Sunday, October 25, 2015
Pegawai Wanita Rusia Yang Bekerja Di Malaysia Ini Tidak Mahu Balik
Seorang pegawai akhbar Kedutaan Rusia sudah jatuh cinta dengan
Malaysia. Selepas tiga tahun bekerja di Kuala Lumpur, beliau mencintai
dan selesa tinggal di sini.
Polina Matveycheva, juga naib johan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu
2012 mengakui cuaca sejuk dan bersalji di Rusia — sehingga mencecah 25
darjah Celsius bawah paras beku — sering merisaukannya dan sentiasa
menggamitnya pulang ke Malaysia.
Pertandingan pidato itu, yang diadakan di Kuala Lumpur, terbuka kepada
pelajar-pelajar di serata dunia yang mengambil pengajian bahasa Melayu.
Sejak itulah, gadis berambut perang ini berkenalan dengan Malaysia.
“Saya
sudah biasa dari kanak-kanak tidak suka salji, tidak suka hujan. Bila
saya balik Moscow pada musim salji, tidak boleh tahan.
“Saya suka salji tetapi hanya pada hari pertama. Lepas itu, rasa hendak
balik Malaysia. Tidak boleh tahan,” katanya ketika ditemubual oleh
ProjekMMO, Sabtu lalu.
Mengakui jatuh cinta dengan masyarakat dan budaya Malaysia, Matveycheva
berkata berat kakinya untuk meninggalkan negara ini kelak apabila tempoh
perkhidmatannya di kedutaan tamat dua tahun lagi.
Beliau memuji Malaysia. Di matanya, negara ini sememangnya indah dan
mempesona sebagaimana yang diceritakan pensyarahnya sewaktu menuntut di
Moscow University of Oriental Studies tiga tahun lalu.
“Mungkin saya akan balik Rusia dua tahun lagi tetapi saya sangat suka di sini dan sekarang saya tidak mahu balik.”
“Saya suka Malaysia. Di sini semua orang senyum kepada orang yang tidak
dikenali. Di Rusia tidak begitu. Kalau tidak kenal orang, kalau senyum
pada mereka, rasa pelik. Di sana tidak sama,” katanya.
Ditanya perbezaan ketara antara budaya Malaysia dan Rusia, gadis 24
tahun itu berkata warga Rusia sangat mementingkan masa dan segala
perkara mahu disiapkan segera.
Anak tunggal kelahiran Moscow berkata menetap di Malaysia memberikannya
sedikit ruang dan tidak perlu tergopoh-gapah dalam melakukan sesuatu.
“Gaya
hidup di Moscow sangat berbeza, semua mahu cepat. Di sini relaks
sedikit. Di Rusia sangat menepati masa. Bila saya baru datang ke sini
sangat luar biasa.”
“Saya telefon ke salah sebuah jabatan kerajaan, mereka kata akan telefon
semula lima minit, tetapi tidak. Saya harus panggil balik sendiri. Ia
sudah macam budaya tempatan. Saya sudah biasa.”
“Di Rusia, kalau tidak panggil balik, orang akan marah. Kenapa tidak
panggil balik sebab sudah berjanji. Perkataan paling popular di sini,
‘tak apa’,” katanya, sambil tersenyum manis.
Lulusan pengajian Timur ini juga menggemari masakan pedas dan kuih
karipap namun cuba mengelak menikmati nasi lemak kerana bimbang menjadi
gemuk.
“Saya suka karipap dan sambal. Nasi lemak juga suka tapi tidak baik
untuk badan, saya takut jadi gemuk. Hanya sekali dalam beberapa bulan,”
katanya, yang menghabiskan masa di gimnasium tiga kali seminggu.
Peminat filem “Ibu Mertuaku” dan “Penarik Beca” lakonan Tan Sri P
Ramlee, Matveycheva gemar melancong. Kedudukan Malaysia di
tengah-tengah Asia Tenggara memudahkan beliau menikmati negara-negara
jiran.
“Saya sudah melawat Bali, Kemboja dan Thailand. Lokasinya hampir dengan
Malaysia. Tidak seperti di Rusia, negaranya besar, terpaksa terbang
lapan jam untuk ke Vladivostok dari Moscow,” katanya, merujuk kepada dua
kota besar Rusia yang jauhnya hampir 9,300 km.ss
“Di sini, saya sudah melawat Langkawi, Redang, Melaka, Pulau Pinang dan
Johor Baru. Belum ke Sabah dan Sarawak tetapi mahu ke sana.”
“Saya orang Rusia. Di Moscow tidak ada laut. Bila saya di Rusia beberapa
tahun tentulah saya mahu ke laut, berjemur. Orang Rusia suka begitu,”
katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment