"Surau sekolah memerlukan pagar dan saya hanya melakukannya selepas meminta kebenaran guru besar," kata Marcus.
Thursday, January 14, 2016
Inilah Yang Kita Mahukan Bersatu Padu...... Guru Bukan Islam Guna Kemahiran Bertukang Bina Pagar Surau
KOTA KINABALU : Apabila seorang guru, Marcus Limban menggunakan
kemahiran bertukangnya untuk mendirikan pagar di sekeliling surau
sekolah bagi mengelak daripada dihampiri anjing liar, dia tidak pernah
menjangka tindakannya itu akan melonjakkan beliau sebagai simbol
keharmonian agama di negeri ini.
Marcus, 62, dan kini telah bersara terkejut apabila media sosial memberi
perhatian terhadap tindakannya itu yang turut mengeluarkan perbelanjaan
sendiri.
Beliau yang beragama Kristian berkata beliau hanya mahu rakan-rakan
beragama Islam dan murid-murid di SK Bawang, kawasan di luar bandar
Tamparuli, yang terletak kira-kira 70km dari sini dapat menunaikan solat
tanpa diganggu haiwan sesat itu.
"Saya tak tahu siapa yang ambil gambar saya apabila saya membina pagar
itu lebih dari setahun lalu dan terkejut perkara ini menjadi besar,"
kata beliau dalam satu temu bual telefon.
Bapa kepada lima anak ini berkata ia tidak menjadi masalah besar buat
dirinya kerana beliau hanya melakukan yang terbaik terhadap apa yang
disukainya iaitu bertukang.
"Saya tak tahu mengapa orang bercakap tentang perkara ini sekarang.
"Surau sekolah memerlukan pagar dan saya hanya melakukannya selepas meminta kebenaran guru besar," kata Marcus.
Katanya beliau pasti orang lain juga akan melakukan perkara yang sama jika mereka mempunyai kemahiran seperti dirinya.
"Lagipun ia hanya satu pagar kecil," katanya.
Marcus berkata mendirikan pagar surau tidak sepatutnya menjadi isu,
kerana agama tidak harus dipertimbangkan sebelum membantu sesiapa
sahaja.
"Saya hanya membantu dan tidak perlu diberi perhatian seperti ini," katanya.
Seseorang telah mengambil gambar beliau membina pagar di sekolah tersebut dan memuat naiknya di laman sosial baru-baru ini.
Gambar itu telah tersebar, dengan ramai pengguna Internet memuji Marcus.
Ramai juga yang menyatakan bahawa tindakan ini adalah salah satu
daripada banyak contoh bantuan daripada orang berbeza agama di Sabah.
Guru Besar SK Bawang Rosemary Jamari, 56, berkata Marcus membeli simen
dan bahan lain untuk membina pagar itu dengan wangnya sendiri dan
membina pagar itu sebelum beliau bersara kira-kira setahun lalu.
Beliau berkata Marcus adalah seorang yang pemalu, tetapi kuat bekerja
dan seorang lelaki yang suka membantu tanpa meminta perhatian.
Rosemary berkata Marcus juga membina kelas kemahiran hidup di sekolah
itu selepas mendapat tajaan daripada Perbadanan Pinjaman Sabah untuk
menaja bahan bagi membina bangunan kayu itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment