Thursday, October 29, 2015

Saya Akan Pertahankan Muhyiddin, Kata Nazri Aziz

Nazri Aziz
KUALA LUMPUR : Ahli Majlis Tetinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berikrar akan melakukan apa saja untuk mengekalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden parti itu sehingga pemilihan akan datang, lapor beberapa portal media.

Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dilaporkan berkata UMNO harus berjiwa besar untuk membenarkan perbezaan pendapat di kalangan ahli-ahlinya.

“Kami sepatutnya adakan mesyuarat Majlis Tertinggi hari ini (30 Oktober). Tetapi dalam mesyuarat akan datang, saya akan bersuara. Saya akan usahakan terbaik supaya dia (Muhyiddin) tidak digantung.

“Sebagai sebuah parti yang bakal meraikan ulang tahun ke-70 tahun depan, kita mesti mempunyai ruang yang cukup untuk menerima pendapat yang berbeza,” Nazri dipetik sebagai berkata.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, Muhyiddin harus dibiarkan kekal sebagai timbalan presiden sehingga pemilihan parti akan datang.

“Biarlah dia berkhidmat hingga tempoh penggalnya berakhir. Kemudian, saya akan minta Zahid (Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) untuk melawannya. Saya pasti Muhyiddin akan kalah,” katanya.

Bagaimanapun Nazri mengakui beliau tidak mengetahui mengenai dakwaan Muhyiddin bakal dikenakan tindakan dalam masa terdekat.

Sementara itu portal The Malaysian Insider melaporkan UMNO akan menggantung Muhyiddin sebelum perhimpunan agung parti itu pada Disember depan.

Ia ekoran serangan berterusan Muhyiddin terhadap Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak berhubung kontroversi syarikat pelaburan strategik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu wang derma RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment