bertanggungjawab menyiasat dana RM4 bilion daripada SRC, dan bukan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment