Tuesday, January 26, 2016

Mukhriz Minta Penyokong Bertenang

Dato' Seri Paduka Mukhriz
JERLUN : Datuk Seri Mukhriz Mahathir minta penyokongnya supaya bertenang dan tidak membuat kacau walaupun tidak puas hati dengan kemelut kepimpinan semasa yang boleh menyebabkan beliau kehilangan jawatan Menteri Besar.

Beliau berkata, hak untuk bersuara itu tetap terjamin dan ia masih boleh dilakukan dalam suasana aman dan tertib.

Katanya, membuat kekacauan dengan mengadakan demonstrasi bukan cara betul dan tidak sesuai dengan budaya masyarakat di negara ini.

“Kita tidak perlu buat demonstrasi dan kekacauan kerana itu bukan cara kita. Kita masih ada hak bersuara dan ia boleh dilakukan dalam majlis seperti ini.

Walaupun kecil, kita masih boleh menyampaikan isi hati kita,” katanya ketika berucap di hadapan kira kira 1,000 penyokongnya di Kampung Sanglang di sini, malam tadi.

Beliau diiringi isteri, Tok Puan Norzieta Zakaria. Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Datuk Aminuddin Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif.

Mukhriz dalam pada itu, membidas penentangnya yang disifatkan tiada modal untuk dijadikan senjata bagi menjatuhkannya.

“Mereka kata saya jarang ada di Kedah dan susah nak jumpa, jadi tiada jalan lain, lucutkan jawatan, mudahnya. Ini semua kalau benar berlaku pun bukan satu isu yang patut menjadi penyebab berlakunya gerakan ini. Ada cara lain yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, apa yang berlaku hari ini adalah disebabkan kelantangannya menyuarakan isu rakyat yang semata-mata dilakukan untuk memperkukuhkan kedudukan parti di hati rakyat.

Katanya, isu harga getah dan kadar enam peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan pada masa ini menyebabkan kedudukannya ketika ini terancam.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment