Thursday, October 01, 2015
Dua Laporan Polis Berhubung Dakwaan Raja Muda Selangor Murtad
KLANG : Sebanyak dua laporan polis dibuat di balai polis Seksyen 6 di
Shah Alam berhubung berita palsu yang mendakwa Raja Muda Selangor,
Tengku Amir Shah murtad dan memeluk agama katolik.
Laporan polis itu dibuat oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk
Mohamad Munir Bani dan setiausaha sulit putera Sultan Selangor,
Hanafisah Jais pada pukul 4 petang Isnin.
Menurut dua laporan berkenaan, kedua-dua pengadu berkata, mereka
menjumpai status yang dikeluarkan oleh seorang pengguna menggunakan nama
samaran "Rahim Tambychik", semasa menggunakan laman sosial itu Istana
Mestika di Seksyen 7, Shah Alam pada kira-kira pukul 8 pagi Jumaat lalu.
Menurut status itu: "Berita pertukaran agama oleh Putera Sultan
Selangor, Tengku Amer Shah, ke Katholokisme amat menyedihkan umat Islam
di seluruh negara dan dunia. Kesedihan ini ditambah dengan dua tragedi
timpa umat Islam di Mekah dan Arafah. Moga hasrat Sultan Selangor
bertemu Pope Vatican City akan berhasil."
Mereka berkata, status berkenaan "sama sekali tidak berasas, tidak benar dan fitnah."
"Oleh itu, polis akan mengambil tindakan terhadap pengguna Facebook yang
menggunakan nama "Rahim Tambychik" bagi mengelakkan sebarang tanggapan
negatif terhadap Raja Muda Selangor dan juga keluarga diraja Selangor.
"Dipercayai tindakan ini akan menghentikan segala bentuk salah guna atau
tuduhan liar yang dilemparkan kepada Raja Muda Selangor, dan juga
Sultan Selangor," kata mereka.
Siasatan polis menunjukkan bahawa dakwaan itu berdasarkan sebuah artikel
lama yang palsu diterbitkan secara dalam talian sebelum ini.
Ia kemudiannya diikuti amaran Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu
Bakar pada 25 Julai lalu kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan
khabar angin itu.
Difahamkan, halaman Facebook di atas nama "Rahim Tambychik" tidak lagi boleh dicari dan polis percaya ia telah dipadamkan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana
memfitnah, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana
penggunaan yang tidak wajar terhadap kemudahan atau perkhidmatan
rangkaian.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment