
Monday, October 26, 2015
Bajet 2016 Bukti Pencapaian Kerajaan Beri Tumpuan Kepada Golongan Sasar – Zahid
KUALA LUMPUR : Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi menyifatkan Bajet 2016 bukti pencapaian kerajaan
apabila wujudnya kesinambungan tumpuan daripada golongan isi rumah
berpendapatan 40 peratus terendah (B40) kepada golongan berpendapatan
pertengahan (M40).

Beliau berkata intipati bajet itu yang menyentuh berkenaan golongan
sasaran berkenaan menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam meningkatkan
pendapatan rakyat yang amat bersesuaian dengan temanya iaitu
‘Mensejahtera Kehidupan Rakyat’ dalam situasi ekonomi yang mencabar.
“Bajet ini bererti kerajaan juga mengambil keprihatinan kepada
kumpulan berpendapatan sederhana di mana pengurangan cukai yang
memperlihatkan bahagian gaji bersih golongan pertengahan ini lebih
tinggi berbanding dalam Bajet tahun lalu.
“Dalam memberi tumpuan kepada kedua-dua golongan (B40 dan M40) ini,
golongan berpendapatan tinggi terpaksa dikenakan cukai lebih tinggi. Ini
bererti terdapat pengagihan pendapatan daripada golongan pendapatan
tinggi ini demi menjaga kepentingan golongan yang berpendapatan
sederhana dan rendah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas
pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Golongan M40 ditafsir sebagai golongan isu rumah berpendapatan antara RM3,860 hingga RM8,320.
Pada pembentangan itu, Najib mengumumkan Bajet berjumlah RM267.2
bilion yang memperuntukkan RM215.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan
RM52 bilion bagi pembangunan. Kerajaan mengunjurkan pendapatan bagi
2016 sebanyak RM225.7 bilion.
Ahmad Zahid juga menyifatkan bajet itu turut memberi perhatian dan
nilai tambah kepada institusi kekeluargaan melalui pelepasan cukai
kepada anak-anak yang memelihara ibu bapa.
Mulai tahun depan, buat julung kalinya, anak-anak yang menyara ibu
bapa walaupun tidak tinggal bersama akan diberi pelepasan cukai
terkumpul sebanyak RM1,500 masing-masing untuk ibu dan bapa dengan
syarat, ibu dan bapa masing-masing tidak berpendapatan melebihi RM2,000
sebulan dan berumur 60 tahun ke atas.
Menyentuh mengenai bajet kementerian, Ahmad Zahid yang juga Menteri
Dalam Negeri berkata penambahan 500 Rondaan Bermotosikal Polis Diraja
Malaysia (PDRM) dan 500 kereta peronda dengan peruntukan keseluruhan
sebanyak RM35 juta membuktikan kerajaan amat menitikberatkan aspek
keselamatan.
“KDN berbanyak terima kasih kerana keprihatinan kerajaan bukan hanya
dalam soal pencegahan banteras jenayah tetapi dari segi kebajikan
pegawai anggota PDRM dengan pembinaan 2,000 kuarters, ia memberi harapan
dan motivasi kepada anggota yang bertugas 24 jam, 7 hari.
“Penambahan Unit Rondaan Bermotosikal (URV) sebanyak 500 unit dan
kereta peronda MPV 500 unit memperlihatkan bahawa usaha pembanterasan
jenayah tetap dilakukan dengan terjemahan kepolisan moden iaitu dengan
memberi aset dan peralatan moden pada apa yang kita kenali sebagai
‘omnipresent’ (kehadiran polis) untuk pegawai dan anggota berada di
kawasan sasaran,” katanya.
Sebanyak RM31.2 bilion diperuntukkan dalam Bajet 2016 bagi
meningkatkan tahap keselamatan dan ketenteraman awam serta pertahanan
negara, termasuk melengkapkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan
penggunaan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu.
Najib berkata penggunaan teknologi terkini itu adalah bagi
meningkatkan keupayaan ‘Risikan, Pemantauan dan Peninjauan’ agensi di
bawah Kementerian Pertahanan selain tambahan 2,000 unit rumah mampu
milik bagi anggota PDRM, turut dirancang dibina di Rawang, Selangor dan
kawasan-kawasan lain yang dikenal pasti.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai dakwaan pembangkang yang
mengatakan bajet 2016 sebagai ‘gula-gula’ menjelang Pilihan Raya Negeri
Sarawak, Ahmad Zahid berkata: Ia satu komen positif daripada mereka
(pembangkang)…tentu saja.
Ditanya tentang tindakan pembangkang yang membawa sepanduk
antaranya tertulis (Mana RM2.6 bil) ketika sesi pembentangan oleh
perdana menteri, Ahmad Zahid yang juga naib presiden UMNO menyifatkan
tindakan pembangkang itu seperti ‘tidak berpijak di bumi yang nyata’.
“Tahun lepas, mereka bentang bajet dengan cara angkat bajet jingga
tetapi jelas mereka tidak dapat memberi rasionaliasi dari segi hasil
daripada perbelanjaan iaitu mereka tidak dapat berikan input baik di manakah
pendapatan negara bagi perbelanjaan yang dikemukakan,” katanya.
Beliau berkata perbuatan itu menunjukkan pembangkang kekurangan
modal kerana mereka yang dahulunya menentang pelaksanaan Cukai Barang
dan Perkhidmatan (GST) menerimanya dengan memasukkan GST dalam dokumen
bajet mereka sepertimana dilaporkan dalam media sosial.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment