Thursday, October 01, 2015
Berhimpun : Jagalah Akhlak & Mulut
Lama sudah saya tidak mendengar kata-kata “Cina babi”, kecuali selepas 
perhimpunan Merah 16 September. Menyamakan manusia, Cina dengan binatang
 (babi), adalah perbuatan manusia tidak bertamadun. Orang sebegini tidak
 layak memimpin dan menjadi pemimpin.
Atas apa jua alasan, sama ada orang Cina suka makan babi atau tidak, 
perkataan ini sepatutnya tidak boleh sama sekali dikeluarkan di 
khalayak. Apa kata, kalau orang lain berkata, Melayu lembu. Apabila ada 
yang protes, maka kita pun jawab, ia tidak sensitif, kerana orang Melayu
 memang suka makan lembu.
Saya harap orang yang mencari alasan sebegini, bertaubatlah. Perbuatan 
itu tidak menguntungkan dakwah, malah merugikan. Ya, memang saya tidak 
nafikan, turut melabelkan segelintir Cina dengan istilah ultra kiasu, 
tetapi saya merujuk kepada sikap mereka, yang asyik mahu menang, tanpa 
sedikit pun mahu kalah. Tidak kira sama ada Cina atau Melayu atau 
lain-lain.
Perlu diingat, tidak semua Cina makan babi. Ada Cina Islam dan 
segelintir Kristian yang tidak makan babi. Terdapat lebih 80 juta Cina 
Islam di negara China, lima kali ganda jumlah Melayu Islam di Malaysia, 
yang tidak pernah menyentuh babi, kerana mereka beragama Islam.
Malah, orang Cina di China, menerima Islam lebih awal daripada kita. 
Orang Melayu menerima Islam 600 tahun lalu. Orang Cina telah menerima 
Islam hampir 1400 tahun yang lalu. Malah, sejarah pengislaman orang 
Melayu, turut dilakukan oleh pendakwah Cina.
Tanpa orang Cina datang berdakwah dan berdagang ke Alam Melayu (selain 
Arab dan India), mungkin pengislaman orang Melayu secara besar-besaran 
menjadi tidak sempurna.
Justeru, berhati-hatilah apabila 'membabikan' orang lain. Mungkin 
sebelum Islam dahulu, orang Melayu turut memakan dan bermain dengan 
binatang ini.
Dalam insiden kali ini menjadikan saya malu dan terasa ingin memohon 
maaf kepada orang Cina yang tidak ultra kiasu, atas keceluparan orang 
yang mengaku Islam, menggunakan kata-kata kesat.
Saya melakukan sebegini kerana saya amat faham tentang sifat dan makhluk
 yang ALLAH jadikan. Babi sekalipun, haram dimakan atau dipelihara oleh 
orang Islam, namun sifatnya sebagai makhluk ciptaan mesti dihormati, 
kerana ia ciptaan ALLAH, bukan syaitan. Hatta, syaitan sekalipun adalah 
ciptaan ALLAH, sekalipun ia musuh kepada manusia dan bertugas 
menyesatkan manusia.
Apakah salah ALLAH menjadikan syaitan? Begitu juga dengan orang Yahudi. 
Benar, ALLAH melaknati Yahudi dalam al-Quran, kita pun sebut Yahudi 
laknatullah. Pada masa sama, ALLAH memberi kelebihan kepada Yahudi. 
Yahudi menguasai dunia dan ekonomi. Kenapa ALLAH lakukan sedemikian? 
Patutkah kita menyalahkan ALLAH? Yahudi tidak salah, tetapi sikap Yahudi
 itu yang perlu ditangani.
Terkadang saya amat sedih melihat orang Melayu yang mengaku Islam, 
menganiaya makhluk yang tidak berdosa seperti anjing, yang turut menjadi
 sensitif kepada orang Melayu, sehingga kita sanggup menyamak 
beratus-ratus troli, sedangkan perkara yang lebih haram seperti rasuah 
dan riba dibiarkan berleluasa, malah diambil menjadi darah daging.
Justeru, saya memohon supaya kita tidak terlalu beremosi. Ya, memang 
kita menentang sikap ultra kiasu. Tetapi itu bukan bermakna kita 
mengambil sikap memusuhi mereka, kecuali ia memberikan ancaman terhadap 
Islam.
Ambillah iktibar, cerita ibu bapa saya yang berniaga di kawasan orang 
Melayu suatu ketika dahulu. Ibu saya sanggup ‘mencuri’ beras, yakni 
mengambil beras tanpa pengetahuan bapa saya dan memberikannya kepada 
orang Melayu yang mempunyai ramai anak atas dasar belas kasihan.
Saya tidak boleh bayangkan betapa besarnya jasa ibu bapa saya 
‘membesarkan’ orang Melayu yang kesusahan di kampung saya, dengan 
memberikan mereka berhutang, sehinggakan buku hutang bertapuk-tapuk 
tidak berbayar, sehinggakan ada hutang yang ditulis di dinding-dinding 
kedai.
Orang kampung membesar dengan hutang kepada ibu bapa ayah. Ramai anak 
mereka berjaya masuk universiti, hutang masih tidak berbayar.
Bacalah kisah Hajijah Saini mengambil upah menjaga dua anak Cina sejak 
mereka masih bayi lagi sehingga memberi gelaran nama yang sinonim dengan
 bangsa Melayu dan Islam iaitu ‘Hassan dan Abu’.
Hajijah menjaga dan menyayangi anak Cina ini seperti anak sendiri. Makan
 bersuap, tidur di riba, mandi diurus. Adakah wajar kita membenci Cina 
kerana dia Cina?
Begitu juga kisah seorang Cina tua tinggal seorang diri, membeli nasi 
lemak daripada peniaga Melayu. Melihat keadaan Cina tua itu, peniaga 
Melayu ini memberikan nasi lemak secara percuma kepadanya.
Kesimpulan, kita tidak melarang kebebasan berhimpun, jika ada tujuannya.
 Tetapi jagalah akhlak dan mulut. Jika bersalah, mengakulah. Tidak perlu
 mencari alasan yang tidak munasabah. Itu ultra kiasu namanya.
Ultra kiasu tidak hanya ada pada orang Cina, tetapi Melayu juga. 
Berhimpunlah secara baik, tonjolkan imej baik Islam seperti yang 
dikehendaki pimpinan negara kita. 
Oleh : Dr Ridhuan Tee Abdullah 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment