Monday, January 25, 2016
Kegagalan Politik Yang Membawa Padah Pada Mukhriz Di Kedah?
EDITOR MENULIS...
25 JANUARI 2016
Sekiranya saya diberi amanah memikul tanggungjawab untuk menjaga
segala hal ehwal politik Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun
Mahathir, rasanya mungkin saya sudah meletak jawatan tersebut.
Apa tidaknya jika dikatakan bahawa kegagalan terbesar anak mantan
Perdana Menteri itu di negeri Kedah adalah disebabkan, beliau gagal
menguruskan hubungan politiknya dengan ketua-ketua UMNO Bahagian dan
akar umbi parti di negeri kelahiran bapanya itu.
Saya tidak tahu entah atas rasional apa, Mukhriz melantik seorang
bekas Exco dan bekas pemimpin UMNO Bahagian yang dikatakan 'ditolak' di
Bahagian sendiri sebagai Setiausaha Politik beliau. Namun jika beliau
memilih Dato' Azimi Daim, maka kita hormati pilihan beliau.
Saya tidak kisah sekiranya Azimi berjaya memastikan hubungan Mukhriz
dengan semua ketua UMNO Bahagian terjalin akrab. Namun lain yang
diharapkan, lain yang jadi nampaknya. Sampai gagal memastikan majoriti
ketua-ketua UMNO Bahagian hadir mesyuarat perhubungan negeri, apa
ceritanya?
Terlintas di fikiran saya, apakah yang Azimi tidak pernah mengatur
sebarang perjumpaan di antara Mukhriz dengan ketua-ketua UMNO Bahagian,
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagaian, ketua-ketua UMNO Cawangan dan
akar-akar umbi UMNO di seluruh 15 UMNO Bahagian di Kedah?
Tahukah beliau bahawa apabila berlaku lantikan baharu bagi jawatan
tertinggi parti dibuat oleh Presiden UMNO, maka setidak-tidaknya beliau
perlu mengatur perjumpaan-perjumpaan dengan semua pihak berkenaan untuk
memohon mandat dari mereka bagi mengepalai UMNO di Kedah?
Saya hairan, selaku seorang yang pernah menjadi pemimpin di Kedah,
apakah alasan Azimi untuk gagal memastikan semua ketua-ketua UMNO di
Bahagian untuk bersatu di bawah kepimpinan Mukhriz?
Susah sangatkah untuk bersusah payah memujuk supaya majoriti
'warlord-warlord' UMNO Kedah itu? Atau apakah beliau merasakan jawatan
Setiausaha Politik itu terlalu 'besar' untuk ber'hemoi' merendah diri
dengan mereka, demi karier politik Mukhriz di Kedah?
Saya tidak bermaksud untuk memperlekeh Azimi. Beliau punya kelebihan
yang mungkin dilihat Mukhriz sebagai sesuai untuk menjawat jawatan
sepenting itu. Namun hakikatnya tentang apa yang berlaku di Kedah,
natijahnya kini sedang memberi kesan terhadap Mukhriz yang dilapor bakal
hilang jawatan Menteri Besar pada bila-bila masa saja.
Selain itu, saya mendapat perkhabaran dari negeri Kedah yang mengatakan
Azimi telah 'menyerang' seseorang yang tidak sehaluan, menegur dan
mengkritik peranan beliau menerusi aplikasi Whatsapp. Benarkah begitu?
Jika benar, padanlah status politik Mukhriz di Kedah tidak pernah
'sihat'. Mengapa perlu 'diserang' secara peribadi? Yang dikritik adalah
peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan. Sewajarnya beliau bersifat
terbuka, berlapang dada untuk bermuhasabah diri dan menjelaskan keadaan
diri tentang apa yang dikritik, bukan 'menyerang' kembali pihak yang
menegur.
Bukan sekali dua saya mendengar rungutan tentang 'lapis-lapis pagar'
atau 'tol' yang perlu ditempuh oleh mereka yang berhajat untuk
berbincang dengan Mukhriz, namun beberapa nama termasuk Azimi acap kali
sering kedengaran menjadi bualan hingga di ibu negara.
Saya memohon maaf secara terbuka kepada Azimi atas penulisan ini.
Bukanlah saya bermaksud untuk memperkecil kehebatan beliau. Namun
saya mengutarakan pandangan dan kritikan yang mungkin boleh membantu
beliau memperbaiki diri pada masa akan datang.
Ikhlas saya katakan, Azimi pun hebat orangnya dan ada kualiti
tertentu yang menarik minat Mukhriz untuk membantu beliau di Kedah. Apa
yang pasti, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Azimi pada masa
akan datang. Gagal sekali bukan bermaksud gagal selamanya, bukan? Harap
beliau mampu belajar dari kesilapan...
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment