Tuesday, January 28, 2014
Wawancara Bersama MB Negeri Sembilan
Beliau tewas dalam usaha merebut jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) dalam pemilihan UMNO 2009 dan mencuba nasib kali kedua dalam pemilihan parti kali ini. Pemimpin dimaksudkan ialah Menteri BesarNegeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau. Walaupun beliau layak berada dalam mesyuarat MT atas kapasitinya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, namun statusnya sebagai ‘turut hadir’ dan perlu ‘meminta izin’ Presiden jika hendak menyuarakan pandangan dan idea dianggap agak mengehadkan peranannya membantu mengukuhkan parti. Ikuti pandangan dan harapan calon MT nombor 40, Datuk Seri Mohammad Hassan yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau mengenai pendiriannya bertanding jawatan MT kali ini.
S: Datuk Seri pernah mencuba nasib bertanding dalam pemilihan UMNO 2008 tetapi tewas. Apa yang mendorong Datuk Seri bertanding kali ini?
J: Saya menawarkan diri bertanding jawatan MT bagi membolehkan saya dapat bersama-sama menyokong dan membantu kepimpinan Presiden, Datuk Seri Najib Razak sama ada dalam politik atau pentadbiran. Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, saya merasakan berada dalam MT akan membuka ruang lebih luas dan kukuh bagi saya memberikan sumbangan kepada parti dan dapat membawa suara dari dan kepada akar umbi. Jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri ibarat jambatan. Kiita boleh menjadi jambatan membawa apa saja pesanan, hasrat dan dasar Presiden kepada akar umbi di Bahagian semasa mesyuarat perhubungan negeri. Jambatan dua hala ini juga membolehkan saya membawa apa saja pandangan dan cadangan serta masalah di peringkat akar umbi untuk kita bawa, bincangkan dan bentangkan dalam MT. Maka, berasaskan kepada ada fungsi itu, saya menawarkan diri kali ini untuk bertanding sebagai calon MT.
S: Ada cadangan dan pandangan daripada pemimpin UMNO supaya Menteri Besar tidak perlu bertanding merebut jawatan MT kerana mereka lazimnya turut serta dalam mesyuarat MT. Apa pandangan Datuk Seri?
J: Memang betul Menteri Besar hadir dalam mesyuarat MT tetapi kita dijemput. Hendak bercakap perlu minta izin Presiden. Akan tetapi jika kita Ahli MT, salurannya lebih terus. Kalau Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menjadi Ahli MT, ia boleh membantu mengukuhkan Presiden. Itu pandangan saya. Persoalannya bukan sekadar hadir, tetapi apa peranan kita hendak memperkukuhkan parti. Presiden adalah satu institusi dan ia perlu dipertahan dan diperkukuh. Kalau entah siapa-siapa bertanding nanti, Presiden juga yang susah. Presiden perlu kumpulan yang boleh memberi sumbangan, sokongan dan dokongan kepadanya untuk memperkukuhkan parti ini. Saya lihat ketika bertanding pada 2008, saya tidak ada apa-apa sangat dan tidak keluar (kempen) sangat. Kali ini saya keluar juga kerana saya hendak UMNO kuat dan kukuh serta bersedia mulai dari sekarang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Besar kemungkinan kita (UMNO) akan berseorangan. Apa juga kemungkinan itu, UMNO mesti menerokainya dan jangan menganggap perkara itu mustahil berlaku. Kita kena teroka. Kalau kita berseorangan dalam PRU-14, apa perlu kita buat. Kalau masih bersama, apa perlu kita buat. Jangan kita jatuh terduduk. Apabila UMNO kuat dan kukuh, orang selalunya bergantung kepada pokok yang kuat. Siapa yang hendak bergantung kepada pokok condong menunggu rebah. Hasrat saya adalah hendak melihat UMNO kuat, kukuh dan menjadi tempat orang Melayu menaruh harapan.
S: Setakat ini adakah Datuk Seri dapat membaca peluang merebut jawatan MT kali ini kerana ada 63 calon bertanding, termasuk mereka yang hendak mempertahankan jawatan?
J: Adat bertanding biasanya ada peluang cerah dan tidak cerah. Itu sebab saya keluar (bertemu perwakilan). Kalau saya tidak keluar, pasti akan kalah. Orang akan kata saya sombong. Orang juga akan berkata, kita tidak pandang orang. Pemilihan sekarang tidak sama seperti dulu. Format baru sekarang membenarkan 146,000 memilih, maka kita kena pergi bertemu perwakilan seperti ke majlis memperkenalkan calon anjuran UMNO pusat, badan perhubungan negeri dan bahagian. Kalau tidak turun nanti susah orang hendak kenal kita. Peluang itu insya-Allah. Itu sebab saya katakan, ahli UMNO perlu buat penilaian baik sebelum pilih pemimpin untuk diberi tanggungjawab memimpin parti ini. Jangan jadikan pemilihan kali ini sebagai pesta ria. Kita bukan hendak pergi berseronok. Perwakilan di cawangan mempunyai tanggungjawab besar untuk meletakkan kepercayaan pemimpin yang diberi mandat memimpin parti. Kalau salah pilih, parti kita berdepan masalah besar. Tidak betul memilih orang, kita akan berdepan masalah. Tujuan kita kali ini adalah hendak memantapkan dan memperkukuhkan lagi UMNO bagi menghadapi apa juga cabaran dalam PRU-14.
S: Apakah pandangan Datuk Seri terhadap format pemilihan kali ini. Sejauh manakah ia selari dengan usaha transformasi dan meremajakan parti.
J: Format pemilihan yang baru ini adalah sebahagian daripada usaha Presiden melakukan transformasi parti. Di mana lagi kita hendak cari parti seperti UMNO yang terbuka seperti hari ini. Sesiapa saja boleh mencabar Presiden dan ketua UMNO bahagian termasuk saya hadapi hari ini. Dalam soal hendak meremajakan UMNO, ia bukan sekadar menyentuh aspek umur sebenarnya, tetapi lebih menjurus kepada pendekatan kita. Bagaimana kita menjalankan kerja dan merangka dasar kita. Ia menyentuh soal cara bekerja dan pendekatan kita. Kita mesti inklusif, bukan lagi eksklusif. Dulu kita syok sesama sendiri. UMNO parti mewakili orang Melayu dan UMNO parti kerajaan. Apabila kita menjadi parti kerajaan, secara automatik pemimpin UMNO adalah pemimpin kerajaan. Maka pemilihan kali ini adalah juga memilih siapa yang akan bersama Presiden dan Perdana Menteri untuk merangka dasar negara, dasar luar negara, dasar ekonomi, kewangan dan keselamatan. Ini ciri-ciri pemimpin yang kita perlu pilih iaitu yang ada kewibawaan dan pengalaman.
S: Datuk Seri ada menyatakan yang pemilihan UMNO kali ini amat terbuka. Jika dilihat senario hari ini, jawatan Datuk Seri sebagai Ketua UMNO Bahagian Rembau turut dicabar. Adakah keputusan bertanding bertanding jawatan MT adalah platform untuk menyelamatkan karier politik Datuk Seri seandainya keputusan di bahagian tidak memihak kepada Datuk Seri?
J: Saya bertanding bukan untuk menyelamatkan diri. Saya hendak selamatkan apa? Sesiapa saja hendak bertanding di bahagian, bertandinglah. Saya bertanding MT kerana mahu menyumbang kepada parti dan hendak memastikan parti kuat lagi kukuh. Saya tidak kisah orang bertanding melawan saya. Ini keterbukaan. Kita pula tidak disekat. Saya juga tidak nampak pertandingan di peringkat bahagian akan memberi impak kepada saya kerana pemilihan diadakan dalam sehari. Lainlah kalau pemilihan di bahagian diadakan dulu dan selepas seminggu atau sebulan, baru pemilihan MT diadakan. Misalnya jika tewas di bahagian, sudah tentu akan beri impak bagi sesiapa yang bertanding di MT. Pemilihan hari ini dibuat sekali, maka tidak ada impak kepada calon MT.
Dipetik daripada : www. mykmu. net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment