Wednesday, January 06, 2016
PAS Kelantan Tidak Tolak Kerjasama Dengan UMNO
Pas Kelantan tidak menolak kemungkinan akan
bekerjasama dengan UMNO untuk menentang PAN dalam Pilihan Raya Umum
Ke-14 (PRU-14) biarpun Majlis Syura Ulama menegaskan bahawa parti itu
tidak akan menyertai Barisan Nasional (BN).
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah bagaimanapun
menjelaskan sehingga kini tidak ada sebarang perbincangan dibuat dengan
UMNO untuk mewujudkan kerjasama tersebut.
“Kita tidak pernah bincang sampai ke situ lagi tetapi dalam dunia
ini, semua perkara boleh berlaku. Kalau nak kata tak mungkin, kita tak
tahu… sebab benda ini mungkin berlaku… tapi tak pernah bincang lagilah.
“Kerjasama Pas dengan UMNO sekarang lebih kepada isu melibatkan
kepentingan agama, umat Islam dan negara,” katanya kepada pemberita
selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Pas Kelantan di Kompleks Kota
Darulnaim di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PAN negeri, Datuk Wan Abdul Rahim
Wan Abdullah bahawa pihaknya mahu bertanding di negeri ini dan bersedia
berunding dengan Pas bagi mengelak pertembungan tiga penjuru dalam
PRU-14.
Pada masa yang sama Mohd. Amar yang juga Naib Presiden Pas menegaskan
keputusan pihaknya untuk tidak bekerjasama dengan PAN adalah muktamad
meskipun parti itu mungkin tewas dan kehilangan negeri ini dalam PRU-14.
“Bukan soal kalah atau menang, soalnya asas pendirian kita adalah
tidak akan ada sebarang kerjasama atau rundingan dengan PAN. Kalau PAN
nak bertanding, maka kita akan berdepanlah… tiga penjuru ke, empat
penjuru ke.
“Keputusan kita serah kepada rakyat, kalau ditakdirkan Allah SWT kita
menang, kita menanglah. Kalau kalah nak buat macam mana,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengumuman Majlis Syura Ulama Pas
bahawa parti itu tidak akan menyertai BN diharap dapat menghentikan
spekulasi tentang gabungan kedua-dua parti tersebut.
Ditanya mengenai tindakan DAP, PKR dan PAN mahu memuktamadkan
perjanjian tanpa penglibatan Pas, Mohd. Amar berkata, Pas tidak pernah
rasa disisihkan kerana parti itu sendiri yang membuat keputusan untuk
tidak menyertai gabungan tersebut.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment