Wednesday, September 05, 2012

Pembinaan Hospital Shah Alam Tertunda : Wajarkah Khalid Samad Salahkan JKR ?


3 September 2012

Di Shah Alam, satu projek pembinaan hospital kerajaan telah dimulakan bagi menampung keperluan penduduk setempat. Namun, kerana wujud beberapa faktor yang tidak boleh dielakkan, pembinaan tersebut tidak sempat disiapkan mengikut jadual asal. Ia telah dianjak untuk memberi ruang agar segala pembangunan dapat dilakukan dengan lebih teliti dan tepat.

Namun begitu perkara ini dilihat sebagai satu isu politik yang maha hebat oleh Ahli Parlimen Shah Alam YB Khalid Samad yang sedang tercari-cari salah dan silap orang-orang Barisan Nasional. Di dalam satu tulisan yang disiarkan oleh lidah fitnah terbesar pembangkang Harakahdaily.com bertajuk “Hospital Shah Alam Tergendala Lagi?” bertarikh 29 Ogos 2012, beliau bertindak menyebarkan satu dokumen yang menunjukkan jangkaan tarikh siap projek yang telah dianjakkan.

Khalid Samad menuntut agar Menteri Kerja Raya Dato’ Shaziman Abu Mansor supaya meletakkan jawatan kerana kononya tidak bertanggungjawab dalam perlaksanaan projek tersebut. Tuduhan Khalid Samad mengambarkan bahawa Dato’ Shaziman Abu Mansor bersikap tidak bertanggungjawab dan lepas tangan di dalam hal ini.

Apa yang Khalid Samad tidak sedar ialah, Kerajaan Malaysia mengamalkan konsep tender secara adil, namun perkara ini tidak dapat dilihat oleh Khalid Samad yang begitu bencikan kerajaan persekutuan tanpa sebab. Jika sebelum ini Khalid Samad begitu hebat memperjuangkan ketelusan dalam pemberian tender, kini Khalid Samad menyuruh pula agar JKR tidak menghiraukan prosedur.

Setelah kontraktor Sunshine Fleet Sdn Bhd yang telah memenangi tender pembinaan tersebut gagal, satu proses pembukaan tender baru dijalankan bagi memastikan tiada salah guna kuasa atau pilih kasih berlaku. Namun di dalam pertanyaan perbahasan parlimen yang lalu, Khalid Samad yang dahulunya begitu gila memperjuangkan “ketelusan” dalam isu pemberian tender, menyuruh agar Dato’ Shaziman memberikan sahaja tender tersebut kepada sub kontraktor yang sedang bekerja menyiapkan hospital tersebut. Dato’ Shaziman pula menjawab, jika perkara ini dilakukan, akan timbul pula soal pilih kasih kerana tender baru tidak dibuka bagi penggantian kontraktor lama.

Khalid Samad yang sememangnya tidak pernah konsisten dengan perjuangan, nampaknya tidak begitu berminat dengan pembinaan hospital. Ianya disebut-sebut kerana kononya kesilapan kerajaan persekutuan dalam merancang pembangunan. Apa yang Khalid Samad perlu buat ialah, mencermin diri dan parti anutan beliau dahulu. Beliau juga perlu bertanya berapa banyakkah hospital atau klinik yang telah dibina oleh PAS dan Pakatan Rakyat selama penubuhan mereka di Malaysia.


Perkara ini berbeza dengan komitmen Kerajaan Persekutuan Malaysia yang sememangnya begitu mementingkan kebajikan dan kesihatan rakyat. Ini terbukti apabila terdapat 2,836 klinik kerajaan, 138 hospital pakar/besar, 12 institusi kesihatan khas dan 668 klinik pergigian. Kini dengan adanya penambahan 82 Klinik 1 Malaysia, ia adalah mercu tanda kejayaan kerajaan yang sedia ada dalam menjaga kesihatan rakyatnya.


Sepanjang pemerintahan Barisan Nasional di Negeri Selangor, telah diwujudkan 11 hospital besar/pakar (yang menyediakan 4,719 katil), 49 buah klinik kerajaan, 6 klinik gigi dan 7 klinik 1 Malaysia untuk kemudahan rakyat. Ini tidak termasuk hospital swasta yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan terutamanya dikawasan bandar. Melihat jumlah penduduk yang semakin meningkat, kerajaan persekutuan telah merangka pelbagai pelan untuk membina lebih banyak hospital dan pusat kesihatan demi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

Sepanjang empat tahun memerintah negeri Selangor, tiada satu pun hospital atau klinik awam dibina atas hasil usaha negeri sendiri. Perkara ini sama seperti apa yang berlaku di Kelantan, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang tiada satupun pembangunan yang menguntungkan rakyat. Semua pembangunan dari sudut sosial dan kebajikan dilakukan oleh kerajaan persekutuan tanpa mengira fahaman politik majoriti rakyat di sesuatu tempat.

Apa yang nyata di Selangor, tempat hidupnya manusia bernama Khalid Samad ini ialah penambahan dalam perkara-perkara yang merosakkan rakyat. Contohnya penambahan rumah-rumah urut dan tempat menjual arak yang berleluasa. Boleh dikatakan jarak antara satu rumah urut ke rumah urut yang lain dikawasan bandar tidak melebihi 10 km pun. Mungkin juga dengan fikiran yang singkat, orang-orang penyokong Pakatan Rakyat akan menyamakan rumah-rumah urut ini sama sahaja dengan hospital kerana di rumah-rumah urut ini terdapat papan tanda yang memparkan perkataan “KESIHATAN”.

Sebelum menyuruh Menteri Jabatan Kerja Raya untuk meletakkan jawatan, Khalid Samad perlu mencermin diri beliau dahulu. Apakah beliau bertanggungjawab menjaga kebajikan Parlimen Shah Alam selama ini? Ataupun Khalid Samad perlu membuat satu survey agar beliau tahu betapa marahnya rakyat Shah Alam dengan sikap bodoh sombong beliau selepas empat tahun pemerintahan Pakatan Rakyat?

Khalid Samad diharap jangan sibuk menuduh orang lain buruk, sehingga pekung yang membusuk dimukanya sendiri pun tidak beliau sedari.

Oleh : Che Yan ( www. mykmu. net )

No comments:

Post a Comment