Tuesday, January 28, 2014
Muhasabah Diri Mesej Akar Umbi Kepada Hishamuddin
Perwakilan UMNO yang mewakili suara akar umbi di 191 UMNO Bahagian sudah pun bersuara dan ia telah diterjemahkan dalam bentuk undi yang menyaksikan ketiga-tiga penyandang Naib Presiden kekal dengan jawatan tersebut untuk dua tahun lagi.
Bagi Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Apdal yang masing-masing merangkul tempat pertama dan kedua, pemilihan kali ini pastinya agak manis kerana dapat diharungi dengan penuh gaya tanpa debaran yang terlalu mencengkam jiwa.
Mereka berhak mengecapi detik indah itu dan ia berbaloi dengan jasa bakti serta ketokohan mereka dalam menghayati denyut nadi akar umbi.
Berbeza halnya dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang terpaksa melalui detik-detik yang merimaskan apabila sepanjang tempoh pengiraan undi kedudukannya sering diekori rapat oleh Datuk Mukhriz Mahathir yang memberi saingan yang cukup sengit.
Mujur barangkali sudah takdir sejak azali kedudukan tangga ketiga tetap milik DS Hishamuddin setelah merangkul 101 undi bahagian berbanding 93 yang memihak kepada Datuk Mukhriz. Cuma 8 undi bahagian yang memisahkan mereka.
Cukup tipis tapi menang tetap menang dan yang kalah tetap jua kalah. Itu hakikat yang tidak dinafikan oleh sesiapa.
Pun begitu tentulah ada mesej tersirat disebalik kemenangan nyawa-nyawa ikan itu tatkala beliau mendapat sokongan terbuka dari sayap Pemuda dan Wanita yang sepatutnya membolehkan DS Hishamuddin memperolehi paling tidak antara 140 hingga 150 undi bahagian.
Ditambah pula dengan gerakan kempennya yang paling ke hadapan dan aktif di setiap bahagian apatah lagi diambil kira pencabar terdekat beliau hanyalah seorang pemimpin muda yang baru pertama kali mencuba nasib untuk jawatan tersebut, jadi logik angka 140-150 ada asasnya.
Tapi logik angka, keaktifan kempen dan usaha yang dicurahkan nyata tidak sepadan dengan undi yang diterima bila mana hanya 101 undi sahaja yang diterima termasuk tiga daripadanya merekodkan undi seri dengan Datuk Mukhriz.
Kenapa dan mengapa terjadi begitu rasanya tidak sukar untuk DS Hishamuddin mencari jawapan, itu pun jika ada sedikit keinginan untuk melakukan muhasabah diri bagi mencari di mana letak kelemahan sendiri yang menjadi punca 93 UMNO Bahagian tidak memihak kepada beliau.
Peluang mengisi tangga ketiga jawatan Naib Presiden dengan majoriti tipis boleh diibaratkan talian hayat akhir yang jika gagal diambil pengajaran kelak bahananya tak mustahil tersingkir terus dari peta kepimpinan utama UMNO Pusat.
Dipetik daripada : www. mykmu. net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment