Tuesday, January 28, 2014

Keputusan Naib Presiden UMNO : Satu Analisis Cap Ayam Buat Hishamuddin

24 October 2013


mukhriz mahathir hishamudin menteri amaran
Pemilihan UMNO untuk peringkat tertinggi sudah pun melabuhkan tirainya. Pada ketika ini “rumah sudahpun siap, namun pahat masih berbunyi”. Itu adalah sebahagian dari asam-garam kehidupan, yang tidak mampu kita bendung kerana masing-masing punya hujah tersendiri.

Tentunya jawatan Naib Presiden menjadi tumpuan ramai, dengan jangkaan persaingan sengit telah benar-benar terjadi.

Rata-rata negeri yang dikuasai oleh DAP, atau ditunggangi oleh DAP seperti Selangor dan Pulau Pinangmenunjukkan “signal” penolakan yang kuat terhadap kepimpinan Hishamuddin.

Kesedaran orang Melayu, khususnya ahli UMNO tentang apa yang sedang berlaku kepada orang Melayu dan Islam di negeri-negeri ini menjadikan Hisham dianggap sudah tidak relevan untuk mengepalai jawatan ketiga dalam hierarki kepimpinan UMNO.

Bukan menyalahkan Hisham tentang apa yang berlaku, tetapi sikap dan prestasinya selaku Menteri ketika berhadapan dengan beberapa isu di beberapa kementerian sebelum ini diambil kira. Dan pastinya, peristiwa cium keris minta maaf (CKMM) telah memalitkan sejuta kehinaan dan sejuta kedukaan buat ahli-ahli UMNO.

Di Selangor sebagai contoh, ada beberapa pemimpin bahagian yang rapat dengan Hisham sejak dari zaman pemuda, gagal memberi undi kepadanya. Ini bermakna, pengaruh seseorang pemimpin yang pro Hisham di peringkat bahagian tidak mampu untuk menafikan gelombang kebangkitan golongan akar umbi UMNO yang mahukan seorang pemimpin Melayu sejati. Keadaan yang sama berlaku di PulauPinang, apabila hanya 4 bahagian menyokongnya sementara 10 yang lain memberi undian kepada Mukhriz.

Di Perak  pula, Hisham hanya mampu menang dengan 1 undi, iaitu 12 untuknya, dan 11 untuk Mukhriz. Tentunya perwakilan UMNO Perak masih ingat apa yang terjadi selama 11 bulan di bawah pemerintahan DAP. Maka, tidak hairanlah jika keyakinan terhadap Hisham semakin berkurangan.

Isu-isu nasional seperti isu kalimah Allah dan BERSIH yang kotor  serta isu-isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam dan Melayu sangat memberi kesan kepada kebanyakkan perwakilan UMNO, dengan rungutan dan kritikan betapa cara Hisham menanganinya amat mendukacitakan. Kepincangan ini sangat terkesan di kawasan Lembah Klang khususnya, yang menyaksikan Melaka dan Negeri Sembilan turut memilih untuk bersama Mukhriz dengan ratio 1:4 dan 1:5.

Sebenarnya, trend ini sudah terserlah apabila keputusan PRU13 diumumkan, dengan peningkatan sokongan orang Melayu kepada UMNO dan Barisan Nasional. Sekaligus, keputusan itu memberi petunjuk kepada politik orang Melayu, tentang apakah ciri-ciri pemimpin Melayu yang mereka dambakan.

Mungkin juga, Hisham telah membacanya, lantas menjadi calon Naib Presiden yang dilihat paling berusaha keras untuk memenangi jawatan berkenaan apabila beliau sering muncul di media elektronik, media cetak dan media baru sepanjang waktu berkempen.

Dengan 10 bahagian memilih Mukhriz di Sabah, penulis yakin isu Lahad Datu menjadi dasar kepada sokongan itu.

Hisham harus bersyukur kerana mewakili Johor, yang telah menyumbang 26 undi kepadanya. Dan Hisham juga perlu mengucapkan terima kasih kepada perwakilan Pahang, yang menyumbang 14 undi berbanding 0 kepada Mukhriz. Itulah talian hayat politiknya buat masa ini. Mujur sahaja Hisham tidak mewakili Perlis yang hanya ada 3 undi.

Apa yang berlaku adalah tauladan buat Hisham untuk bermuhasabah, mengenang kembali kepimpinannya ketika memegang amanah yang diberikan. Bukan hanya untuk Hisham, bahkan kepada seluruh perwakilan UMNO yang bercita-cita untuk memimpin.

Teringat kata-kata seorang pejuang Melayu berhubung keputusan Naib presiden “Nasib baik bahagian aku tak dayus”.

Dipetik daripada : www. mykmu. net

No comments:

Post a Comment