Thursday, January 07, 2016
Siapa Rakam Gambar, Aibkan Pelajar Dan Ibu Pelajar Ini?
EDITOR MENULIS...
7 JANUARI 2016
Sejak beberapa hari lalu, kecoh diperkatakan tentang sekeping gambar
yang memaparkan seorang pelajar tingkatan satu yang dikatakan kononnya
terpaksa berkongsi pakaian sekolah dengan abangnya yang belajar di
tingkatan empat.
Semalam, ibu pelajar tersebut menafikan dakwaan yang tersebar dan
menjelaskan bahawa meskipun beliau merupakan ibu tunggal, namun masih
mampu menyediakan pakaian sekolah yang cukup untuk 3 orang anaknya.
Malah sebenarnya menurut ibu tunggal itu, anak bongsunya yang belajar
di tingkatan satu itu lewat mendaftar kerana baru tahu ditetapkan
belajar di sekolah berkenaan, bukan kerana berkongsi baju dengan
abangnya sebagaimana yang tersebar.
Timbul persoalan di fikiran saya. Pertamanya, siapakah yang
merakam gambar adik berkenaan? Jika dilihat dari gambar tersebut,
berkemungkinan besar ia dirakam di dalam bilik guru atau pejabat sekolah
berdasarkan susun atur perabut dan keadaan sekitarnya.
Timbul persoalan kedua, siapakah yang merakam gambar tersebut? Apakah
Pengetua Sekolah? Guru? Kerani sekolah? Pembantu guru? Pembantu tadbir?
Pekerja am? Atau tukang kebun? Atau siapa?
Ketiga, siapakah yang bertanggungjawab menyebarkan gambar tersebut
bersama ‘cerita sedih’ berkenaan pelajar tersebut? Apakah makcik Senah
yang berniaga apam balik atau pakcik Kadir yang menjual air tebu di
pinggir pagar sekolah?
Sudahlah gambar tersebut tidak di’blur’kan wajah pelajar berkenaan,
malah ceritanya sama sekali tidak benar berbanding cerita sebenar dari
ibu pelajar tersebut.
Pada pandangan saya, berkemungkinan besar gambar itu telah dirakam
oleh ‘orang dalam sekolah’ berkenaan. Takkanlah makcik Senah atau
pakcik Kadir tiba-tiba masuk pejabat sekolah atau bilik guru untuk rakam
gambar berkenaan, kan?
Tidak menyiasat secara terperinci, dia kemudian cuba ‘tunjuk baik’
dengan menyebarkan ‘cerita tipu’ di laman sosial. Kononnya ‘bersimpati’
dengan nasib murid itu. Tapi, sedarkah individu itu bahawa perbuatan
tersebut telah memalukan pelajar berkenaan dan keluarganya?
Mungkin nampak niatnya baik untuk ‘membantu’, tapi bantuan sedemikian
rupa bukan saja menjejaskan air muka ibu kepada pelajar tersebut, malah
mungkin pelajar itu sendiri akan rasa malu berdepan dengan rakan-rakan
barunya di sekolah.
Pada pandangan saya, kes seperti ini sering berlaku sejak wujudnya
laman sosial di negara kita. Ramai benar yang teringin jadi ‘reporter
tidak bertauliah’, tapi tidak tahu tentang etika dan prinsip
kewartawanan yang sebenar. Banyak kes begini berlaku di Facebook, bukan?
Lebih malang lagi, kes ini berlaku di sekolah dan berkemungkinan
melibatkan warga pendidik yang sewajarnya menjaga aib para pelajarnya
dari masyarakat umum. Tidakkah mereka rasa bersalah dengan tindakan
sebegini pada pelajar itu dan keluarganya?
Saya menyanjung ‘keprihatinan’ warga KPM dalam membela nasib pelajar
masing-masing.
Namun saya juga yakin bahawa pihak pengurusan sekolah, PPD,
JPN mahupun kementerian mempunyai saluran khas bagi membantu pelajar
yang menghadapi masalah dengan cara yang lebih baik dan rasmi.
Selain itu, insiden seperti ini juga perlu dijadikan iktibar bagi
semua pihak, terutama penjawat awam yang sewajarnya tahu tentang etika
kakitangan kerajaan yang tertakluk pada peraturan dan disiplin tertentu
yang telah ditetapkan. Jika dibuat juga perangai yang begini, jangan
salahkan orang jika tindakan disiplin diambil.
Sudah berbuih mulut SKMM, para pemimpin, ketua polis negara dan
ketua-ketua polis di seluruh negeri mengingatkan masyarakat kita supaya
tidak menyebarkan cerita yang tidak benar dan meminta menyiasat terlebih
dahulu kebenarannya sebelum dikongsi di laman sosial.
Tapi nampaknya nasihat itu tidak dipedulikan, malah cerita palsu
makin berleluasa di laman-laman sosial. Saya tertanya-tanya, tidak
takutkah kita pada dosa fitnah? Atau sememangnya kita rasa bangga jadi
individu pertama yang buat cerita fitnah?
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment