
Tuesday, January 12, 2016
Peminjam Tidak Terikat Guna Panel Peguam LPPSA

KUALA LUMPUR : Penjawat awam yang membuat pinjaman perumahan melalui Lembaga Pinjaman Perumahan Sektor Awam (LPPSA) tidak terikat untuk menggunakan panel peguam yang dilantik lembaga itu.
Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA Norsimah Ab Wahab berkata peminjam boleh memilih untuk menggunakan khidmat panel peguam yang dilantik LPPSA atau peguam yang bukan panel bagi urusan dokumentasi pembiayaan mereka.
“Pelantikan panel ini bertujuan untuk melancarkan lagi proses urusan pembiayaan perumahan di pihak LPPSA dan peminjam,” katanya kepada Bernama.
LPPSA menggantikan Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP), Perbendaharaan Malaysia mulai 1 Jan lepas bagi mengambil alih segala urusan pentadbiran, pengurusan dan pemberian pembiayaan perumahan kepada penjawat awam.
Pengambialihan itu tidak melibatkan sebarang perubahan dasar, dengan kemudahan sedia ada yang dinikmati penjawat awam seperti jumlah kelayakan pinjaman, kadar faedah dan kemudahan lain, masih kekal.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda meminta supaya prosedur pinjaman perumahan sektor awam sebelum ini iaitu pelantikan peguam diuruskan peminjam sendiri dapat dikekalkan.
Azih dilaporkan sebagai berkata pelantikan panel peguam oleh LPPSA dikhuatiri tidak akan membela peminjam.
Sementara itu, Norsimah berkata permohonan pinjaman boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem Pinjaman Perumahan Bersepadu (SPPB).
“Penjawat awam boleh memohon pinjaman perumahan dan mendapatkan maklumat berkaitan pinjaman melalui laman sesawang LPPSA www.lppsa.gov.my,” katanya.
Mereka juga boleh menghubungi talian khidmat pelanggan 03 8880 1600.
Maklumat tambahan juga boleh didapati di Facebook dan Twitter ‘Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam’.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment