Thursday, March 07, 2013

"Kalimah Allah" Bukti Manifesto PR Janji Yang Lingkup


7 Mac 2013


Dalam Islam, terdapat beberapa dosa yang tidak akan Allah S.W.T ampunkan walaupun seseorang Muslim itu bertaubat atas apa dosa-dosa yang dia lakukan.

Antara dosanya seperti yang tertulis dalam Kitab Tanbihul Ghafilin adalah 1. Makan harta anak-anak yatim, 2. Menuduh wanita Solehah berzina, 3. Melakukan sihir, 4. Lari dari medan perang, 5. Membunuh para Nabi yang diutuskan oleh Allah S.W.T dan yang terakhir, 6. Mensyirikkan Allah S.W.T.

Paling berat dosa yang Allah S.W.T sedih sekiranya setiap dari hamba-hambanya lakukan adalah mensyirikkan Allah dengan menyamakan kedudukan Allah S.W.T dengan sesuatu perkara di muka bumi ini.
Seperti mana firman Allah S.W.T dalam Surah Luqman, ayat 13, yang bermaksud;

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya: “Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.”

Benar, menyekutukan Allah yang juga mensyirikkan Allah S.W.T itu adalah dosa yang teramat besar dan secara tidak langsung, terserlah sifat zalim dalam diri seseorang hamba.

Mutakhir ini, isu penggunaan kalimah Allah hebat diperdebatkan hinggakan isu tersebut diseret ke kancah politik.

Ini kerana, isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain dicetuskan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada 24 Disember tahun lalu yang membuat gesaan supaya kerajaan persekutuan memberikan kebenaran kepada penganut Kristian menggunakan kalimah itu.

Selain itu, Guan Eng juga menggesa agar kalimah Allah dibenarkan dicetak dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu.

Ternyata, permintaan Guan Eng itu dalam langkah untuk merealisasikan salah satu manifesto Pakatan Rakyat, iaitu ‘Reformasi Institusi Islam dan Keagamaan’ yang menekankan aspek ‘Menjamin hak kebebasan beragama dan mengamalkan istiadat keagamaan kepada penganut agama lain seperti yang dijamin Perlembagaan’.

Perkataan ‘Reformasi’ jelas menunjukkan pakatan pembangkang dalam usaha merombak keseluruhan tentang agama Islam agar setiap hukum-hukum Islam dapat diguna pakai oleh penganut agama lain.

Ia sejajar dengan makna sebenar perkataan itu menurut Kamus Dewan Bahasa, keperluan melakukan perubahan atau pembaharuan sistem yang sedia ada. Malah, ia juga membawa makna strategi yang diatur untuk memastikan kepentingan mereka tidak diganggu oleh rakyat.

Ini jelas menunjukkan, parti DAP semakin lama semakin berani meminta parti PKR dan Pas mengikut segala permintaan mereka dalam ke arah mewujudkan negara yang berbentuk sekular dan tidak terikat dengan hukum-hakam agama Islam.

Permintaan Guan Eng itu dipersetujui oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila pada 8 Januari lalu, Abdul Hadi mengumumkan pendirian pakatan pembangkang yang menyatakan Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka.

Pendirian bersama pakatan pembangkang itu turut dipersetujui Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Presiden PAS, Mohamed Sabu.

Di sini harus jelas, permintaan Guan Eng itu mengajak ahli-ahli seangkatannya yang beragama Islam seolah-olah menyekutukan Allah S.W.T yang bersifat satu.

Tidak ramai yang jelas dan dapat melihat tujuan utama Guan Eng menggesa permintaan tersebut kerana, hakikatnya, permintaannya itu adalah untuk menyamakan kedudukan Allah S.W.T dengan Tuhan dalam agama mereka yang bersifat banyak serta mempunyai anak satu, dua atau tiga.

Sekali lagi, di sini harus jelas. Tindakan Guan Eng itu sebenarnya mahu menjatuhkan institusi agama Islam di Malaysia dengan berlandaskan manifesto mereka iaitu melakukan reformasi dalam agama Islam sendiri yang ternyata menyimpang jauh dari langkah yang sebenar.

Apabila Guan Eng dapat menguasai satu-satu isu dalam agama Islam, tidak mustahil beliau akan lebih mudah untuk memijak-mijak setiap perkara yang termaktub dalam Al-Quran.

Apakah parti Pas tidak sedar bahawasanya, terjemahan kalimah Allah S.W.T ke dalam kitab Bible bagi menggantikan perkataan ‘God’ atau ‘Lord’ orang Kristian adalah haram? Tidakkah ia sama seperti menyekutukan Allah S.W.T yang bersifat satu dek kerana menyamakan Allah dengan Tuhan ciptaan agama lain?

Umat Islam harus sedar, setiap manusia sememangnya melakukan dosa tetapi apabila sampai satu tahap, perlu untuk kita sedar dan kembali bertaubat dengan Allah S.W.T. Bagaimana pula dengan dosa mensyirikkan Allah S.W.T? Nauzubillah!

Dalam kekecohan menentukan sama ada agama Kritstian boleh atau tidak menggunakan kalimah Allah, Majlis Syura Ulama Pas pada 13 Januari, majlis itu memutuskan kalimah Allah adalah khusus untuk agama Islam dan tidak boleh digunakan penganut agama lain berikutan bantahan banyak pihak termasuk golongan alim ulama.

Kenyataan itu diperkukuhkan dengan pandangan dari Tuan Guru Dato Haron Din yang menegaskan, perkataan Allah itu tidak boleh diguna pakai oleh agama lain.

Ini jelas menunjukkan, Abdul Hadi sudah mendahului Majlis Syura Ulama Pas kerana tidak mempunyai kesepakatan dalam menentukan perkara penting buat umat Islam ini.

Perkara itu juga diperakui oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Hadi sendiri telah menyediakan kenyataan bersama Pakatan Rakyat mengenai ketetapan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dan turut ditandatangani veteran DAP Lim Kit Siang pada 8 Januari lalu.

Anwar dalam ceramahnya di Ketereh, Kelantan baru-baru ini berkata beliau meminta nasihat daripada Presiden Pas itu untuk memberikan pandangan dari segi agama dan fahaman Islam sebelum Pakatan Rakyat membuat keputusan bersama mengenai perkara itu.

Jadi, dapat dilihat di sini, Abdul Hadi langsung tidak mempunyai kesepakatan dalam berbincang isu agama ini bersama ahli-hali Majlis Syura Ulama Pas yang lain. Tidak bermakna Abdul Hadi juga ahli majlis itu, beliau mudah untuk membuat keputusan sendiri tanpa berbincang dengan ahli-ahli yang lebih tinggi kuasanya.

Berbalik kepada soal manifesto pakatan yang mahu melakukan reformasi terhadap institusi agama Islam, apakah pakatan pembangkang lebih-lebih lagi parti Pas yang memperjuangkan kesucian dan agama Islam mahu melihat dengan membenarkan agama lain menggunakan kalimah Allah dengan sesuka hati, kesucian Islam itu sendiri sudah tercemar?

Percayalah, sekiranya perkara seperti itu dibenarkan, tidak akan ada satu institusi Islam yang akan dijulang tinggi dan dijaga dengan rapi seperti sekarang sekiranya Pakatan Rakyat mentadbir negara.

Tidak mustahil, imej dan kesucian Islam akan lebih mudah dicemari, kerana sebagai contoh, sekiranya remaja-remaja kini tidak mendalami agama Islam dengan lebih baik, apabila mereka melihat kalimah Allah berada dalam masjid atau pun gereja, boleh jadi remaja tersebut akan menganggap agama Islam itu sama dengan agama lain walhal Allah itu hanya satu, hanya untuk Islam.

Rakyat Malaysia harus sedar, inilah bentuk reformasi dalam Institusi agama dan Islam yang sebenar-benarnya yang mahu dilakukan oleh pembangkang.

Mereka lebih gemar menghalalkan matlamat mereka dari cara-cara yang diambil. Ya, perlu diingatkan lagi, dalam setiap perkara, tidak kira perkara politik, kehidupan, mahu pun apa sahaja, hukum dalam Islam harus diambil kira.

Justeru, pakatan pembangkang harus membuka balik setiap perincian manifesto mereka yang ditulis dan disenaraikan.

Kerana hingga kini, tidak ada satu pun manifesto yang mereka canangkan dapat dilaksanakan. Gendang lebih kuat dipukul dari langkah kaki yang dibuat.

Dipetik daripada : www. mykmu. net

No comments:

Post a Comment