Wednesday, January 29, 2014

Islam Hanya Satu - Tiada Sunni, Syiah atau Wahabi

10 Disember 2013


zahid hamidi mat sabi syiah
Usul, perbahasan dan cadangan yang dicetuskan oleh pimpinan UMNO untuk mentakrif Islam dalam Perlembagaan Persekutuan yang berasaskan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah sangat tidak masuk akal dan mencerminkan pemikiran sempit kepimpinan UMNO hari ini.

Perubahan takrifan Islam dalam Perlembagaan kepada Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah bukan sahaja tidak masuk akal tetapi juga akan menimbulkan pelbagai polemik, perpecahan dan tidak mustahil keganasan pada masa akan datang.

Malahan Presiden UMNO mencadangkan pula Perlembagaan UMNO diubah kepada Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah juga.

Apakah maksud cadangan perubahan pindaan ini? Jika ia mahu membendung ajaran Syiah, ia tidak boleh diselesaikan melalui Perlembagaan. Soal kepercayaan, iktikad dan anutan adalah soal akal fikir. Mereka yang percaya Syiah satu pegangan yang betul tidak mungkin boleh diubah melalui takrifan perlembagaan. Mereka harus diberi kesedaran, dakwah dan pertentangan intelektual.

Jika mereka terus menyebarkan ajaran yang dianggap sesat oleh Islam maka tindakan melalui undang-undang boleh diambil tanpa perlu mentakrif Perlembagaan Malaysia mahu pun Perlembagaan UMNO.

Saya tidak mempertikaikan bahawa terdapat ajaran-ajaran dalam beberapa faction syiah menghampiri kesesatan dan syirik, namun ia bukanlah satu perkara yang ditangani memalui pentafsiran rigid mengenai kelompok Islam yang layak diiktiraf di negara ini. Malahan ketidakberanian Arab Saudi mengharamkan penduduk Iran dari datang mengerjakan haji adalah jelas menunjukkan soal kesalahan dalam fahaman Syiah bukan sehingga tahap dianggap murtad atau terkeluar Islam.

Sehingga hari ini tiada negara Islam berani mengusulkan Iran dikeluarkan dari Pertubuhan Negara-Negara Islam kerana ajaran syiahnya terkeluar dari Islam.

Islam sepatutnya satu sahaja tidak ada sunnah, Sunni, wahabi atau apa lagi kumpulan. Kalau kita mula mendefinisi Islam dalam perlembagaan mesti Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah maknanya ada Islam lain. Islam apa? Kalau tidak ada Islam lain kenapa mesti dimasukkan tafsiran Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja di Malaysia ini?

Jika ini dilakukan, akan datang ada pula kumpulan mahukan ahli sunnah mazhab Shafie sahaja. Sekarang pun sudah ada pandangan bahawa Wahabi dan Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah dua kumpulan yang berlainan.

Malaysia berhak mengenakan menjadikan pegangan ahli sunnah wal jamaah sebagai rujukan utama dan juga panduan dalam pentadbiran dan pendidikan Islam. Namun adakah wajar untuk mengisyhtiharkan perang secara terbuka kepada Syiah?

Malaysia akan Diancam Keganasan?

Di banyak negara Islam perpecahan bukan sekadar pendapat tetapi juga menyebabkan berlaku pertumpahan darah antara Sunni dan Syiah sehingga negara menjadi kacau bilau dalam masyarakat. Di Iraq sehingga hari ini masih berlaku pengeboman antara perpecahan Islam Sunni dan Syiah ini. Di Yemen juga berlaku perpecahan serius antara sunni dan syiah sehingga mengakibatkan pertumpahan darah. Apakah ini ajaran Islam yang diturunkan oleh Allh s.w.t. melalui Muhammad s.a.w?

Malaysia juga mungkin berhadapan dengan konflik diplomatik dengan Iran akibat isu ini. Apakah ia satu kebaikan kepada Islam dan Malaysia sendiri?

Selagi egara-negara Islam memilih untuk terus menerima Iran sebagai negara Islam, selagi Arab saudi terus membenarkan orang Islam dari Iran mengerjakan haji maka selagi itulah kita harus menganggap Syiah sebagai sebahagian saudara Islam kita.

Tun Dr. Mahathir Mohamad pada bulan Ogos 2013 menulis:
1. Sejarah Islam dipenuhi dengan permusuhan antara Sunni dengan Syiah. Kerapkali peperangan berlaku di antara mereka. Hari ini kita baca dalam akhbar dan TV berkenaan dengan letupan bom yang membunuh dan mencedera beratus-ratus daripada pengikut kedua-dua mazhab ini semasa mereka sedang sembahyang Jumaat di masjid dan di lain-lain tempat di mana mereka berkumpul.
2. Melihat akan permusuhan dan bunuh-membunuh diantara Sunni dan Syiah, musuh-musuh Islam, Yahudi dan sekutu mereka amat gembira. Bagi mereka, samada Sunni atau Syiah, semuanya adalah orang Islam dan seteru mereka. Kerja mereka untuk melemah dan musnahkan Islam dan orang Islam sedang dibuat oleh orang Islam sendiri.
3. Permusuhan antara Sunni dan Syiah ini tidak berlaku di Malaysia kerana buat sekian lama semua orang Islam di Negara ini terdiri daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah, iaitu Sunni pengikut Imam Shafei. Mereka semua berpegang kepada ajaran Islam yang sama. Walaupun perbezaan politik memisahkan diantara orang Islam di Malaysia, tetapi ia tidak sampai kepada membunuh dan berperang.
4. Sekarang ini ajaran Syiah sedang dikembangkan di Malaysia. Jika Syiah bertapak di sini sudah tentu orang Islam Malaysia akan berpecah lagi. Jarak antara mereka yang terima ajaran Sunni dan Syiah akan semakin luas. Masing-masing akan adakan masjid berasingan dan bermacam lagi perbezaan.
5. Lambat laun permusuhan mereka akan meningkat sehingga mereka akan merusuh, membunuh dan berperang seperti yang berlaku di Iraq, Pakistan dan Syria.
6. Kesan daripada ini ialah Negara akan jadi tidak stabil dan tidak aman. Orang Islam di Negara ini akan ditimpa bala yang amat dahsyat. Mereka yang sudah pun lemah akan menjadi lebih lemah. Kerosakan yang teruk akan berlaku seperti yang kita lihat di Negara-negara di mana Sunni dan Syiah bermusuh.
7. Selama ini kita berpegang dan menganuti agama Islam tanpa banyak masalah. Kita tahu di Iran dan beberapa Negara Islam yang lain ada penganut agama Islam Syiah. Kita tidak ingin menimbulkan masalah bagi mereka dengan mencuba mengembangkan fahaman dan mazhab Sunni di kalangan mereka. Sebaliknya janganlah cuba membawa fahaman Syiah ke Malaysia yang aman kerana kita berpegang kepada satu mazhab yang sama.
8. Kepada kamu agama kamu, kepada kami agama kami (Lakum dinukum waliyyadin). Al Quran menerima adanya orang yang beriman dan ada yang kafir. Tidak ada paksaan dalam Islam. Mereka yang kafir bebas dengan kekafiran mereka dan mereka yang Islam juga bebas menganuti dan mengamal ajaran Islam. Dengan itu permusuhan tidak akan berlaku dan masyarakat menjadi aman.
Saya tidak menafikan keperluan membendung ajaran Syiah seperti pandangan Tun Mahathir. Namun saya percaya Tun Mahathir juga berharap isu Syiah inio diselesaikan secara adik beradik dan seperti menarik rambut dari tepung. Rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.

Sungguh saya tidak begitu menggemari sebahagian besar pandangan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri zainul Abidin, namun saya fikir pandangan beliau dalam hal ini perlu kita pertimbangkan jika tidak dijadikan rujukan pun
Golongan agamawan bergaji dan tidak bergaji, dihasut oleh beberapa orang dari aliran pengkafir umat iaitu Ahbash yang dalam rekod mereka telah berjaya menimbulkan ketegangan mazhab dan pertumpahan darah di Lebanon sehingga membawa pembunuhan antara aliran di sana. Kini mereka meresap ke dalam negara ini.
Kerajaan tidak boleh terbabit dengan perbalahan aliran fikir. Kerajaan dalam era dunia terbuka hari ini hendak bersifat penaung yang melindungi kebebasan setiap rakyat dengan syarat tidak menggugat keamanan awam. Kerajaan yang matang dan demokratik akan menangani perbezaan rakyat dengan cara yang bijaksana. Kerajaan hendaklah tahu apabila kita mengiktiraf kewujudan sesuatu aliran, bukanlah bererti kita mengakui kebenarannya. Jangan keliru antara mengiktiraf kebenaran di sudut akidah ataupun fekah, dengan mengiktiraf hak kewujudan di sudut politik. Kita mungkin tidak mengiktiraf kebenaran agama dan aliran tertentu, tapi kita mengiktiraf kewujudan dalam negara selagi mereka mematuhi undang-undang negara.
Kepelbagaian
Kebenaran itu boleh menjelma dalam pelbagai ungkapan sekalipun berbeza-beza puak dan aliran. Sebahagian perbezaan itu hanyalah pada cara ia dibahaskan tetapi natijahnya sama iaitu menuju kepada kebenaran. Kerajaan tidak boleh terikut-ikut dengan golongan fanatic perkauman ataupun aliran yang mencetuskan huru-hara antara rakyat disebabkan perbezaan ungkapan dan ucapan, padahal maksudnya sama.
Saya tertarik dengan kisah tokoh besar ilmu kalam iaitu al-Imam Abul Hasan al-Ash’ari (meninggal tahun 330H) yang dinobatkan sebagai benteng Ahlus Sunnah wal Jama’ah dalam menghadapi serangan falsafah. Kata al-Imam al-Zahabi (meninggal 748H) meriwayatkan daripada Zahir bin Ahmad al-Sarakhsi kisah akhir hayat al-Imam Abul Hasan al-Asy’ari: “Apabila ajal menghampiri Abul Hasan al-‘Asy’ari di rumahku di Baghdad, beliau memanggilku. Aku pun datang. Beliau berkata: ‘Aku bersaksi bahawa aku tidak mengkafirkan seseorang pun dalam kalangan ahli Kiblat (mereka yang bersolat). Ini kerana setiap orang menuju kepada Tuhan Yang Satu Yang Disembah. Hanya semua ini (perbezaan yang ada) adalah perbezaan ungkapan semata’.
Kemudian al-Imam al-Zahabi menyebut: “Demikian juga guru kami Ibn Taimiyyah pada akhir hayatnya berkata: “Aku tidak mengkafirkan seseorang pun dari umat ini. Nabi SAW bersabda: “Tiada menjaga wuduk melainkan seorang mukmin”, maka sesiapa yang melazimi solat dengan wuduk maka dia muslim.” (Siyar A’lam al-Nubala, 15/88. Beirut: Muassasah al-Risalah)
Remeh temeh

Kemudian, isu-isu remeh digunakan dalam untuk menimbulkan ketegangan dalam masyarakat. Kuasa agama cuba diheret bersama. Penguasa seakan membiarkan kekalutan ini. Label-melabel dijadikan mainan yang dicampur kuasa pentadbiran. Sebahagian golongan intelek Melayu dilebelkan sebagai liberalist dan diancam dengan kuasa politik. Ada yang dilabel wahabi dan digunakan kuasa pentadbiran.
Untuk membincangkan masalah theology dalam kalangan intelek tidak mengapa. Namun campur tangan kuasa politik dan kuasa agama serta kesempatan yang ambil oleh pihak yang berkepentingan, boleh mencerumuskan negara ke dalam kegawatan.

Hendaklah kita tahu dalam sejarah golongan agama sama ada Yahudi, Kristian dan juga Islam mereka sering mengambil pendekatan memfitnah orang yang berbeza dengan mereka dan mencari penguasa untuk menghukum lawan ataupun pesaing mereka. Ini kerana golongan agama – kecuali yang ikhlas – sering mengumpulkan pengaruh seperti yang dilakukan oleh orang politik dan rela mempertaruhkan apa sahaja untuk survival pengaruh mereka. Rela membunuh dan menyeksa pihak yang berbeza. Inilah yang dilakukan terhadap al-Imam al-Syafi’i, al-Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Taimiyyah dan lain-lain. Dalam sejarah agama Kristian inilah yang berlaku terhadap Martin Luther dan aliran Protestan.
Di satu sudut yang lain, golongan agamawan jenis ini menyibukkan diri dalam isu-isu remeh yang tidak memberikan banyak manfaat kepada rakyat seperti isu qunut subuh ataupun tidak. Padahal itu hanya perkara sunat dalam mazhab Syafi’i. Demikian juga dianggap Wahabi mereka yang mereka solat tarawih lapan rakaat. Padahal rakyat Malaysia yang solat lapan rakaat tarawih bukan kerana Wahabi ataupun tidak. Saudi yang dikatakan Wahabi itu solat 20 rakaat. Di mana Wahabinya? Itu berdasarkan keadaan masing-masing. Patutnya golongan ustaz ini sibuk dengan yang langsung tidak solat.
Malangnya dalam masa yang sama, ramai golongan agamawan berjawatan ini tidak pula menyibukkan diri dengan isu-isu masyarakat yang penting untuk rakyat seperti pandangan Islam tentang ketelusan, rasuah, cukai, isu-isu yang dibangkitkan oleh audit negara, pembaziran dalam kerajaan-kerajaan negeri dan pusat, soal social justice dan pelbagai lagi yang sangat penting dalam Islam.
Konflik
Hasilnya, negara terjerumus dalam konfliks tidak berfaedah. Dari satu konflik kepada satu konflik. Ia menafikan sifat negara yang mahu maju ke hadapan. Ia hanya memesongkan rakyat dari isu-isu penting yang lain dan mengheret mereka kepada pergaduhan sesama sendiri. Dalam satu keadaan mungkin pemerintah beruntung kerana rakyat tidak tertumpu kepada menilai pemerintah kerana sibuk dengan isu pinggiran. Namun dalam jangka tertentu ketegangan boleh membawa kebencian dan seterusnya ketidaksetiaan kepada negara mungkin boleh berlaku.
Maka, kini negara kelihatan berselerakan. Badan-badan agama sibuk mencari isu-isu perbezaan bukan nilai-nilai persamaan untuk diambil manfaat antara rakyat. Orang politik tumpang sekaki. Slogan 1Malaysia yang meraikan perbezaan dan menghidupkan kesatuan antara rakyat menjadi slogan kosong yang tidak bermakna.
Akhirnya kelompok-kelompok minoriti walaupun berbeza antara satu sama lain, tetapi bersatu atas satu asas iaitu membenci kerajaan dan pengurusan kerajaan yang ada. Lalu mereka menjadi majoriti. Jika mereka itu terlebih ekstrim, mereka mungkin mencari jalan menimbulkan ketegangan balas. Golongan muda dan berminda terbuka menganggap kerajaan ini tidak layak mengepalai politik yang sederhana dan bersikap terbuka serta adil dalam penilaian. Kelompok berpendidikan dan moderate inginkan keharmonian dan keadilan untuk semua. Maka kerajaan ini menjadi makin tidak popular dalam kalangan cerdik pandai yang menjadi tulang belakang negara. Negara pun mula reput, kedamaian mula diragut dan berada di penghujung hayatnya.

Dipetik daripada : www. mykmu. net

No comments:

Post a Comment