Tuesday, October 06, 2015
Raja-Raja Melayu Mahu Siasatan 1MDB Diselesai Segera
KUALA LUMPUR : Raja-raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan
secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad
(1MDB) dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak
yang terlibat.
Dalam satu kenyataan, baginda sekalian menegaskan semua pihak
bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar
usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.
“Penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus
supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan kerajaan yang sama sekali
tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed
Danial Syed Ahmad berikutan mesyuarat Pra-Majlis Raja-raja yang
diadakan di Istana Negara pada Selasa.
Menurut
kenyataan tersebut, kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang
meyakinkan, dikhuatiri telah mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan.
“Akibatnya rakyat percaya, sama ada dengan realiti mahupun secara
persepsi, bahawa ia turut menjadi antara sebab yang telah mempengaruhi
kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia secara mendadak, sehingga
memberi impak negatif ke atas pasaran kewangan dan iklim ekonomi negara
dan sekali gus telah menjejaskan pandangan dunia terhadap Malaysia.
“Menurut kenyataan itu, Raja-raja Melayu bimbang jika isu ini tidak
ditangani secara bijak, apatah lagi jika berlarutan dan memakan masa
terlalu lama, ia berpotensi menjejaskan keadaan ekonomi negara dan
memudaratkan kehidupan rakyat jelata. Ia juga dikhuatiri berkemungkinan
pula menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.
“Raja-raja Melayu dengan ini, mengingatkan semua pemimpin agar pada
setiap masa mendukung prinsip-prinsip Keluhuran Perlembagaan dan
Kedaulatan Undang-undang menurut yang termaktub di dalam Rukun Negara.
“Demi memastikan kerajaan mendapat kepercayaan, pemimpin dihormati,
kestabilan politik terus terjamin dan ekonomi negara terus berkembang,
semua pemimpin wajib pada setiap masa memastikan keadilan dilaksanakan
secara saksama lagi telus berpaksikan undang-undang,” menurut kenyataan
itu.
Untuk itu, menurut kenyataan itu, badan-badan penguatkuasaan serta
institusi-institusi kawal selia seperti Polis Diraja Malaysia,
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Bank Negara, Jabatan Peguam Negara dan
Badan kehakiman, begitu juga badan-badan serta institusi-institusi
kerajaan yang berkaitan hendaklah menyempurnakan amanah Ilahi dan
kepercayaan rakyat secara telus, berkredibiliti dan berintegriti.
Raja-raja juga mahukan para pemimpin sentiasa mengutamakan
faktor-faktor keselamatan, ketenteraman, keamanan dan keharmonian serta
meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.
“Raja-raja Melayu memandang berat isu-isu menyentuh kaum dan agama
dan dengan ini mengingatkan para pemimpin parti-parti politik dan
badan-badan bukan kerajaan agar tidak mensensasikan isu perkauman dan
isu agama dalam hasrat meraih sokongan rakyat terhadap parti atau pihak
masing-masing,” menurut kenyataan itu lagi.
Baginda sekalian mengingatkan hubungan harmoni dan perpaduan antara
kaum dan antara agama yang terjalin baik selama hari ini telah
berperanan penting sebagai tunggak utama kepada kestabilan sebuah negara
Malaysia yang merdeka, aman, maju dan makmur.
Oleh itu, hubungan harmoni dan perpaduan rakyat wajib dipelihara pada
setiap masa dan tidak boleh sama sekali dikorbankan kerana matlamat
politik yang cetek.
“Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu ada tanggungjawab fardu
kifayah untuk memastikan keamanan dan kemakmuran negara dapat
berlangsung dalam suasana politik yang stabil dan rakyatnya hidup dalam
harmoni,” kata kenyataan itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment