18 Mac 2013
Sama ada sedar atau tidak, isu skandal seks Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berusia 15 tahun. Bermula pada 1997 apabila terdapat tuduhan yang dibuat oleh Karpal Singh dalam Parlimen, diikuti pemecatan beliau dari jawatan Timbalan Perdana Menteri (1998), reformasi dan kes Liwat Azizan (1998-2003), Liwat II (2009-2012), video klip lelaki menyerupai beliau mengadakan hubungan seks.
Dan sekarang muncul satu lagi skandal beliau atau lelaki menyerupai beliau mengadakan hubungan songsang dengan seorang pemuda “triple A”. Sebenarnya orang ramai sudah letih, bosan dan penat dengan skandal yang mengelilingi Anwar bin Ibrahim ini.
Barisan Nasional dalam keadaan kuat dan bersedia memenangi pilihan raya ini dengan majoriti 2/3 biar pun Pakatan mungkin masih menguasai satu atau dua negeri. Justeru kemunculan gambar dan video terbaru ini tidak memberi sebarang keuntungan politik kepada Barisan Nasional dan UMNO.
Politik Licik Di sebalik Skandal Seks?
Sebaliknya, memahami psikologi orang Melayu dan Asia keseluruhan, penyebaran video-video memalukan ini pada saat-saat menjelang pilihan raya mungkin memberi undi simpati kepada Pakatan dan Anwar Ibrahim. Ini pernah terjadi dalam pilihan raya 1999 apabila terdapat gerak kerja UMNO yang terlalu memburukkan Anwar akhirnya memberi undi simpati kepada pakatan pembangkang.
Justeru ia menimbulkan tanda tanya sama ada gambar-gambar sensasi terbaru ini disebarkan oleh Barisan Nasional atau oleh Anwar sendiri. Perilaku dan peribadi Anwar tidak lagi penting kerana apa yang dipaparkan dan disiarkan sebelum ini sama ada di Mahkamah, di dalam media massa mahu pun ruang siber sudah cukup untuk membantu rakyat membuat keputusan sama ada mahu terus menyokong Anwar atau sebaliknya.
Dengan kata lain mereka yang mengambil kira moral dan perlakuan luar tabie Anwar sudah membuat keputusan untuk menolak Pakatan. Manakala mereka yang mahu terus bergantung kepada Anwar akan terus mempertahankan Anwar sehingga ke tahap video hanyalah besi yang tidak boleh menjadi saksi. Jadi adalah tidak mustahil untuk menyatakan kemungkinan gambar perlakuan seks (dan mungkin video selepas ini) yang baru ini disebarkan oleh pasukan Anwar sendiri menjelang pilihan raya Umum.
Pasukan Anwar menyedari bahawa terdapat perubahan besar sikap rakyat terhadap Barisan Nasional sejak enam bulan yang lalu apabila pelbagai program mesra rakyat, penerangan isu semasa dan akhir sekali kesungguhan kerajaan menyelesaikan isu Lahad Datu mendapat impak yang positif. Pakatan dalam keadaan terdesak apabila beberapa kenyataan pemimpin mereka terhadap insiden Lahad Datu telah menimbulkan kemarahan rakyat.
Untuk mengalih isu sikap kurang ajar pemimpin pakatan terhadap pasukan keselamatan, dengan tiba-tiba sahaja isu skandal seks Anwar kembali hidup. Pasukan Anwar sendiri yang menghidupkannya apabila menggunakan Azlan Mohd Lazim, bapa kepada Saiful Bukhari Azlan (yang mengaku beliau diliwat Anwar), untuk memburukkan anaknya sendiri.
Sungguhpun isu ini kembali menjadi perhatian rakyat namun ia tidak sebesar tumpuan rakyat kepada isu kebobrokan perangai dan perkataan Tian Chua dan beberapa lagi pemimpin Pakatan terhadap insiden Lahad Datu. Pakatan perlukan satu isu sensasi besar untuk mengubah perhatian rakyat daripada isu Lahad Datu. Dalam keadaan tersebut tiba-tiba sahaja muncul satu lagi gambar sensasi mmebabitkan individu yang menyerupai Anwar.
Adalah tidak mustahil gambar ini disebarkan oleh kumpulan Anwar sendiri bagi mengalih isu dan menagih simpati. Malah tidak menghairankan jika dalam sedikit masa lagi akan muncul individu yang menyerupai Anwar Ibrahim mengakui bahawa beliaulah lelaki dalam gambar dan video tersebut. Anwar bukanlah begitu bodoh. Tidak mustahil dalam tempoh setahun yang lalu beliau telah membayar seseorang untuk membuat pembedahan plastik membentuk semula wajah seiras dengan beliau.
Malahan dengan membesarkan isu ini, mungkinkah Anwar mencipta jalan dan skrip untuk mengadakan sumpah laknat selepas Parlimen dibubarkan. Sumpah laknat tidak akan menunjukkan kesan dalam masa yang singkat. Malahan menurut para ulama ia mungkin mengambil masa bertahun sebelum nampak jelas kesannya. Jika Anwar memilih untuk bersumpah selepas Parlimen dibubarkan ia sekadar untuk mengelirukan rakyat.
Kita perlu ingat Anwar telah diminta bersumpah sejak beberapa tahun lalu tapi beliau enggan melakukan. Jika beliau melakukan selepas pembubaran Parlimen itu bermakna beliau berbuat untuk kepentingan politik bukannya untuk kebenaran.
Politik Untuk Rakyat
Pilihan raya adalah soal memilih parti yang mampu membentuk kerajaan yang baik dan stabil untuk masa depan rakyat dan negara ini. Barisan Nasional telah terbukti berjaya mentadbir negara ini dengan baik. Daripada sebuah negara yang miskin, bekas tanah jajahan beberapa penjajah, dihurungi ancaman komunis, pergaduhan antara kaum dan ekstremis agama, Barisan Nasional menukar lanskap perpecaham kaum, mundur, buta huruf kepada masyarakat yang bersatu, ekonomi yang membangun dengan pantas dan menghampiri zon sifar buta huruf.
Barisan Nasional menukar negara ini daripada ekonomi berasaskan pertanian kecil-kecilan, ekonomi sara diri dan bergantung kepada eksport komoditi yang tidak stabil kepada sebuah negara yang mempunyai sektor perladangan antara terhebat di dunia, menempatkan diri dalam negara perindustrian sehingga digelar “Harimau Ekonomi Asia” pada 1990-an, mempunyai lulusan universiti yang melebihi pasaran kerja dalam negara.
Telah beberapa kali, kerajaan Malaysia berjaya keluar dari kegawatan ekonomi dengan jayanya termasuklah kemampuan melepasi ancaman ekonomi paling perit pada 1997 kerana diserang oleh spekulator matawang dan juga dikhianati dari dalam oleh individu yang menganjurkan Asian Renaissance.
Menjelang pilihan raya umum ke 13 ini, rakyat telah menilai dan melihat kegagalan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan di Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.
Daripada sebuah negeri terbaik, tersusun dan ditadbir secara cekap sebelum 2008, kini negeri termaju Selangor berada dalam keadaan membimbangkan dan merudum dengan cepat. Jalan berlubang merata-rata, sistem pengurusan sampah kembali seperti awal 90-an, pasir di lombong sesuka hati tanpa kawalan, setinggan sedang menampakkan diri kembali, rumah kos rendah langsung tidak dibina, krisis air dan elektrik menunggu masa untuk berlaku.
Dalam masa lima tahun lagi tidak mustahil Selangor akan kembali kepada keadaan seperti 90-an, dipenuhi setinggan, masalah pengangguran dan jurang pendapatan yang sangat besar antara rakyat.
Rakyat juga sudah melihat dan mengetahui kepincangan dan kedhaifan manifesto Pakatan. Tahun lalu Pakatan melancarkan “Buku Jingga” yang kononnya manifesto mereka untuk memerintah negara. Setelah Barisan Nasional mendedahkan kelemahan ketara Buku Jingga sehingga menyebabkan hampir 80% janji mereka tidak boleh dilaksanakan, Pakatan muncul dengan satu lagi manifesto beberapa minggu lalu.
Sebaliknya Barisan Nasional telah berjaya menguruskan masalah kos sara hidup yang tinggi secara berhemah dan berhemat. BN memperkenalkan sistem petrol dua jenis yang membantu mengurangkan subsidi bahan api kerajaan tetapi tidak begitu membebankan rakyat. BN juga telah melancarkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang secara khusus bertujuan membantu meringankan rakyat berpendapatan rendah.
Kerana kegagalan kerajaan negeri Selangor membina rumah kos rendah, BN terpaksa mengambil inisiatif memperkenalkan skim perumaham mampu milik untuk rakyat terutamanya di sekitar lembah klang.
Suatu ketika dahulu isu ini diselesaikan oleh kerajaan negeri. Beberapa tahun lalu, rumah kos rendah berlebihan di lembah klang sehingga Menteri Besar Selangor ketika itu mencadangkan agar rumah kos rendah yang tidak dapat dijual setelah beberapa tahun dijual kepada golongan yang berpendapatan melebihi RM 2,500 sebulan. Sekarang Pakatan di Selangor melupakan terus agenda rakyat sebaliknya bersengkongkol dengan Pemaju melupuskan kuota rumah kos rendah.
Justeru BN tidak memerlukan skandal seks Anwar Ibrahim untuk meyakinkan rakyat mengenai kemampuan dan keupayaan meneruskan kepimpinan yang cemerlang dalam pentadbiran negara Malaysia ini. Barisan Nasional hanya memerlukan manifesto yang meyakinkan rakyat menjelang pilihan raya umum ke 13 ini.
Apa yang BN perlukan ialah kesatuan dalaman dan rekod pentadbiran yang cemerlang untuk meyakinkan majoriti rakyat parti mana yang lebih layak memerintah.
Mengenai individu bernama Anwar bin Ibrahim, biarkanlah ia menyelesaikan isu peribadinya. Jika beliau bersumpah laknat pun menjelang PRU ke 13 ini ia tidak membuktikan apa-apa kerana sifat sumpah laknat itu sendiri bukanlah dalam bentuk pembalasan serta-merta. Jika ada individu yang muka seirasnyapun ia tidak membuktikan bahawa beliau tidak terbabit dalam kegiatan tidak bermoral yang didakwa. Jika kita yakin beliau tidak terbabit pun ia bukan alasan untuk meberi undi kepada Pakatan sewenang-wenangnya.
Saya suka menurunkan semula pandangan bekas mentornya Dr. Sidek Baba, (yang lebih kurang berbunyi) “saya tidak boleh menyatakan Anwar terbabit atau tidak dengan kejadian liwat dan zina seperti yang didakwa. Namun pembabitan beliau dengan pluralisme dan liberalisme Islam; hubungan yang akrab dengan tokoh-tokoh Yahudi terkemuka; tingkah laku beliau kebelakangan ini, meyakinkan saya untuk tidak lagi bersama perjuangan politik beliau.”
No comments:
Post a Comment