Wednesday, January 06, 2016
GST : Tak Faham Ekonomi, Tapi Ada Hati Sindir Kerajaan
EDITOR MENULIS...
6 JANUARI 2016
Saya melihat masih ramai lagi yang tidak faham dan suka menyindir
pihak kerajaan mengenai harga barang yang didakwa sepatutnya turun
selepas perlaksanaan sistem GST namun tidak berlaku sebagaimana yang
katakan.
Malah mereka hampir tiap-tiap hari mendakwa terlalu derita dengan GST
seolah-olah sudah papa kedana tidak mampu hidup dan mempertikai mengapa
harga barang-barang mengalami kenaikan setelah GST dilaksanakan sejak
April tahun lalu.
Sebenarnya, praktikal di mana-mana negara sekalipun yang melaksanakan
sistem GST, harga barang secara umumnya akan turun berbanding harga
sebelum sistem itu dilaksanakan. Tanyalah pada mana-mana pakar ekonomi
dan kewangan sekali pun, mereka akan setuju dengan hukum ekonomi
tersebut.
Sebenarnya, setiap cukai GST yang dibayar oleh pengeluar barang,
pemborong, pembekal mahupun peniaga yang berpendapatan untung tahunan
kurang dari RM500,000, mereka boleh tuntut kembali bayaran cukai yang
mereka lakukan dari pihak kerajaan.
Maksudnya, jika barang yang dijual dalam rantaian tersebut pada harga
kos RM100.00, maka dikenakan GST sebanyak RM6, maka mereka boleh tuntut
kembali RM6 itu dari kerajaan jika layak. Maka harga kos sebenar ialah
RM94 sahaja.
Jadi mengapa harga barang tidak turun, malah meningkat naik di negara kita?
Sekiranya diteliti, harga barang yang naik itu adalah disebabkan oleh
para peniaga yang sengaja mencari kesempatan menaikkan 'margin'
keuntungan masing-masing. Jika sebelum ini mereka untung 20 sen, maka
selepas GST mungkin mereka mahu untung 30 sen atau 40 sen.
Jika mereka ditanya mengapa harga barang itu naik, secara mudah mereka
akan menuding jari pada GST. Mudah sangat mereka menyalahkan orang lain
untuk meraih keuntungan berganda, bukan?
Marah dengan tindakan para peniaga kepada kita sebagai pengguna? Hendak
balas dendam gara-gara harga barang yang dinaikkan itu bukan barang yang
terlibat dengan kawalan harga? Jangan bakar kedai mereka, itu jenayah
namanya...
Sebenarnya, untuk mengawal atau menentukan harga barang, kita boleh
menggunakan prinsip ekonomi yang mudah, 'demand and supply'. Prinsip itu
dalam bahasa Melayunya ialah 'permintaan dan pengeluaran'.
Secara mudah, barang yang tinggi permintaannya akan melihat produk
tersebut laris di pasaran. Ia secara tidak langsung akan menyebabkan
berlakunya kenaikan barang tersebut, terutama sekiranya ia merupakan
barangan tunggal tanpa pesaing.
Namun, sekiranya barang tersebut tidak laku atau kurang permintaan, maka
ketika itu kita boleh lihat bagaimana para peniaga akan mula 'gelabah'
dan ada yang terpaksa menurunkan harga barang kepada harga kos atau
lebih rendah dari itu bagi mengelak kerugian.
Sebenarnya, penggunalah yang menentukan harga barang tidak terkawal di
pasaran. Kerajaan hanya mengawal harga barang keperluan yang tertentu
sahaja melalui harga siling, dan kita sebagai pengguna yang bijak perlu
bijak mengawal harga tidak dikawal itu.
Namun pada penelitian saya, walaupun harga barang sengaja dinaikkan
para pembekal dan peniaga, masih ramai yang 'shopping sakan'. Pantang
gaji, bagai satu supermarket hendak diborong. Habis duit dalam beg
tangan, mereka 'swipe' pula kad kredit!
Malah dalam tempoh musim cuti sekolah pada November dan Disember tahun
lalu, masih ramai yang mampu bercuti bersama keluarga. Banyak hotel yang
penuh. Bukan saja tempat pelancongan dalam negara kita penuh, malah
ramai juga yang terbang ke luar negara, kan?
Dalam tempoh itu, ramai juga yang makan di restoran-restoran makanan
segera. McDonalds yang hanya diboikot sehari, tiap-tiap hari penuh
pelanggan beratur di kaunter. Masih ramai lagi yang mampu makan di
restoran di luar walau katanya 'mereka papa kedana kerana GST' di
Facebook.
Pada pandangan saya, mungkin rungutan dari masyarakat Malaysia
mengenai kenaikan harga barang dan menyalahkan kerajaan atas
perlaksanaan GST itu merupakan salah satu perangai kita yang suka
komplen, merungut dan mengeluh tanpa mengetahui perkara yang sebenar.
Kos barang naik, komplen. Kos sara hidup naik, salahkan kerajaan.
Merungut bagai sudah tidak mampu untuk hidup lagi esok. Tapi peliknya
elok saja beli data internet, makan di McDonalds, tengok wayang cerita
Star Wars atau Dilwale, kan?
Kesimpulannya, mulut saja meroyan lebih, tangan saja yang gatal merenyam
buat dosa kering mengutuk menyalahkan orang. Kononnya hidup terjejas
kerana GST, padahal senang lenang melepak dengan awek tengok Shah Rukh
Khan dan Kajol di kelas pertama panggung wayang GSC...
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment