Wednesday, January 29, 2014

Kesan Barang Naik Bakal "Membunuh" Kerajaan?

25 Januari 2013


barang naik3
Kerajaan sedar bahawa isu kenaikan harga barang secara tidak munasabah bakal menyakitkan hati rakyat sehingga menyebabkan mereka berpaling tadah dengan menolak kerajaan pada PRU14 nanti. Isunya di sini adakah kerajaan telah dan akan mengambil langkah yang tepat dan bijak dalam menangani isu ini.

Pembangkang tahu bahawa isu kenaikan harga barang boleh “membunuh” kerajaan. Ini merupakan peluru yang cukup kuat kuasanya. Dengan ini mereka telah membuat perancangan yang cukup teliti bagi memastikan harga barang-barang terus meningkat dengan berterusan sehingga menyebabkan rakyat memberontak.

Persoalannya adakah kerajaan benar-benar serius mengkaji punca-punca utama kenaikan harga barangan dan menghukum dengan berat mereka yang bertanggungjawab menyebabkan kenaikan harga barangan ini. Kerajaan perlu sedar bahawa isu ini benar-benar kritikal, oleh itu penjenayah yang menjadi punca kenaikan harga barangan ini wajib dikenakan tindakan paling berat.

Sudah berkali-kali penulis “highlight” bahawa perancang, pencetus, pelaksana dan rakan komplot dalam menaikkan harga barang ini perlu dilayan “ala” “komunis” memandangkan itulah cara yang mereka layak terima. Mereka ini sanggup menyusahkan rakyat yang tidak berdosa demi mencapai kepentingan politik peribadi yang benar-benar tidak berperikemanusiaan.

Perkara ini juga dapat “dibaca” oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed. Beliau sedar akan kemungkinan BN kalah teruk pada pilihan raya akan datang sekiranya isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tidak diatasi dengan segera. Oleh itu kerajaan perlu menganalisa isu kenaikan harga barangan ini secara terperinci. Segala kemungkinan punca kenaikan perlu dipantau dan dikekang.

Kerajaan tidak cukup sekadar giat menjalankan operasi pemantauan dan kawalan harga di seluruh negara. Segala isu seperti tindakan sengaja pihak”sorokkan” barangan, lewatkan proses penghantaran, pakatan sesama peniaga untuk sama-sama menaikkan harga dan lain-lain lagi perlu sentiasa dipantau dengan meletakkan “perisik” di setiap tempat dan lokasi yang perlu. Ini amat penting kerana kemarahan rakyat terhadap kenaikan harga barang akan menjadi “pembunuh” kerajaan dan juga merosakkan masa depan anak cucu sekiranya negara jatuh ke tangan pembangkang.

Sebelum ini bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin telah mengeluarkan kenyataan pada Selasa lalu meramalkan BN akan tumbang sekiranya pilihan raya diadakan ketika kemarahan sedang memuncak berikutan isu kos sara hidup. Tun Daim benar-benar ikhlas dalam mengkritik. Beliau cuba menyedarkan kerajaan akan hakikat pahit yang terpaksa ditelan akibat kenaikan harga barangan.

Walaubagaimanapun tindakan kerajaan mengurangkan perbelanjaan perlu diteruskan secara menyeluruh. Dengan itu rakyat tahu bahawa mereka tidak dizalimi apabila kerajaan mengurangkan subsidi yang selama ini dinikmati oleh mereka.

Pemantauan dan kekangan harga barangan ini memerlukan kerjasama dari semua pihak. Oleh itu kita sebagai warganegara yang bertanggungjawab perlu sentiasa memberi input yang positif dalam membantu kerajaan mengawal kenaikan harga barangan. Jangan sesekali kita menjadi penderhaka negara dengan menyumbang sama kepada kenaikan harga barangan seperti yang pembangkang mahukan. Hidup perlu ikhlas dengan itu keberkatan akan sentiasa bersama kita.

Dipetik daripada : www. mykmu. net

No comments:

Post a Comment