Wednesday, September 05, 2012
Kerajaan Perlu Beri Perlindungan Pada Pelarian Rohingya di Malaysia
2 Ogos 2012
Akhbar Berita Harian Ahad lalu menggemparkan ramai apabila melaporkan hasil
satu kajian Universiti Islam Antarabangsa mendapati tidak kurang daripada 30
kawasan perkampungan, taman perumahan, pasar dan lokasi perniagaan di Lembah
Kelang dikuasai warga asing.
Dengan itu wajah Indonesia, Bangladesh, Kemboja, Myanmar, Vietnam, Nepal,
China dan Afrika semakin bertambah dan wujud di mana-mana saja dari kedai makan,
restoran hinggalah di hotel, pusat beli-belah, pelabuhan serta kilang.
Anehnya kajian itu tidak pula menyebut kewujudan suatu lagi kaum warga asing
yang sudah pun mula kemari sejak awal tahun 80han, ia itu kaum Rohingya yang
lari dari negara mereka Myanmar, dahulunya Burma, kerana tidak tahan ditindas
kerajaan dan rakyat Buddhanya.
Dikatakan keseluruhannya kini sudah terdapat kira-kira 70,000 kaum Rohingya
di Malaysia termasuk sekian ramai anak-anak mereka yang dilahirkan di sini.
Mereka ini dianggap sebagai pelarian dan kerana itu tidak boleh bekerja,
anak-anak mereka tidak boleh memasuki sekolah kebangsaan dan dengan itu
menghadapi kehidupan yang amat sempit hingga memaksa ramai dari mereka menjadi
pengemis.
Aneh juga bila melihat mereka ini yang beragama Islam diberikan layanan yang
begini buruk tetapi kaum-kaum lain berleluasa bermaharajalela tanpa disekat.
Jadi persoalannya kenapakah negara kita juga mahu turut menzalimi kaum ini
yang Bangsa-bangsa Bersatu sendiri mengakui adalah satu-satunya kaum di muka
bumi ini yang paling tertindas dan menghadapi diskriminasi terburuk di negara
sendiri, kerana mereka tidak mahu diterima sebagai rakyatnya.
Myanmar memberi alasan kononya mereka adalah berketurunan Bengali yang
memasuki Burma dari Bangladesh sejak kurun ke-19 lagi ketika Britain menjajah
India (kini India, Pakistan, Bangladesh dan Myanmar). Perlembagaan Myanmar
menetapkan hanya keturunan Bengali yang tinggal di negara itu sebelum
kemerdekaannya daripada Britain pada 1948 sahaja dianggap sebagai warganya.
Semua yang menetap selepas kemerdekaan dianggap sebagai pendatang asing yang
mengancam keselamatannya. Ini membuatkan kaum Rohingya itu menghadapi
diskriminasi ketara ditindas dengan kejamnya oleh tentera, kerajaan dan rakyat
berketurunan Buddhanya. Mereka sering diusir, rumah dan masjid dimusnahkan.
Pergerakan mereka juga amat terhad hingga menjejaskan soal perkahwinan dan
anak-anak mereka.
Hasilnya ramai diantara mereka lari ke negara lain termasuk Malaysia sejak
awal 80an kerana tidak tahan dengan kekejaman yang mereka hadapi setiap hari.
Dan kumpulan awal ini dianggap kerajaan Malaysia sebagai pelarian untuk seketika
sehingga mereka dapat ditempatkan ke negara ketiga.
Malangnya kebanyakan negara ketiga enggan menerima mereka hanya kerana
beragama Islam dan kerajaan Malaysia pula tidak kelihatan bersungguh-sungguh
untuk menangani masaalah kaum ini. Mereka seolah-olah terbiar tanpa pembelaan.
Dan keadaan ini berlarutan hingga sekarang.
Kita seolah telah melepaskan tangan tanpa mahu melakukan sesuatu yang
berkesan. Ini menyebabkan kaum Rohingya ini berada di sini tanpa boleh bekerja
dan anak-anak tidak boleh dimasukkan ke sekolah.
Dalam pada itu kita juga tidak bermaya sebagaimana juga anggota Asean lain
untuk menekan Myanmar apabila ia menganggotai pertubuhan itu supaya berusaha
dengan lebih berkesan untuk mengatasi masalah rakyat Rohinyanya itu dan bersikap
lebih berperikemanusiaan dan lebih prihatin terhadap rakyat Islamnya.
Semua ini tidak kita lakukan sebagaimana juga negara-negara OIC pun lumpuh
untuk bertindak menghalang Myanmar berterusan menindas rakyat Rohingya ini.
Kita juga mengamalkan dasar amat ‘short sighted” dengan tidak membenarkan
anak-anak mereka itu bersekolah. Apakah kita mahu kanak-kanak itu membesar buta
huruf dan tidak mahu mereka boleh berdikari? Ini hanya Kementerian Luar dan
Kementeria Dalam Negeri saja yang boleh berikan jawapan.
Dan masaalah ini berlarutan hingga sekarang tanpa adanya penyelesaian.
Tentunya keadaan begini tidak boleh dibiarkan. Apakah sudah lebih 30 tahun masih
terbiar tanpa dapat dileraikan?
Manakala pendatang asing lain termasuk yang memasuki secara haram boleh pula
bekerja atau berniaga dan anak-anak mereka diterima untuk bersekolah di
sini.
Persoalannya kenapa diskriminasi demikian ini kita lakukan terhadap ummat
Islam itu?
Penindasan ke atas mereka ini di Myanmar wujud lagi baru-baru ini berikutan
dengan suatu kejadian pada 28 Mei di mana tiga orang pemuda Rohingya dikatakan
telah merogol dan membunuh seorang wanita Buddha di Rakhine, dahulunya Arakan
kawasan yang didiami mereka yang bersempadan dengan Bangladesh.
Kejadian itu telah menimbulkan kembali perangsagka buruk terhadap penduduk
Rohingya hingga mencetus keganasan membalas dendam mulanya dengan 10 penduduk
Islam di situ diheret dengan bus hingga mati oleh samseng Buddha pada 3 Jun.
Ini diikuti dengan serangan kekejaman sepanjang tempoh lapan minggu kekacauan
di wilayah itu yang mengorbankan beratus-ratus penduduk manakala berpuluh ribu
lagi terpaksa meninggalkan kediaman mereka. Menghairankan juga pemimpin pro
demokrasi Myanmar dan ikon hak kemanusiaan sejagat, Aung San Suu Kyi sedikit pun
tidak berkata apa-apa terhadap penindasan dan tindakan kejam itu, jauh sekali
membela mereka.
Oleh : Dato' Rejal Arbee ( www. mykmu. net)
*Penulis adalah bekas Ketua Pengarang Berita Harian dan sekarang ini
merupakan Felo Kanan di UKM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment