Thursday, January 07, 2016
Persoalan : Guru Melayu Sahajakah Yang 'Dukalara'? Guru Bangsa Lain Tidak 'Dukalara'?
EDITOR MENULIS...
6 JANUARI 2016
Pada akhir tahun lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan
sesuatu yang mengembirakan golongan guru di negara kita. Menterinya
dalam pengumuman tersebut komited mahu menamatkan 'dukalara' guru-guru
yang terpisah jauh dari pasangan dan keluarga masing-masing.
Sejak diumumkan, maka berduyun-duyunlah guru di negara kita yang mengaku
sudah lama 'berdukalara'. Ramai yang mengatakan sudah berkali-kali
memohon, namun tidak diluluskan permohonan mereka untuk bertukar lokasi
bertugas.
Maka riuh-rendahlah mereka di laman-laman sosial mendesak pihak
kementerian supaya memilih mereka untuk menjadi salah seorang yang
ditamatkan dukalara. Jika dilihat dari gaya 'rengekan' guru-guru itu,
mereka bagaikan anak kecil yang tidak dapat botol susu...
Padahal, awal-awal lagi KPM sudah beritahu bahawa program tamatkan
dukalara itu akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa dan
melibatkan 30,000 orang guru. Tapi baru saja dilaksanakan fasa awal
seramai 1848 orang, sudah ada yang hilang sabar.
Paling menghairankan, yang banyak masa merengek dan mendesak di
laman-laman sosial itu boleh dikatakan hampir 99% guru yang berbangsa
Melayu. Adalah amat jarang sekali guru dari bangsa lain yang merengek,
minta ditukarkan ke lokasi yang mereka hajati.
Keadaan itu membuatkan kita tertanya-tanya, apakah guru-guru
berbangsa selain Melayu tidak terpisah dari pasangan atau keluarga
masing-masing? Mengapa mereka tidak mengada-ngada bising mahu bertukar
ke kampung halaman mereka?
Padahal, apa yang kita lihat, ramai juga guru-guru bukan Melayu yang
terpisah dari pasangan kerana tugas sebagai pendidik. Ramai juga di
kalangan mereka yang jauh dari kampung halaman dan keluarga. Ramai juga
di kalangan mereka yang punya masalah peribadi. Tapi mengapa mereka
tidak merengek di laman sosial, komplen itu dan ini?
Setelah ditanya diri mereka, maka baru penulis tahu bahawa mereka
memegang prinsip pengorbanan dan patuh pada etika perjanjian yang
ditandatangani guru-guru sebelum bertugas sebagai pendidik.
Kata mereka, mereka sebelum bergelar guru sudah bersetuju untuk sedia
bertugas di mana saja diperlukan untuk mendidik anak bangsa, walau di
pedalaman mana sekali pun, walau berjauhan dengan keluarga atau pasangan
sekali pun, biar keseorangan sekali pun. Niat mereka hanyalah satu,
iaitu mendidik anak bangsa sedaya mampu...
Tapi bagaimana dengan guru-guru Melayu yang merengek itu?
Pada pandangan sayalah, mungkin itulah beza di antara guru Melayu dan
bukan Melayu. Mungkin guru Melayu sememangnya dari kecil tersemat sikap
'manja' dan 'suka dimanjakan'. Bila tidak dapat apa yang mereka hajati,
maka mereka merengek bagaikan anak kecil.
Mungkin guru Melayu sudah terbiasa begitu. Jauh dari pasangan atau
keluarga membuat mereka tidak tentu arah, tidak mampu hidup? Sikap suka
mengeluh dan merintih juga sebati dalam hidup mereka? Begitu
cikgu-cikgi?
Saya akui bahawa sebahagian dari guru memang perlu berpindah atas
alasan yang kritikal seperti menghidap penyakit kronik, tanggungjawab
kepada anak isteri yang terpisah lebih dari 10 tahun dan ada yang
menghadapi masalah keselamatan serta kesulitan yang tidak dapat
dielakkan. Mereka inilah yang perlu diberikan keutamaan untuk ditamatkan
'dukalara'...
Jadi saya menyarankan supaya guru-guru yang kononnya terlalu
'dukalara', padahal baru saja berdukalara setahun dua agar memahami
proses pertukaran tersebut. Hargailah usaha menamatkan dukalara tersebut
dan utamakan guru yang lebih layak atau 'senior dukalara'nya...
Jadilah seorang guru yang profesional, ikhlas dan fokus kepada
tanggungjawab. Jangan jadi guru yang hanya tahu tunggu gaji setiap bulan
dan mengajar separuh hati. Saya sedar tentang 'segalanya bermula
dari rumah', tapi kalau itu dijadikan alasan untuk tidak bertugas, baik
berhenti sajalah dari menjadi guru, kan??
Fikir-fikirkanlah...
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment