Monday, October 26, 2015
Program Penempatan Pembantu Guru Bakal Diperluas – Mahadzir
KUALA LUMPUR : Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Ke-8
yang memberi fokus menangani isu beban tugas guru melalui inisiatif
Penjajaran Tugas Utama Guru akan diperluaskan ke seluruh negara.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata langkah
menempatkan pembantu guru itu dilihat sangat membantu dalam meringankan
beban guru.
“Secara keseluruhannya, pelaksanaan projek rintis ini telah Berjaya
mengurangkan beban tugas guru dalam skop kerja perkeranian dan teknikal
ICT daripada purata tiga jam hingga 7.4 jam seminggu bergantung kepada
jenis tugas khas yang dipegang oleh guru,” katanya pada persidangan
Dewan Rakyat hari ini.
Inisiatif penempatan pembantu guru yang dilaksanakan di bawah Program
Rintis Pemantapan Profesion Guru (PPG) yang merupakan antara usaha
dilaksana Kementerian Pendidikan dalam menangani beban tugas guru secara
komprehensif, kini melalui projek perintis di Melaka dan Kedah.
Di bawah inisiatif itu, pembantu guru yang terdiri daripada Pembantu
Tadbir (Pentadbiran/Operasi) Gred N17 (PT N17) dan Juruteknik Komputer
Gred FT17 (JK FT17) telah ditempatkan di sekolah untuk mengurangkan
beban tugas operasi dan pentadbiran serta teknikal ICT Guru Tugas Khas
iaitu Guru Data (GD), Guru Perpustakaan dan Media (GPM) serta Guru
Penyelaras Bestari (GPB).
Mahdzir menjawab soalan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam)
mengenai langkah kerajaan bagi mengurangkan bebanan kerja luar hakiki
bagi lebih 500,000 guru supaya tugasan hakiki sebagai pendidik tidak
terjejas.
Menurutnya, pengurangan beban tugas yang tiada kaitan dengan tugas
hakiki guru itu dapat mengembalikan kefungsian dan profesionalisme guru,
namun, pelaksanaan rintis itu bergantung kepada kemampuan kewangan
kerajaan.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh
ketika menjawab soalan pada sesi sama berkata semua universiti awam
perlu mengurangkan kebergantungan terhadap pembiayaan kerajaan dan
menggunakan kepakaran, asset serta konsultasi swasta bagi meningkatkan
pendapatan dan membiayai kos universiti susulan pengurangan bajet
kementerian tahun depan.
“Ini soal membina masa depan di mana kebergantungan universiti kita
terhadap kerajaan terlalu tinggi, ada antaranya sehingga hampir 95
peratus dan yang kurangnya daripada universiti penyelidik bergantung
kepada kerajaan dengan lebih 80 peratus berbanding universiti di dunia
seperti di Thailand yang hanya 30 peratus kebergantungan terhadap
kerajaan,” katanya.
Idris menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) mengenai
langkah alternatif kementerian berikutan kekurangan bajet yang
diperuntukkan kerajaan pada Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas.
Bajet 2016 memperuntukkan RM13.378 bilion untuk Kementerian
Pendidikan Tinggi iaitu lima peratus daripada keseluruhan belanjawan
berbanding RM15.785 bilion dalam Bajet 2015.
Terdahulu, Idris berkata pada masa ini, terdapat sebanyak 107,838
pelajar antarabangsa yang sedang mengikuti pengajian di institusi
pengajian tinggi (IPT) di Malaysia dan 27,812 daripadanya merupakan
pelajar program Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
“Kementerian berharap dengan usaha yang berterusan, Malaysia akan
mampu menarik lebih ramai pelajar antarabangsa bagi mencapai aspirasi
250,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2025 dan seterusnya
merealisasikan hasrat menjadi hab pendidikan pilihan bagi pelajar
antarabangsa,” katanya.
Beliau menjawab soalan asal Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) mengenai
gambaran masa hadapan Sistem Pendidikan Tinggi Negara dari segi pelajar
yang dihasilkan, pensyarah serta penyelidikan oleh universiti.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment