Wednesday, September 05, 2012

PASTI Gagal : Anak Kecil Diajar Taksub Dengan Pemimpin PAS


2 Ogos 2012

Anak-anak kecil merupakan diantara aset utama sesebuah negara kerana mereka akan menjadi penentu kepada masa depan negara tersebut. Kerajaan Persekutuan Malaysia amat menitik beratkan pendidikan awal dan ini adalah pencetus kepada penubuhan tadika dan tabika KEMAS. Kini projek PERMATA NEGARA telah diadakan bagi menaikkan lagi taraf pendidikan awal selaras dengan visi dan misi kerajaan untuk menjadi negara maju pada tahun 2020 nanti. Kerajaan Persekutuan Malaysia juga mengalakkan penubuhan pusat-pusat pendidikan awal swasta yang mempunyai keunikan dalam bentuk pengajaran dan pembelajaran agar rakyat Malaysia mempunyai pilihan untuk menghantar anak-anak mereka mendapat pendidikan awal pilihan mereka.

Namun begitu usaha murni kerajaan persekutuan ini telah dipergunakan oleh sesetengah pihak untuk menyebarkan ideologi sempit mereka. Persoalannya adalah, adakah ini satu perancangan rapi sesetengah kumpulan untuk memastikan kesinambungan ajaran sesat mereka diteruskan? Ataupun ia merupakan satu gerakan untuk menyemai benih ketaksuban di dalam jiwa anak-anak kecil ini? Apapun natijahnya, tindakan mempolitikkan anak-anak yang belum akhil baligh adalah satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan.

Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) merupakan satu institusi pendidikan yang secara terang-terangan menyebarkan ideologi Parti Islam Se-Malaysia (PAS). PASTI diasaskan pada tahun 1970an dengan nama Tadika Islam. Pengurusan Tadika Islam telah diserahkan pula kepada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang pada ketika itu merupakan NGO yang amat kuat sokongannya kepada PAS. Setelah berlaku perpindahan pengurusan Tadika Islam telah ditukarkan namanya kepada Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI). TASKI diseluruh Malaysia diuruskan oleh ABIM, hanya di Negeri Terengganu dan Kelantan sahaja TASKI diuruskan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri masing-masing. Dewan Pemuda PAS Kelantan telah menukarkan nama TASKI kepada Putera Islam manakala PAS Negeri Terengganu masih mengekalkan nama TASKI. Hanya pada 6 Mei 1987 Dewan Pemuda PAS dengan secara rasminya menubuhkan PASTI, sebuah pusat pendidikan awal yang bertujuan kononnya untuk mendidik anak-anak ahli PAS tentang Islam mengikut acuan pemikiran singkat mereka. Sehingga kini, terdapat lebih 30 PASTI di seluruh negara.

Pada luarannya, PASTI tidak ubah seperti mana-mana institusi pendidikan awal yang lain, anak-anak yang menuntut di PASTI diajarkan dengan asas-asas fardhu ain dan juga pengenalan tentang agama Islam. Doa-doa ringkas dan ayat-ayat lazim turut diajarkan kepada anak-anak kecil ini. Pakaian murid turut mencerminkan betapa “Islamiknya” institusi pendidikan tersebut. Namun begitu sekiranya dilihat dengan lebih dekat PASTI tidak berpusat kepada Islam, tetapi lebih kepada ajaran jumud PAS.

Dinding-dinding kelas di setiap PASTI di seluruh negara dihiasi dengan gambar-gambar pemimpin PAS. Seperti satu tokong pemujaan, para murid di PASTI perlu menghafal nama-nama pemimpin PAS agar ketaksuban dapat disemai sejak umur mereka masih kecil lagi. Selain dari itu, anak-anak kecil ini juga diajarkan untuk menyanyi lagu parti PAS. Ya! Mereka diwajibkan untuk menghafal lagu rasmi PAS dan akan dipaksa untuk menyanyikan lagu tersebut setiap hari. Selingan-selingan isu politik juga diajarkan kepada anak-anak ini disamping silibus pelajaran yang jelas diambil remeh oleh para guru PASTI.

Silibus pengajaran dan pembelajaran PASTI (P&P) dikawal selia oleh pihak PAS pusat melalui “Jabatan Pendidikan PAS” yang terdiri daripada mereka yang begitu taksub kepada parti tersebut. Kesannya, walaupun sudah dua mengikuti kelas di PASTI, anak-anak kecil ini masih lagi tidak mampu untuk mengenali apa itu nombor dan huruf, apatah lagi mengira atau membaca. Malah ada anak-anak kecil yang masih lagi tidak tahu mengenal warna dan nama-nama binatang walaupun telah mengikuti kelas PASTI selama setahun, ini merupakan kegagalan nyata PASTI dan ia tidak patut diambil remeh. Penulis sendiri telah bertemu dengan beberapa ibu bapa yang telah mengeluarkan anak-anak mereka dari terus hanyut dibawah ketaksuban PAS. Mereka dengan jelas tidak mahu membiarkan anak-anak mereka terus dipergunakan bagi menjayakan pelan jahat sebuah parti yang telah tersimpang jauh dari tujuan asal penubuhan mereka.

Yuran PASTI tidaklah murah jika dibandingkan dengan yuran institusi pendidikan awal lain. Untuk menghantar seorang anak ke PASTI ibu bapa perlu mengeluarkan RM 30.00 yuran pendaftaran, RM 70.00 yuran tahunan, RM 120.00 yuran bulanan, RM 60.00 untuk pakaian seragam, RM 62.00 untuk alat tulis, RM 100.00 untuk alat bantuan mengajar, RM 40.00 untuk aktiviti sukan dan buletin bulanan dan RM 2.00 untuk insuran takaful. Jumlah keseluruhan untuk mendaftarkan seorang anak ke PASTI adalah sebanyak RM 484.00. Ternyata PASTi bukanlah bertujuan untuk mendidik secara ikhlas tetapi sebagai satu perniagaan oleh pihak PAS dan sekutu mereka. 

Cuba bandingkan pula dengan yuran institusi pendidikan awal yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia dibawah seliaan KEMAS. Jika ibu bapa ingin menghantar seorang anak ke Tadika Kemas, yuran yang perlu dibayar adalah RM 10.00 untuk pendaftaran (pembayaran hanya sekali sepanjang pengajian) dan RM 25.00 (setahun). Anak-anak yang mengikuti kelas di Tabika Kemas juga akan dilindungi insuran dimana bayarannya adalah termasuk di dalam bayaran yuran pendaftaran. Buku aktiviti dan alat tulis disediakan secara percuma setiap tahun. Jumlah keseluruhan untuk perbelanjaan seorang anak adalah RM 35.00 setahun dan tiada yuran bulanan dikenakan.

Selain dari itu setiap anak yang didaftarkan untuk mengikuti kelas Tabika KEMAS akan diberikan Geran Perkapita sebanyak RM 100.00 setahun. Manakala bagi anak-anak yang datangnya dari keluarga miskin akan diberikan Geran Perkapita Khas sebanyak RM 150.00 setahun. Bukan hanya bayarannya murah, tetapi diberikan pula wang bantuan untuk memudahkan anak-anak ini belajar. Bagi keluarga yang tidak mampu, turut diberikan sumbangan berbentuk baju, beg, pakaian sukan dan macam-macam lagi supaya anak-anak yang berasal dari keluarga miskin dapat mengikuti kelas dengan selesa bersama rakan-rakan mereka yang lain.


Silibus KEMAS dilengkapi dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat untuk kegunaan anak-anak ini dimasa hadapan. Bukan sahaja ilmu duniawi diajarkan tetapi, anak-anak kecil yang mengikuti kelas Tabika Kemas akan turut diajarkan ilmu kerohanian. Bagi murid-murid yang beragama Islam, mereka diajarkan asas Fardhu Ain secara intensif dan praktikal. Manakala bagi murid-murid yang bukan beragama Islam pula akan diajarkan matapelajaran moral bagi membina sahsiah yang baik dan perilaku cemerlang. Guru-guru yang bertugas di tabika Kemas bukan calang-calang. 


Untuk meningkatkan tahap professionalisma dan kualiti pendidikan, Kerajaan Persekutuan Malaysia telah memastikan bahawa guru-guru tabika KEMAS diberikan kursus dan latihan lanjut. Pada 12 Julai lalu, KEMAS telah menaja seramai 3,621 guru yang sedia ada untuk mengikuti kursus diploma pendidikan awal secara sepenuh dan separuh masa. Guru-guru Tabika Kemas ini ditempatkan di Universiti Perguruan Sultan Idris untuk melanjutkan pelajaran mereka. Bayangkan, hanya denga RM 35.00, anak-anak kecil ini dapat mengikuti kelas pendidikan awal terbaik, malah dikatakan taraf pendidikan Tabika KEMAS kini adalah mengikut standard piawaian pendidikan awal kanak-kanak antarabangsa.

Ternyata, PAS telah gagal dalam pengurusan PASTI dan tidak sepatutnya bermegah dengan kewujudan institusi tersebut. Tidak seperti KEMAS yang menyediakan platform pengajian tanpa prejudis, PASTI yang bersandarkan perjuangan sesat PAS dan bertujuan untuk mengaut untung semata-mata ternyata akan menyebabkan negara mengalami kerugian dalam konteks pembangunan pendidikan kanak-kanak, sekaligus merencatkan pembangunan modal insan yang amat diperlukan oleh negara ini. Adalah lebih baik PAS melakukan “damage control” dan menghentikan operasi PASTI, supaya ia tidak lagi dapat merosakkan pemikiran suci dan bersih anak-anak penyokong parti jumud mereka.

Oleh : Che Yan (www. mykmu. net)

No comments:

Post a Comment