Thursday, October 29, 2015

Tony Pua Perlu Letak Jawatan Anggota PAC Jika Mahu Debat – Nazri

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2015/10/tony-puaarul-kandanazri-aziz1.jpg
KUALA LUMPUR : Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dinasihat meletak jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sekiranya mahu berdebat dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata ini bagi mengelak berlakunya konflik kepentingan memandangkan kes 1MDB masih dalam siasatan PAC.

“Badan itu (PAC) sedang menyiasat, bagaimana anda nak berdebat apabila anda masih menjadi anggota? Beliau (Pua) perlu menjadi seorang yang berkecuali, letak jawatan daripada PAC dan pergi berdebat dengan Arul Kanda,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Dalam kenyataannya hari ini, Arul Kanda yang merupakan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB berkata beliau bersedia bersemuka dengan Pua dalam program televisyen secara langsung dengan syarat anggota Parlimen DAP itu melepaskan jawatannya sebagai anggota PAC.

Arul Kanda berkata demikian bagi menyahut cabaran Pua melalui blognya agar mereka mengambil bahagian dalam rancangan bual bicara secara langsung, dengan Pua menjadi pihak yang mengemukakan soalan.

Senada dengan Mohamed Nazri, Datuk Liang Teck Ming (BN-Simpang Renggam), menegaskan Pua perlu menghormati institusi Parlimen kerana beliau ialah anggota PAC dan siasatan terhadap 1MDB sedang dijalankan.

Dalam kenyataan diedarkan di lobi Parlimen hari ini, Liang berkata tiada Parlimen di dunia yang akan membenarkan perkara seumpama itu.

“Mengadakan debat yang disiarkan secara langsung di TV berkaitan perkara yang sedang disiasat oleh Parlimen merupakan satu penghinaan kepada Parlimen.

“Sekiranya ini merupakan kes undang-undang, ia adalah sama seperti anggota juri atau hakim berhujah dengan tertuduh di mahkamah dan disiarkan secara langsung di TV,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment