Thursday, October 01, 2015
Biografi Ringkas Allahyarham Y.A.Bhg. Tun Abdul Razak bin Dato’Hussein
PENGENALAN
Abdul Razak bin Hussein merupakan satu-satunya anak lelaki Dato’ Hussein
Mohd Taib, Orang Kaya Indera Shah Bandar Pahang daripada isteri pertama
Dato’ Hussein, Teh Fatimah binti Daud. Beliau dilahirkan pada 11 Mac
1922 di Pulau Keladi, Pekan, Pahang dan dibesarkan oleh datuknya yang
sangat mementingkan nilai tradisi dan agama. Sungguhpun beliau berasal
daripada golongan yang berada, sikap rendah diri dan sopan jelas nampak
pada zaman persekolahannya. Beliau berkaki ayam di sekolah kerana tidak
mahu terasing daripada sebahagian rakannya yang tidak mampu membeli
kasut getah.
Semenjak kecil beliau merasakan kemunduran dan kemiskinan di desa di
bawah pemerintahan Colonial British. Serta keperitan hidup ketika Jepun
menduduki Tanah Melayu pada zaman remajanya. Kemungkinan besar,
kepayahan anak bangsanya ketika itu telah memberi dorongan kepada Tun
Abdul Razak Dato’ Hussein untuk membawa angin perubahan kepada rakyat
Malaysia khususnya.
Tun Abdul Razak bin Haji Dato' Hussein Al-Haj merupakan Perdana Menteri
Malaysia yang kedua menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dari
tahun 1970-1976. Namun, penglibatan beliau di dalam pembangunan negara
dapat dilihat lebih awal sebelum itu. Tun Abdul Razak telah banyak
membantu Malaysia dari segi ekonomi, pembangunan luar Bandar, hubungan
antarabangsa, pendidikan dan perpaduan Rakyat.
Kronologi Perkhidmatan Tun Abdul Razak dalam Kerajaan
1951 Di lantik sebagai ahli tidak rasmi dalam Majlis Perundangan Persekutuan
1952 Di lantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang
1955 Di lantik sebagai Pemangku Menteri Besar Pahang
1955 Menteri Pendidikan
1956 Delegasi Kemerdekaan Malaya ke United Kingdom
1957 Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan
1959 Menteri Pembangunan Luar Bandar
1969 Pengarah MAGERAN (Selepas Mei 13)
1971 Perdana Menteri Malaysia
Permulaan Sebagai Tokoh Negara
Sumbangan Tun Abdul Razak di dalam pembangunan Negara dapat dilihat
semenjak zaman sebelum Merdeka. Ketika itu Tun Abdul Razak bersama Tunku
Abdul Rahman (Perdana Menteri Malaysia Pertama), berserta Delegasi
Kemerdekaan telah berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan Negara daripada
British semenjak tahun 1950. Tanah Melayu ketika itu berada di bawah
jajahan kolonial British yang kurang efisien. Delegasi Kemerdekaan
inilah yang bekerja siang dan malam memerdekakan Negara daripada
cengkaman penjajah.
Pada tahun 1952, kerjasama Politik Melayu-Cina telah ditubuhkan di
antara UMNO (Parti Dominan Melayu) dan MCA (perwakilan Cina) dan
dikenali sebagai Perikatan. Pada tahun berikutnya, MIC (Perwakilan
India) telah menyertai Perikatan dan sekaligus membentuk Parti Politik
yang cukup kuat untuk menerajui Negara.
Pada tahun 1955, Perikatan telah menyuarakan kehendaknya pada Kolonial
British untuk mengadakan satu pilihanraya umum untuk membuktikan bahawa
Malaya ketika itu sudah bersedia untuk Merdeka. Usaha mereka membuahkan
hasil di mana Perikatan telah berjaya memenangi 51 daripada 52 kerusi yg
dipertandingkan. Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai Menteri
Pendidikan dan bermula dari saat inilah pembangunan Negara bermula.
SUMBANGAN:
Pendidikan
Tun Abdul Razak bin Hussein adalah orang pertama dilantik sebagai
Menteri Pendidikan Malaysia yang ketika itu digelar Menteri Pelajaran.
Pada tahun 1955 beliau telah dilantik dan membawa banyak perubahan dalam
bidang pendidikan termasuk yang melibatkan sukatan pelajaran dan isu
berkaitan Bahasa Melayu.
Sebagai Menteri Pelajaran pertama, Tun Abdul Razak membentuk Dasar
Pelajaran Kebangsaan yang dikenali sebagai Penyata Razak 1956. Penyata
ini yang diumumkan pada 16 Mei 1956 telah digubal dengan tujuan mengubah
corak pembelajaran murid-murid. Beberapa perkara yang terkandung di
dalamnya adalah untuk menyelaraskan sukatan pelajaran semua aliran
sekolah di negara ini serta mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar dalam pengajaran di pusat-pusat pendidikan serta menyemarakkan
keharmonian kaum sejak dari peringkat kanak-kanak lagi.
Sejak perlantikan beliau juga, Tun Abdul Razak telah membina sejumlah
3,000 buah sekolah serta tiga juta orang dewasa yang buta huruf telah
dapat membaca dan menulis melalui Kelas Dewasa.
Ekonomi
Pentadbirannya yang tidak sampai enam tahun telah menyaksikan
pembangunan yang begitu pesat di seluruh negara. Dasar Ekonomi Baru
telah diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak pada pertengahan 1971 untuk
membasmi kemiskinan di kalangan semua kaum dan menyusun semula aktiviti
ekonomi ke arah pembahagian kekayaan negara yang lebih saksama. Beliau
dan "generasi kedua" ahli politik Melayu melihat begitu perlunya
penyelesaian perbezaan jurang ekonomi dan sosial yang dihadapi oleh
mangsa perkauman.
Semasa kepimpinan Tun Abdul Razak, melihat perubahan terhadap penyertaan
Bumiputra didalam sektor ekonomi secara lebih pesat khususnya dengan
penubuhan agensi-agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), PERNAS dan
lain-lain hasil dari cadangan-cadangan oleh Kongres-Kongres Ekonomi
Bumiputra yang diadakan. Setiap pembangunan yang pesat ini adalah
mendapat sokongan padu serta usaha oleh Tun Abdul Razak sendiri.
Pembangunan Luar Bandar
Tun Abdul Razak juga amat menitikberatkan kemajuan luar Bandar. Beliau
menganggap apa yang penting dalam sistem demokrasi ialah keseimbangan
social dan ekonomi di mana semua rakyat dapat memainkan peranan dalam
kemajuan Negara. Oleh itu, beliau banyak menyumbang pembangunan didalam
sektor ini. Sejajar itu, beliau digelarkan Bapa Pembangunan Malaysia.
Antara sumbangannya ialah Buku Hijau peringkat kebangsaan telah
dilancarkan pada 20 Disember 1974. Rancangan Buku Hijau ini menumpukan
perhatian kepada penggunaan tanah yang sepenuhnya, tanaman jangkapendek
(selingan dan bukan selingan), perkebunan cara berkelompok, rancangan
ternakan, rancangan pelihara ikan air tawar, pemasaran yang baik dan
projek-projek kecil.
Matlamat rancangan ini ialah menambahkan pengeluaran bahan-bahan makanan
supaya cukup untuk keperluan negara, menambahkan pendapatan rakyat
luarbandar sebagai usaha mengurangkan tekanan inflasi dan kerjasama
rakyat, wakil rakyat dan pegawai kerajaan supaya lebih cergas melibatkan
diri dalam usaha- usaha pembangunan.
Pada tahun 1960, Tun Abdul Razak juga memperkenalkan Buku Merah yang
mengandungi berbagai projek pembangunan tiap Daerah yang terdapat di
Bilik Gerakan Negeri dan Daerah di seluruh Negara. Buku ini juga menjadi
panduan kepada pegawai-pegawai kerajaan dalam menggerakkan pembangunan
luar bandar seperti pembinaan jalan, parit, surau, klinik, kelas dewasa,
perkhidmatan telefon dan sebagainya. Melalui usaha ini juga, maka
terbentuk pelbagai agensi kerajaan untuk mencapai matlamat itu termasuk
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Negeri-negeri.
Perhubungan Antarabangsa
Dasar luar Malaysia adalah kesinambungan kepada dasar dalam negeri
bertujuan untuk menjaga dan mengekalkan keselamatan, keharmonian,
kesejahteraan ekonomi dan lain-lain kepentingan-kepentingan negara.
Di bawah Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak, Malaysia mula memberi
penekanan kepada dasar berkecuali (non-aligned) dan telah menjadi ahli
Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada tahun 1970. Beliau
menggesa agar Malaysia mengamalkan sikap berbaik-baik dengan semua
negara tanpa mengira kefahaman dan ideologi. Hubungan diplomatik
dijalinkan dengan China dan negara-negara Indochina di samping
meningkatkan kerjasama ASEAN. Pada masa yang sama, Malaysia memberi
penekanan kepada konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) dan
South East Asia Nuclear Weapon Free Zone (SEANWFZ).
Selain itu, semasa kepimpinan Tun Abdul Razak juga, Malaysia telah
menganggotai Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan mula dikenali
sebagai sebuah “negara Islam”. Semangat ingin berbaik-baik dan mencari
rakan baru pada masa itu juga telah merapatkan lagi hubungan Malaysia
dengan Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM). Beliau turut
menggalakkan pelaburan selain daripada sumber-sumber British.
Saat-Saat Akhir
Sebagai seorang yang bertanggungjawab terhadap Agama, Bangsa dan Negara
beliau tetap setia memberi yang terbaik demi kesenangan generasi yang
akan datang. Tiada siapa mengetahui bahawa tahun-tahun akhir
kehidupannya, Tun Abdul Razak tetap mengerah keringat menyumbang buah
fikiran serta perubahan sekalipun kondisi kesihatan beliau kerap
terganggu. Tun Abdul Razak tetap menjalankan tugas hingga ke saat akhir.
Tanggal 14 Januari 1976 bersamaan 11 Muharam Tun Abdul Razak telah
kembali ke rahmatullah kira-kira jam 6.30 petang waktu Semenanjung di
London. Berita kematian beliau di London mengejutkan rakyat seluruh
Negara. Kematian beliau disebabkan oleh penyakit acute leukemea yang
menyerang beliau beberapa minggu lalu.
Perdana Menteri Malaysia Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein dimakamkan di
Makam Pahlawan Masjid Negara di sebelah makam sahabat karibnya, Tun Dr.
Ismail bin Abdul Rahman pada 16 Januari 1976. Semoga rohnya dicucuri
rahmat.
AL –FATIHAH
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment