Tuesday, October 27, 2015
Bila Biadap Dikategorikan Sebagai “Beradab”, Abdul Hadi Boleh Rujuk Mahfuz…
EDITOR MENULIS...
27 OKTOBER 2015
Saya tersenyum sumbing membaca kenyataan
Ahli Parlimen Shah Salam, Khalid Samad yang cuba menegakkan benang yang
basah tentang tindakan beliau dan konco-konconya yang mengangkat plakad
“RM2.6 Bilion” selepas pembentangan Bajet 2016.
Kata Khalid, tindakan itu “tidak biadab”.
Katanya tindakan itu tidak seteruk tindakan ahli parlimen di luar
negara yang membaling kasut, kerusi dan gas pemedih mata. Itu
justifikasi pengertian “beradab” dari kaca mata Khalid Samad dan
sekutu-sekutunya…
Saya faham. Kata-kata itu ditujukan pada
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini menyifatkan
tindakan Khalid dan ahli parlimen Pakatan Harapan itu sebagai tidak
beradab serta tidak melambangkan sikap pemimpin yang bertamadun.
Terlintas di fikiran saya, apakah
sebenarnya definisi “beradab” dari pandangan Khalid Samad? Apakah perlu
baling kerusi, baling kasut atau lontar gas pemedih mata maka barulah
dianggap sebagai tidak beradab? Jadi tindakan biadab yang lain selain
dari itu maka ia didefinisikan sebagai “beradab”?
Ketika menikmati makan malam bersama
keluarga, apakah Khalid menunggu anaknya membaling kerusi padanya maka
barulah beliau menganggap anaknya itu tidak beradab? Jika anaknya pegang
plakad “balaci DAP” di meja makan tersebut, maka anaknya itu tidak
dianggap sebagai biadab padanya?
Pada pandangan saya, sekiranya seorang
pencuri itu mencuri sebanyak RM1,000 dari kocek Khalid, maka individu
itu layak dilabel sebagai pencuri. Namun, apakah seseorang yang mencuri
sebanyak RM1, maka dia tidak layak dilabel sebagai pencuri?
Hakikatnya, perbuatan kedua-dua individu
itu melakukan kesalahan yang sama iaitu mencuri, bukan? Sama ada jumlah
wang yang dicuri itu RM1, RM100, RM1,000 atau RM1 juta ringgit, maka
dari sudut Islam, mereka berdua tetap dikatakan sebagai pencuri.
Merujuk pada perlakuan memegang plakad
tersebut, saya bersetuju dengan Abdul Hadi.
Memang tindakan tersebut
jelas tidak beradab, tidak bertamadun dan bersifat kebudak-budakan yang
sama sekali tidak matang dalam perlakuannya.
Tidak perlulah Khalid dan geng-gengnya menegakkan benang yang basah tentang insiden tersebut.
Cuma, merujuk pada kenyataan Abdul Hadi,
saya juga ingin mengingatkan Presiden PAS itu bahawa Ahli Parlimen Pokok
Sena, Datuk Mahfuz Omar juga turut bersama dengan Khalid, mengangkat
plakad yang sama.
Secara tidak langsung, di dalam PAS juga
mempunyai ahli parlimen yang tidak beradab, biadab, tidak bertamadun dan
gagal menunjukkan akhlak yang baik. Mungkin Abdul Hadi lebih wajar
bertanyakan tentang hal ini kepada Mahfuz sendiri.
Nampaknya, PAS masih lagi “kurang bersih”
setelah pengkhianat-pengkhianat itu keluar meninggalkan parti. Masih
ada lagi saki baki “syaitan dalam jemaah” di dalam PAS yang mungkin
bakal mencetus gelombang barah kedua dalam parti berkenaan. Setuju Hadi?
Wallahu’alam.
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment