Tuesday, January 28, 2014

UMNO Tawar MT, Sesuatu Yang Memalukan PAS - Ustaz Kazim

1 Disember 2013


kazim
Oleh Zul Rawi

30 Nov, Kuala Lumpur – Penceramah bebas, Ustaz Mohamaed Kazim Elias melahirkan rasa kesal dan kecewa apabila ramai yang mencela dan memaki hamun beliau hanya kerana tawaran sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno (MT).

Beliau yang ditemui ketika program ceramah agama, anjuran Pergerakan Pemuda Umno Setiawangsa sebentar tadi mengatakan mereka yang menghina dan mencelanya seolah-olah tiada hati dan perasan.

“Saya dilemparkan pelbagai kata-kata kesat, ada yang mengatakan anjing, babi, macai, gila projek dan sebagainya. Mereka (yang) melemparkan kata-kata kesat itu langsung tidak memikirkan hati dan perasaan keluarga saya.

“Disebabkan cacian tersebut, isteri dan anak-anak saya mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bagi mencari ketenangan” ujar beliau kecewa.

Beliau turut menjelaskan, terkejut dengan pengumuman tersebut namun masih belum membuat keputusan sama ada untuk menerima atau menolak perlantikan tersebut. Penceramah yang juga merupakan pengasas dan pengetua untuk Pusat Pendidikan Al-Barakah itu turut menjelaskan ingin berjumpa dahulu dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetahui peranan sebenar beliau sebagai MT.

“Saya mahu jaminan apakah bila menyertai Umno (nanti), tugas dakwah saya kepada masyarakat tidak terhalang. Saya mahu tahu apakah tangan saya akan terikat, mulut saya terkunci untuk menegur apa-apa juga kesalahan seperti mana sekarang bebas menegur tanpa apa sekatan. Kalau itu jaminannya maka saya boleh bekerjasama,” tegas beliau.

Ustaz Kazim turut mengakui, masih merupakan ahli Pas ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Ketua Pemuda Pas Perak yang mengatakan beliau masih merupakan ahli parti itu. Beliau menjelaskan Pas seharusnya malu dengan pelawaan Umno ini kerana, parti itu tidak pernah menjemput beliau atau mengadakan sebarang perbincangan.

Malah, walaupun mendakwa sebagai sebuah parti Islam yang kononnya menggunakan pendekatan ‘Kepimpinan Ulama’, ahli agama sepertinya seperti tidak dipedulikan.

“Sebenarnya apabila perdana menteri memanggil saya untuk memasuki Umno, ini adalah sesuatu yang memalukan kepada Pas kerana mereka tidak pernah terbuka terhadap saya,” katanya.

Paling memeranjatkan, disebabkan sikap keterbukaannya terhadap Umno, beliau pernah diugut untuk disimbah dengan cuka getah dan sebagainya.

Umno sebelum ini, mengumumkan, penceramah bebas itu merupakan antara sembilan individu yang ditawarkan untuk dilantik sebagai MT yang baharu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika mengumumkannya berkata, pelantikan tersebut telah diputuskan oleh Presiden Umno mengikut fasal 9.2.8 Perlembagaan UMNO.

Ketua Pemuda Umno Setiawangsa, Ahmad Fauzee Ahamd Sahar ketika ditemui mengatakan pergerakan itu menyokong penuh perlantikan tersebut. Sambil menjelaskan akan turut membantu bagi menjawab kembali semua serangan yang dilemparkan kepada Ustaz Kazim.

“Kami sedar, ramai yang tidak begitu senang dengan perlantikan Al-Fadhil Ustaz untuk berada dalam kepimpinan tertinggi Umno, malah tidak kurang juga ada yang sanggup menghina, mencela dengan pelbagai kata-kata yang kesat. Paling mengecewakan semua cacian dan kejian itu datangnya dari mereka-mereka yang mendakwa sebagai orang Islam.

“Namun percayalah kami barisan Pemuda Umno di Setiawangsa amat menghargai dan menyokong penuh perlantikan itu. Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan, kami dengan ini menawarkan diri untuk menjadi benteng bagi mempertahankan semua serangan yang dilemparkan kepada Al-Fadhil Ustaz itu” katanya sejurus selepas majlis tersebut.

Dipetik daripada : www. mykmu. net

No comments:

Post a Comment