Wednesday, March 06, 2013

Pemimpin Pakatan Hina Anggota Keselamatan, Manifesto Dibakulsampahkan


5 Mac 2013


Quote01 - Keluarga Koperal Sabarudin Tuntut Tian Chua Mohon Maaf

Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa segala tindak-tanduk yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi parti Pakatan Rakyat (PR) ternyata memakan diri mereka sendiri.

Paling mudah dan terlalu singkat untuk diterjemahkan adalah situasi yang melanda dalam diri salah seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua.

Baru beberapa hari insiden pencerobohan kumpulan bersenjata yang mengakui mereka dari Kesultanan Sulu, Ketua Penerangan PKR itu telah menerima tamparan hebat dek kerana kedangkalannya mengeluarkan kenyataan isu yang telah pun meragut dua nyawa perajurit negara kita.

Kata Tian Chua, dia menuduh insiden tembakan yang bermula di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah itu pada Jumaat lalu adalah ‘konspirasi terancang kerajaan UMNO’.

Malah, Tian Chua jua melabelkan perajurit yang berkhidmat untuk negara melawan musuh-musuh adalah sebagai ‘komando mati katak’.

Sebagai seorang Yang Berhormat dan katanya disegani oleh ramai pihak, Tian Chua tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan tersebut apatah lagi dibuat secara terbuka di laman sosial Twitternya memandangkan terlalu banyak mata-mata yang akan sedar akan tindakannya itu.

Bukan itu sahaja, kenyataannya itu juga dibuat terang-terangan dalam Keadilandaily.com, tidak lama selepas insiden tembak-menembak itu.

Ini kerana, sebelum berlakunya insiden cemas itu, Pakatan Rakyat (PR) baru sahaja membentangkan manifesto mereka dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Mungkin tidak ramai yang sedar, PR mempunyai niat murni untuk membantu menjaga kebajikan dan hal-ehwal perajurit atau pun anggota-anggota keselamatan negara kerana pihak ini telah pun bergadai nyawa mempertahankan negara dari diceroboh musuh-musuh.

Namun, selepas dua anggota keselamatan dari VAT69, Squad 69 dan Special Branch itu rebah di medan peperangan, Tian Chua secara tidak langsung telah menjahanamkan ‘Manifesto Rakyat: Pakatan Harapan Rakyat’.

Bagi yang belum menyelidik, bukalah buku manifesto pakatan pembangkang itu dan baca perincian ‘Membela Ekonomi dan Kebajikan Perajurit’ di halaman 17.

Apa yang dibentangkan oleh pembangkang adalah untuk menaik tarafkan ekonomi dan kestabilan kewangan setiap perajurit negara.

Kalau difikirkan, memang tidak ada kaitan antara menjana ekonomi perajurit negara dengan isu Lahad Datu ini.

Tetapi, cuba difikirkan sedalam-dalamnya, dengan tindakan Tian Chua yang mengeluarkan kenyataan mengutuk perajurit negara yang sedang berkhidmat untuk negara adakah itu boleh diklasifikasikan sebagai menjaga KEBAJIKAN PERAJURIT?

Skop menjaga kebajikan perajurit negara tidak terlingkup ruangnya hanya dalam membantu kestabilan ekonomi mereka.

Ia juga mencakupi elemen-elemen seperti menghormati dan menghargai setiap jasa yang mereka taburkan serta sentiasa memberikan sokongan padu dalam mereka membanteras jenayah.

Cuba difikirkan, sejak kekecohan insiden tembak-menembak di Lahad Datu, apakah Tian Chua sendiri mahu pun pemimpin tertinggi PR seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan kata-kata semangat atau ucapan takziah kepada keluarga yang telah kehilangan insan tersayang dalam kejadian tersebut? Tidak ada!

Sikap menzahirkan rasa simpati dan sedih atas kehilangan perajurit negara bukankah itu juga sebagai menjaga kebajikan perajurit dan menghargai mereka.

Justeru, PR ternyata terlupa dengan manifesto yang mereka canangkan beberapa minggu sebelum berlakunya kekecohan di Lahad Datu.

Mereka juga masih lagi lompong dalam menangani setiap janji yang mereka taburkan buat rakyat yang tidak buta mata, akal dan fikirannya di Malaysia ini.

Sekiranya Tian Chua boleh menuduh kerajaan UMNO sebagai konspirasi terancang dalam insiden tembakan di Lahad Datu, apakah tuduhannya itu sebenarnya sebagai alasan supaya ramai pihak tidak menghentam PR kerana manifesto mereka yang terlalu goyah dan tidak masuk akal? Mungkin juga.

Dipetik daripada : www. mykmu. net

No comments:

Post a Comment