
Tuesday, October 27, 2015
Mana Hilang RM4.077 Billion, Projek 1Bestari.Net?

Laporan Ketua Audit Negara juga mendedahkan beberapa kelemahan
kontrak yang bukan sahaja merugikan Kerajaan, tetapi membawa keuntungan
besar kepada YTL. Salah satu contoh yang jelas adalah pemasangan menara
pemancar 1BestariNet Receiver Integrated System, atau 1BRIS, yang
dipasang di premis sekolah untuk menerima dan menyampaikan isyarat tanpa
wayar.
1) Menurut penemuan audit, Kementerian telah mendapatkan input
daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) berkenaan
dengan kadar sewa yang sesuai untuk penggunaan premis sekolah sebagai
tapak 1BRIS. Justeru, JPPH telah mengesyorkan sewa bulanan sebanyak
RM1,200 bagi setiap tapak.
2) Walau bagaimanapun, YTL enggan membayar jumlah ini, sebaliknya
menyatakan bahawa syarat2 kontrak membenarkan mereka untuk memasang
menara pemancar secara percuma. Pun begitu, Kementerian telah memutuskan
untuk mengenakan sewa token sebanyak RM1,000 setahun bagi setiap tapak
1BRIS.
3) Namun demikian, RM1,000 setahun adalah jauh berbeza dengan syor
JPPH, iaitu RM1,200 sebulan. Malah, Laporan Ketua Audit Negara
menyatakan kadar RM1,000 setahun adalah “tidak munasabah.” Dengan
sebanyak 3,203 menara pemancar 1BRIS yang dipasang di seluruh negara,
pendapatan sewa pada harga RM1,200 sebulan adalah RM46.12 juta setahun.
Malangnya, YTL hanya perlu membayar RM3.2 juta setahun. Ini bersamaan
dengan kerugian pendapatan sebanyak RM42.92 juta setahun bagi
Kementerian.
4) Laporan Ketua Audit Negara juga mendapati bahawa berdasarkan
kontrak yang dipersetujui antara Kementerian dan YTL, semua caj utiliti
yang berkaitan dengan 1BestariNet termasuk menara pemancar 1BRIS
terpaksa ditanggung oleh Kerajaan sepanjang tempoh kontrak, sementara
kontraktor hanya bertanggungjawab untuk kos yang berkaitan dengan
pemasangan, penyelenggaraan dan pengurusan 1BRIS.
5) Ini adalah suatu kecuaian yang serius dalam perjanjian kontrak.
Malah, pihak Kementerian dalam jawapannya kepada Pejabat Ketua Audit
Negara telah mengakui bahawa pemasangan menara pemancar 1BRIS telah
meningkatkan kos elektrik sekolah sebanyak RM150 hingga RM180 sebulan.
Jika digandakan dengan 3,203 tapak 1BRIS di seluruh negara, jumlah
peningkatan caj elektrik adalah antara RM5.77 juta hingga RM6.92 juta
setahun. Keadaan ini langsung tidak masuk akal, kerana Kerajaan
merupakan pelanggan perkhidmatan YTL dan tidak seharusnya dibebani
dengan caj utiliti yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada kos
operasi kontraktor.
6) Akibat kelemahan dalam kontrak 1BestariNet yang jelas berat
sebelah, YTL akan memperolehi keuntungan atas angin hampir RM50 juta
setahun, ataupun RM750 juta sepanjang tempoh 15 tahun projek
1BestariNet. Dalam konteks ini, denda RM2.4 juta yang dikenakan ke atas
YTL sebenarnya tidak bermakna langsung berbanding ratusan juta ringgit
keuntungan yang bakal diperolehi YTL akibat kelemahan kontrak serta
pendapatan daripada penggunaan komersil menara pemancar 1BRIS, di
samping apa-apa keuntungan daripada projek tersebut.
7) Hanya ada dua penjelasan bagi kontrak yang amat berat sebelah ini.
Sama ada Kerajaan berlaku cuai kerana bersetuju dengan perjanjian yang
penuh kelemahan ini, atau pun perjanjian ini sengaja dibentuk sedemikian
rupa untuk menguntungkan syarikat kroni. Walau apa pun jawapannya,
Kementerian harus bertanggungjawab dan menjelaskan kepada rakyat
bagaimana kerugian ini akan diatasi.
Mengapa Tan Sri Muhyiddin masih membisu berkaitan projek bernilai RM4.077 billion ini? Mengapa tidak menjawab kepada PAC?
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment