Thursday, January 14, 2016

Melayu Jangan Ditipu Strategi DAP Raih Kuasa - PERKASA

Orang Melayu dinasihatkan supaya tidak tertipu dengan strategi DAP yang mendakwa parti itu tidak anti Melayu dan Islam.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, dakwaan itu jelas bertentangan dengan tindakan parti itu sebelum ini yang sering mempertikai dan mempersoalkan keistimewaan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Katanya, sikap sebenar DAP dapat dilihat apabila mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menggariskan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu.

“Kenyataan ini sebenarnya me­ngulangi skrip-skrip yang lalu dan saya menyifatkan ini semua janji kering kepemimpinan parti tersebut untuk menarik undi orang Melayu.

“Jika benar DAP ini parti yang tidak anti Melayu dan Islam, saya ingin mempersoalkan kepemimpinan tertinggi mereka yang majoriti dianggotai oleh orang Cina,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perkasa di Wisma Koperasi Guru-Guru Malaysia Berhad (KGMB), Selasa.

Beliau mengulas mengenai ura-ura bahawa DAP bakal memperkenalkan lebih ramai calon Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dalam perkembangan lain, Ibrahim yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, beliau tidak percaya terdapat pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini mengalami kebuluran.

Katanya, situasi sebenarnya adalah pelajar hari ini tidak biasa hidup susah dan gagal membiasakan diri dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Saya tidak percaya terdapat pelajar IPTA di negara ini hidup kebuluran kerana Malaysia mempunyai banyak makanan berlebihan. Mungkin terdapat pelajar yang kurang berkemampuan yang terpaksa menanggung semua keperluan termasuk yuran sendiri.

“Atau pelajar berkenaan hanya mendapat pinjaman untuk membayar yuran manakala kos sara hidup seperti makan, minum dan keperluan belajar perlu ditanggung sendiri,” katanya merujuk laporan terdapat penuntut universiti kelaparan yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment