Friday, January 29, 2016

UMNO 70 Tahun – Jati Diri Generasi Muda Perlu Diperkukuhkan

KUALA LUMPUR : Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi UMNO akan memasuki usianya yang ke-70 tahun dan terbukti berjaya mengecapi zaman kegemilangan mahupun menangani zaman kesuraman.

Tujuh dekad berada di persada politik menerajui negara bukanlah waktu yang singkat. Dapat dilihat bagaimana pemimpin dan ahli masing-masing memainkan peranan membina dan mempertahankan parti keramat ini terutama dari pembangkang yang tidak henti mahu meruntuhkan keutuhan yang wujud.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Muhammad Nazri Mohd Amin berpendapat sebagai satu generasi yang akan mewarisi panji-panji keramat mengharapkan agar parti perlu lebih efisen di dalam memenangi hati generasi muda pada hari ini supaya kelangsungannya tetap utuh sepanjang zaman, memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat.
Bendera UMNO 
Menurutnya, parti perlu lebih dinamik dan berakar pada massa agar persepsi umum yang menyatakan UMNO gagal memahami aspirasi anak muda perlu ditolak sama sekali.

“Di samping itu, kita perlu lebih inklusif untuk mendekati dan mendampingi semua sektor yang berkaitan dengan generasi muda.

“Kita harus bersama anak muda yg minum di ‘Starbuck’, mempunyai ‘Twitter’, ‘Facebook’, ‘Instagram’ dan satu perkembangan yang amat positif apabila sekarang ini kita lihat ramai pemimpin-pemimpin parti yang aktif di media sosial, bertindak mengikut peredaran zaman.

“Kita juga mesti bersama anak-anak muda di kampung yang naik motorsikal tanpa helmet, tidak mempunyai lesen dan pekerjaan tetap untuk mendengar dan menyelami keluhan mereka,” ujarnya kepada media.

Walaupun begitu, generasi muda di dalam parti juga perlu sentiasa mendampingi serta mempunyai hubungan yang erat dengan generasi lama terutama di kalangan Veteran UMNO kerana ia mampu meningkatkan semangat juang parti, katanya lagi.

“Jasa-jasa parti dan jasa-jasa orang terdahulu memang sudah menjadi sejarah, tetapi sebenarnya dengan sejarah itulah kita mampu jadikan sandaran, merencana dan mengatur untuk masa hadapan parti.

“Jati diri yang kuat merupakan ramuan utama yang perlu ada di dalam setiap ahli parti, supaya parti mempunyai ahli dan jentera yang berkualiti terutama bagi mendepani hari-hari mendatang yang pasti akan lebih mencabar,” tegasnya.

Tambahnya lagi, kerana itu juga perkaderan adalah penting di dalam sesebuah parti supaya dapat melahirkan pelapis ahli dan bakal pemimpin yang kuat jati diri, berilmu dan sayang kepada parti melebihi kepentingan peribadi.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan dengan matangnya usia parti, sewajarnya setiap ahli juga haruslah matang dengan memperkuatkan lagi barisan parti dengan menangkis segala serangan dan fitnah yang dilemparkan oleh pihak-pihak yang suka melihat parti berpecah.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment