
Tuesday, October 27, 2015
Dompok Berterima Kasih Kepada Najib

KOTA KINABALU : Bekas menteri persekutuan Tan Sri Bernard Dompok
hari ini mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak atas keputusan kerajaan melantik beliau sebagai duta
tetap pertama ke Vatican City serta duta ke Malta dan Albania.
Dompok yang juga bekas Ketua Menteri Sabah turut menyampaikan ucapan
terima kasih kepada Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri
Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Wilfred Madius Tangau.
“Saya teringat tahun-tahun awal apabila cadangan mengadakan hubungan
diplomatik dengan Vatican ini dibangkitkan pertama kali semasa Tun Dr
Mahathir Mohamad masih Perdana Menteri. Ia dibincangkan semasa lawatan
beliau (Dr Mahathir) ke Vatican bertemu Paus John Paul II.
“Perbincangan turut diadakan semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Delegasi Vatican telah terbang ke Malaysia dari Bangkok untuk bertemu
Perdana Menteri dan hubungan diplomatik telah dibincang,” katanya dalam
kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Dompok menjadi keistimewaan bagi dirinya turut hadir dalam
semua perbincangan mengenai menjalinkan hubungan diplomatik serta
perbincangan susulan dengan Menteri Luar tetapi pada masa itu ia tidak
dianggap perkara serius.
“Hanya semasa Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri dan Datuk Seri
Anifah Aman sebagai Menteri Luar perkara ini diberi perhatian serius
dan dipersetujui kabinet.
“Semasa Perdana Menteri mengunjungi Paus Benedict di kediaman musim
panas Castel Gandolfo, hubungan diplomatik antara Malaysia dan Vatican
telah menjadi rasmi,” jelas beliau.
Dompok turut melahirkan rasa rendah diri kerana diberi penghormatan
sebagai duta tetap Malaysia pertama di bandar penganut Kristian Gereja
Katolik serta duta ke Malta dan Albania.
Beliau pernah menyandang jawatan Menteri Perusahaan, Perladangan dan
Komoditi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam kabinet
persekutuan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment