Wednesday, October 28, 2015

‘Livechat’ Pertingkat Komunikasi Antara Masyarakat

mustafar_MACC_FBpic_090815
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memperkenalkan ‘livechat’ pada penghujung tahun ini sebagai langkah untuk mempertingkatkan pengetahuan ramai mengenai jenayah rasuah.

Memetik laporan dari Bernama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali memaklumkan, ‘livechat’ tersebut akan diaktifkan dalam ‘mikrosite’ Pusat Pencegahan Rasuah dan Etika (ACE).

“Kalau sebelum ini kami memberikan ceramah, memang itu ‘live’ tetapi sekarang ini kami berinteraksi secara maya. Orang (berada jauh) beribu batu secara tidak langsung cepat mendapat maklumat,” katanya.

ACE dilancarkan pada 6 Oktober lalu merupakan pusat khidmat nasihat dan rujukan amalan-amalan baik berkaitan pencegahan rasuah dan sebagai satu inisiatif di bawah Program Transformasi SPRM.

Ia juga sebagai platform menyediakan pengetahuan, maklumat, kesedaran mengenai rasuah, dan juga keperluan pencegahan rasuah bagi sektor awam dan swasta.

Mustafar berkata buat masa ini, SPRM telah menjalin kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), bagi berkongsi maklumat mengenai amalan terbaik, garis panduan dan kajian kes mengenai pencegahan rasuah dalam industri binaan.

Kerjasama serupa juga sedang dibincangkan dengan pemain industri kesihatan, katanya, dan menambah lebih banyak kerjasama serupa dengan pelbagai industri lain akan dijalin secara berperingkat.

“Apa yang akan ada di dalam ACE nanti, antara kandungannya ialah the maklumat asas mengenai apa itu rasuah, akibat rasuah, macam mana rasuah boleh berlaku.

“Kami juga akan paparkan amalan-amalan terbaik yang dikongsi pemain industri tempatan dan antarabangsa melalui kerjasama yang kami jalinkan, ia boleh berbentuk sebagai akta, antaranya Bribery Act-UK, Foreign Corruption Practice Act-US,” katanya.

Dalam pada itu Mustafar turut menjawab isu berkaitan tahap kesedaran orang ramai terhadap jenayah rasuah.

Katanya berdasarkan kajian dilakukan pihaknya kesedaran masyarakat menunjukkan peningkatan secara drastik.

“Misalnya, 30.5 peratus pelajar istitusi pengajian tinggi (IPT) pada tahun 2005 mengatakan sekiranya mereka ada peluang, mereka sanggup terima rasuah.

“Berganjak daripada situ dengan langkah-langkah yang kita buat, pada penghujung tahun lepas perubahan drastik berlaku iaitu hanya tinggal lebih kurang 10 sehingga 15 peratus sahaja daripada pelajar IPT yang mengatakan begitu,” katanya.

Tambahnya, pelbagai usaha akan terus dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung jenayah rasuah dan kesannya kepada masyarakat dan negara.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment