Sunday, October 25, 2015
Bila Bersuara, Maka Dialah Yang Paling ‘Berani’ Dan ‘Benar-Benar Belaka’?
Baru-baru ini dalam satu program anjuran sebuah akhbar, Timbalan
Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yasin meluahkan perasaannya mendakwa
kononnya dia terpinggir dan kurang diberi peranan dalam kepimpinan
parti.
Lebih menarik lagi, beliau membidas para pemimpin UMNO lain yang katanya
‘berdiam diri’ dan kononnya tidak berani bersuara terhadap Presiden,
Dato’ Seri Najib Tun Razak. Bahkan, beliau menyifatkan mereka sebagai
‘pengecut’…
Selaku Timbalan Presiden dan orang lama dalam parti, penulis yakin
bahawa Muhyiddin tidak perlu diarah atau diberi peranan tertentu untuk
berjasa memperkukuhkan parti. Maksud penulis, beliau sepatutnya tahu apa
peranan seorang yang berjawatan Timbalan Presiden.
Sekiranya beliau tahu peranan dan apa tanggungjawab serta etika sebagai
orang nombor dua parti, maka Muhyiddin sudah tentu tahu apa yang perlu
beliau buat dan tindakan apa yang perlu beliau ambil untuk mengukuhkan
parti dan pucuk pimpinan sedia ada.
Justeru itu, penulis berpandangan bahawa kenyataan Muhyiddin yang
mendakwa dirinya terpinggir itu hanyalah mainan perasaannya sahaja.
Beliau tidak pun dipinggirkan dan mungkin beliau sendiri yang rasa
terpinggir atau meminggirkan diri sendiri.
Namun untuk mendakwa para pemimpin UMNO yang lain sebagai ‘pengecut’,
kenyataan itu agak melampau pada pandangan penulis. Kononnya beliau
bersuara, maka itu membuktikan beliau ‘berani’ dan ‘benar’ dengan
tindakannya?
Maaflah. Penulis selaku ahli UMNO tidak menyebelahi mana-mana pemimpin.
Penulis hanya setia pada parti dan lebih mementingkan parti berbanding
kepentingan pemimpin tertentu di dalam UMNO. Pemimpin datang dan pergi,
namun UMNO tetap kekal menerajui negara.
Pada penulis, selaku Timbalan Presiden, sudah tentulah sewajarnya beliau
mempunyai saluran yang sangat banyak untuk bersuara terhadap apa-apa
isu terhadap Najib. Beliau juga seharusnya tahu bahawa suara itu
perlulah disuarakan secara tertutup untuk menjaga nama baik parti dan
pucuk pimpinan UMNO, bukan?
Mentor Muhyiddin yang bernama Tun Dr Mahathir pernah berpesan pada para
bloggers bahawa kita haruslah menggunakan saluran yang betul dan tidak
menegur pemimpin dengan cara terbuka demi menjaga nama baik parti.
Penulis dapat memaafkan Tun M atas lupa beliau pada pesannya sendiri itu
kerana umurnya yang sudah terlalu lanjut, tapi takkanlah Muhyiddin juga
mudah lupa?
Kenapa Muhyiddin tidak terus bersuara di dalam mesyuarat MT? Ada
Muhyiddin bersuara? Berapa kali? Jika bersuara pada setiap kali
mesyuarat, apakah itu Muhyiddin berputus asa dalam menyuarakan sesuatu
yang beliau katakan tidak benar itu? Istiqamahkah Muhyiddin dalam
‘keikhlasan’nya memperbetulkan sesuatu yang beliau katakan tidak benar
itu?
Sekiranya beliau bersuara dan ‘tewas’ bersuara di dalam mesyuarat, maka
sewajarnya beliau mengikut keputusan kolektif yang sepatutnya dipikul
bersama. Jika tidak berpuas hati dan berani sangat, sepatutnya beliau
mengikut jejak langkah Tun Musa Hitam yang meletak jawatan sebagai
Timbalan Perdana Menteri kerana tidak berpuas hati dengan keputusan
kabinet Tun M dulu. Itu barulah boleh dikatakan ‘berani’…
Apabila bersuara, apakah beliau yakin bahawa beliau semestinya benar?
Jika konsep itu benar, maka apa yang dikatakan pembangkang selama ini
juga benar? Mereka juga bersuara, tapi kita semua tahu apa yang
disuarakan itu tidak lebih hanyalah retorik politik yang omongnya kosong
bersandarkan mahu merebut kuasa politik.
Soalnya, kenapa Muhyiddin bersuara tidak mengikut saluran sehingga
menyebabkan pembangkang mengambil kesempatan untuk mencipta spekulasi
negatif terhadap Perdana Menteri? Tidakkah Timbalan Presiden itu begitu
naif sekali untuk sedar bahawa tindakannya itu adalah selari dengan
tindakan untuk menjatuhkan Presiden sendiri?
Muhyiddin bertanya dalam program itu tentang di mana salah beliau. Pada
penulis, pertanyaan itu sangat subjektif dan beliau sendiri boleh
bermuhasabah diri serta menemui jawapan yang paling tepat tentang di
mana letaknya salah beliau.
Jika ditanya pada penonton yang sopan, mana mungkin mereka menempelak
secara berdepan dan menyenaraikan setiap kesalahan Muhyiddin. Nanti
dikatakan kurang ajar dan diangkut keluar oleh pengawal keselamatan
pula. Tak pasal-pasal viral di laman sosial…
Tapi kalau Muhyiddin tanya guru-guru di bawah sana, mungkin beliau akan
menemui jawapan yang agak sesuai dari mereka yang bagaikan ‘tikus putih’
dengan kehebatan ‘sistem-sistem’ serta beban kerja yang sangat ‘luar
biasa’. Padanlah ramai guru dikatakan pro-pembangkang sekarang. Tepuk
dada, tanya guru-guru seluruh negara…
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment