
Tuesday, October 27, 2015
Kesederhanaan, Toleransi, Persefahaman Penting Untuk Kekang Keganasan – Najib
Dasar kesederhanaan, toleransi dan persefahaman
adalah penting untuk memerangi keganasan terutama dalam masyarakat
berbilang kaum seperti di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata Malaysia dan rakan-rakan dalam ASEAN juga
percaya bahawa menangani gejala keganasan memerlukan strategi yang
komprehensif dan jangka panjang.

“Tindakan ketenteraan semata-mata tidak mencukupi tanpa menangani
punca sebenar ia berlaku dan mengamalkan pendekatan pelbagai hala,”
katanya dalam ucaptama bertajuk ‘Menangani Keganasan Global: Peranan
ASEAN’, pada majlis makan malam Persatuan Pertubuhan Bangsa Bersatu
Malaysia (UNAM), di sini Selasa malam.
Perdana Menteri berkata selama berabad-abad, Asia Tenggara
diperkayakan melalui asimilasi dan integrasi penduduk berlainan bangsa
dan tradisi, dengan budaya yang sentiasa mengalu-alukan dan mendapat
manfaat hasil daripada kepelbagaian.
“Kita di Malaysia dan ASEAN harus berusaha untuk mengekalkan cara hidup ini dan menolak ekstremisme,” kata Najib.
Najib juga percaya bahawa Malaysia dan negara ASEAN lain berada dalam
keadaan siap siaga paling baik untuk menangani ancaman tersebut.
Beliau berkata langkah-langkah pencegahan, berwaspada, kesedaran awam
dan kempen anti radikalisme, bersama dengan program pemulihan yang
berkesan semuanya adalah perlu untuk memerangi ancaman ekstremisme dan
keganasan.
Perdana Menteri berkata pendidikan juga memainkan peranan penting
supaya generasi muda diajar asas sebenar mengenai Islam dan agama lain,
yang mendukung keamanan dan keadilan.
“Sebaliknya, demokrasi yang lengkap dengan tadbir urus yang baik,
keadilan sosial dan pendekatan inklusif terhadap pembangunan ekonomi dan
sosial adalah hala tuju yang terbaik,” katanya.
Perdana Menteri berkata pendekatan yang sama juga perlu diamalkan
dalam masjid, gereja dan tempat ibadat lain bagi menjelaskan dengan
sebenar-benarnya bahawa tiada tempat untuk ekstremisme dan ketaksuban
dalam masyarakat.
Sementara itu, Najib berkata inisiatif beliau mengenai Gerakan
Kesederhanaan Global (GMM) adalah relevan pada masa ini, sejak ia mula
diumumkan lima tahun lepas.
“Ia telah diterima baik di peringkat antarabangsa dan pada April
tahun ini, ASEAN memperakui Deklarasi Langkawi mengenai GMM, dengan
negara anggota bersetuju mengadakan program dan dialog antara agama dan
budaya di peringkat antarabangsa, serantau dan nasional,” katanya.
Najib berkata mereka bersetuju mempromosikan pendidikan untuk memupuk
rasa hormat dalam kehidupan, kepelbagaian dan nilai-nilai
kesederhanaan, toleransi, tanpa kekerasan dan persefahaman bersama.
“Ini akan terus menjadi sebahagian daripada teras perjuangan kita menentang keganasan dan IS,” katanya.
Beliau juga berkata Akta Pencegahan Keganasan yang diluluskan di
Parlimen awal tahun ini, adalah perlu untuk memerangi ancaman itu di
Malaysia.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment