Wednesday, October 28, 2015

Sarawak: Kerajaan Salur Bantuan Kepada Mangsa Ribut Di Tatau

fatimah
KONGSI KESEDIHAN : Fatimah memeluk seorang mangsa ribut semasa 
lawatan di Tatau semalam.

Bantuan sewajarnya disalurkan kepada mangsa ribut kuat yang melanda Daerah Tatau khususnya Kampung Dagang dan Pasar Tatau di sini, kelmarin.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata bantuan segera disalurkan kepada semua 662 mangsa daripada 102 keluarga merangkumi premis niaga, rumah panjang dan flat kediaman.

“Bilik Gerakan Bencana di Dewan Sukan Tatau beroperasi 24 jam sejak Isnin lalu menempatkan 37 orang daripada 10 keluarga yang kediaman mereka terjejas teruk akibat ribut disifatkan terburuk pernah melanda daerah ini,” ujar pada sidang media selepas melawat mangsa serta lokasi rumah rosak teruk, semalam.

Jelasnya, semua mangsa diminta bersabar dengan musibah itu kerana bantuan disalurkan dari semasa ke semasa mengikut keperluan penduduk serta bentuk kerosakan.

Fatimah berkata, bantuan maksimum setiap isi keluarga mangsa ialah RM2,500 dan jumlahnya tidak sama bagi setiap keluarga kerana bantuan diberikan mengikut tahap kerosakan.

“Jabatan Kebajikan meminta syarikat-syarikat korporat termasuk badan bukan kerajaan (NGO) sekitar Bintulu tampil menghulurkan sumbangan kepada mangsa bagi meringankan beban mereka,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bintulu akan membuat siasatan berhubung anggaran kerosakan dialami penduduk dan laporan mengenainya akan dipanjangkan kepada Jabatan Bencana Peringkat Negeri Sarawak bagi membolehkan bantuan selanjutnya diberikan kepada mangsa.

“Bagi kerosakan Masjid Kampung Dagang, kita sudah memaklumkan perkara itu kepada Lembaga Amanah Masjid Negeri Sarawak dan kerja-kerja baik pulih masjid itu akan dijalankan secepat mungkin,” ujarnya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment