Tuesday, January 26, 2016

Pengalaman 'Berharga' 2-3 Hari Di Kedah: Apa Salah Penulis??? - Amir Hamzah

Cerita-cerita hangat di kedai kopi di sekitar negeri Kedah benar-benar mengejutkan penulis. Sekiranya ketua-ketua UMNO Bahagian di Kedah yang mahu Dato' Seri Mukhriz Mahathir berundur itu dengar, mungkin mereka akan sembunyi bawah meja sampai 3-4 hari.

Menyusuri 'perang syok sendiri' di kedai-kedai kopi di sekitar negeri jelapang padi itu, penulis dihidangkan dengan pelbagai kisah 'menarik', 'hebat' dan 'pelik'. Tidak tahulah benar atau tidak. Nama pun cerita 'kedai kopi'. Kadang kala kisahnya A sahaja, tapi ditambah abjadnya hingga tidak cukup huruf.

Kisah pertama menceritakan tentang himpunan-himpunan 'rakyat Kedah yang menyokong Mukhriz'. Katanya, setiap himpunan 'selamatkan Mukhriz di Kedah' itu telah dihadiri tidak kurang dari '20,000' peserta.

Ramai benar bunyinya, bukan? Maklumlah, dikhabarkan kempen untuk setiap himpunan tersebut kononnya dikendalikan oleh sebuah pasukan khas yang dikepalai 'ketua perang' yang bertanggungjawab menewaskan PAS di Kedah dulu.

Penulis 'percaya' walau media melaporkan paling ramai pun sekitar 30 hingga 300 orang saja. '20,000' pun '20,000'lah asalkan Mukhriz 'selamat' di Kedah.

Kisah kedua pula ialah mengenai KCS. Khabarnya semua KCS 'menyokong penuh' kepimpinan Mukhriz di Kedah. Siap pula pakcik-pakcik di kedai kopi tersebut tunjukkan pada rakan-rakan mereka keratan akhbar di telefon pintar mereka sebagai bukti.

Lebih mengejutkan penulis, ada seorang pakcik mengatakan khabarnya semua KCS di seluruh Kedah sudah sepakat untuk meletak jawatan sekiranya Mukhriz ditukar dari jawatan Menteri Besar. Benar atau tidak dakwaan pakcik itu penulis tidak pasti.

Walau pun pakcik itu tidak ada gigi, namun cara dia bercerita bersungguh-sungguh benar. Siapa yang sanggah ceritanya silap-silap dapat makan penampar percuma.

Mendengar kata-kata pakcik itu, penulis hampir tersedak air kopi. Jadi selama ini semua KCS 'totok' sokong Mukhriz? Maklumlah, penulis ini orang luar. Manalah tahu apa-apa. Dengar sajalah cerita mereka. Dapat juga 'maklumat sulit' yang terkini.

Tiba pula di sebuah kedai kopi, penulis dapat kisah ketiga. Kisah selfie. Seorang pakcik di kampung itu dikatakan memakai songkok setiap hari sejak dia berjaya 'selfie' dengan Mukhriz di pasar pagi. Di Kedah, pasar pagi dipanggil 'pekan nat'.

Pakcik itu bekerja sebagai penoreh getah dan terserempak dengan Mukhriz di 'pekan nat'. Dia menyesal sebab tidak pakai se'smart' mungkin ketika berpeluang selfie dengan Menteri Besar Kedah itu.

Sejak hari itu, pakcik berkenaan dikatakan tidak lagi pergi memotong getah dan kerjanya ialah menunggu Mukhriz dengan songkok di tangan setiap hari di pekan nat tersebut. Katanya, manalah tahu jika Mukhriz datang lagi. Bolehlah dia selfie sekali lagi dengan imej bersongkok!

Betul-betul 'popular' Mukhriz di Kedah rupanya. Sampai ada yang sanggup berhenti menoreh terkena 'penangan selfie dengan Mukhriz'? Penulis menggaru kepala yang tidak gatal mengenangkan pakcik dengan songkoknya itu. Biar kebulur tidak makan, asalkan dapat selfie dengan Mukhriz?

Penulis tidak dapat lama di Kedah. Penulis bekerja dan perlu pulang ke negeri asal penulis. Namun sepanjang pengalaman penulis menjelajahi negeri itu selama 2-3 hari ini, Kedah adalah hampir sama keadaannya ketika Tan Sri Azizan Abdul Razak mentadbir.

Yang penulis lihat, Kolej Universiti Insaniah masih wujud. Satu lagi yang paling baru adalah kompleks Aman Central yang kecoh ketika hendak dibina dulu. Khabarnya kedua perubahan tersebut adalah kerja Tan Sri Azizan Razak, benarkah?

Pekan Rabu baru pula sedang dalam pembinaan. Khabarnya projek tersebut datangnya dari Kerajaan Persekutuan. Ada UTC di bandaraya Alor Setar dan RTC lain di beberapa RTC di kawasan luar bandar, termasuk di Asun, berhampiran pekan Changlun. Itu rasanya projek dari kerajaan pusat.

Lalu di Kawasan Perindustrian Teknologi Tinggi Kulim yang khabarnya menerima pelaburan 'berbilion', penulis melihat tidak banyak bezanya dengan zaman PAS dulu. Khabarnya, pelaburan yang masuk pun adalah hasil pertolongan Mida, MITI dan Tun Dr Mahathir Mohamad. Dari hasil tangan Mukhriz khabarnya sedang 'dalam perancangan', benar?

Menceritakan kembali apa yang penulis lalui kepada rakan-rakan dari Kedah ketika sudah tiba di negeri kelahiran penulis, penulis diketawakan beramai-ramai di khalayak ramai. Rasa hendak tampar orang pun ada juga ketika itu. Merah muka penulis yang sedia kacak ini dibuatnya.

Cerita kedai kopi pun hang percaya???!!! Itulah kata mereka sejurus sebelum berderai ketawa mereka. Apa salah penulis? Rasa mahu menangis pun ada...

Ditulis oleh : Amir Hamzah

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment