Thursday, January 28, 2016

Yang Untung Politik DAP Jugak....

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr. Mohd Noor Yazid berkata perebutan kerusi antara PAS dan AMANAH di Selangor bagi Pilihan Raya Umum (PRU14) hanya akan memberi kelebihan kepada DAP untuk menambah bilangan kerusi mereka di Selangor.

Di dalam konteks suasana politik di Selangor, bilangan kerusi DAP dijangka tidak akan berkurangan daripada 15 kerusi seperti yang dimenanginya pada PRU13.

Sebaliknya jumlah itu akan bertambah di kawasan milik PAS jika PAS meletakkan calon di kawasan yang sama.

“Setakat ini DAP ada 15 kerusi di Selangor, mereka dijangka akan menambah bilangan kerusi yang lebih besar.

“PAS sebelum ini memenangi 15 kerusi juga dan mereka menang di kawasan yang bukan pengundi Melayu yang besar peratusannya yang masa itu memilih kerana membenci UMNO, jadi sudah tentu apabila PAS tidak bersama DAP lagi, undian akan diberikan kepada Pakatan Harapan,” kata Dr. Mohd Noor Yazid kepada BNBBC.my.

Lebih jelas, AMANAH yang dahulunya mewakili parti PAS bersetuju untuk bersama DAP berbanding PAS akan memberi kelebihan kepada mereka meraih undi pengundi di Selangor.

“Sebagai contoh di Shah Alam, meskipun dahulunya adalah PAS kini milik AMANAH, jika PAS meletakkan calon mereka di kawasan itu, saya kira AMANAH lebih kukuh dan berpeluang menang kerana pengundi bukan Melayu akan memilih parti yang ada kerjasama dengan DAP,” katanya.

Sementara itu, bagi penganalisis politik, Dr. Mohd Azizudin Mohd Sani, perbalahan perebutan kerusi AMANAH dan PAS pula akan memberi kelebihan kepada UMNO berikutan perpecahan undi sekiranya ketiga-tiga parti itu bertanding di kawasan sama.

Bagaimanapun, jika PAS dan UMNO berhasrat mahu bekerjasama, kelebihan akan memihak kepada mereka bagi merebut kerusi yang ditandingi PKR dan AMANAH.

“Cabaran kepada UMNO-PAS untuk rebut kerusi yang diduduki PKR dan AMANAH, kerana PAS juga mempunyai sokongan yang baik sama seperti DAP di Selangor, mungkin jika bekerjasama UMNO perlu beri kerusi kepada PAS untuk membentuk kerajaan di Selangor.

“Namun di kawasan bandar dan pengundi campuran, DAP dilihat sukar untuk ditandingi dan kita sudah jangka DAP tidak akan mengalah dengan mana-mana parti di dalam Pakatan Harapan apatah lagi di kawasan yang majoritinya adalah kaum Cina,” katanya.

Sebelum ini Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, PAS negeri tidak akan beri muka kepada parti AMANAH dengan menyerahkan mana-mana kerusi milik mereka pada PRU14 akan datang.

Tindakan itu katanya, adalah selari dengan tindakan DAP yang tidak berhasrat untuk memberikan kerusi mereka kepada AMANAH di kawasan majoriti pengundi Cina.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment