Thursday, January 07, 2016

Kementerian Siasat Dakwaan Pengilang Berpakat Tetap Potongan Padi Di Selangor – Shabery

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjaH5AV4f0TM-al6zes7vIjLIJ4o3xvmUQCTFjBZZnvk9p5-ceFjMQKJixkcPHK78ZAOGnqD1GerZoyiLEduepDdHQ5LLhoHKlGLkRPZFPEryt49c2RCBlPePOklYK2PgxClBcFTZiRrlU/s1600/Shabery-Cheek-Parlimen.jpg
PUTRAJAYA : Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menyiasat dakwaan petani di Sabak Bernam, Selangor bahawa terdapat pakatan dalam kalangan pengilang di negeri itu menetapkan kadar pemotongan pemutuan padi sebanyak 20 peratus.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kementerian tidak pernah mengeluarkan arahan supaya pembeli padi melakukan penyeragaman itu sehingga menyebabkan penurunan pendapatan hampir 1,000 petani di kawasan itu.

“Kementerian akan lihat secara terperinci apa yang berlaku di Selangor. Sepatutnya potongan adalah mengikut kualiti padi yang dihasilkan, tetapi jika ada keseragaman (dalam kalangan pengilang), itu bukan pemutuan sebenar,” katanya hari ini.

Terdahulu, beliau menerima notis bantahan berhubung perkara itu daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi, yang mewakili kumpulan petani berkenaan, di pejabatnya di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2016 mengumumkan Pemutuan Sebenar Padi adalah berasaskan penyeragaman harga pada paras RM1,200 bagi setiap tan metrik, selain peningkatan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) dari RM248.10 kepada RM300 bagi setiap tan metrik.

Ahmad Shabery berkata pesawah di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Kelantan mencatatkan peningkatan pendapatan antara RM11.66 hingga RM37 bagi setiap tan metrik selepas mekanisme itu dilaksanakan.

“Kecuali di Selangor. Mengikut perkiraan, pengurangan pendapatan purata petani di Selangor adalah RM0.44 bagi setiap tan metrik, tetapi menurut petani di Sabak Bernam, terdapat pengurangan RM1.92.

“Jadi, adalah agak ganjil apabila petani di Selangor mengalami penurunan pendapatan sedangkan selama ini, sememangnya diketahui mereka diletakkan sebagai penanda aras dari segi disiplin dan kualiti padi yang dikeluarkan,” katanya.

Sementara itu, Budiman berkata peningkatan SSHP seolah-olah tidak mencapai sasaran apabila petani di Selangor tidak menikmati hasil yang sepatutnya.

Beliau berkata mengikut pemotongan 17 peratus yang dilaksanakan sebelum ini, rata-rata pesawah di Sabak Bernam menerima pendapatan sebanyak RM1,201.92 bagi setiap tan metrik berbanding RM1,200 apabila pemotongan 20 peratus dibuat.

“Kita harap kementerian meningkatkan pemantauan terhadap para pengilang bagi memastikan mereka menggunakan sistem atau prosedur operasi standard (SOP) yang betul supaya petani tidak tertipu,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment