
Tuesday, October 06, 2015
Jerebu : Indonesia Perlu Ambil Tindakan

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, kerajaan
Indonesia perlu mengambil tindakan terhadap pihak yang menjadi dalang
penyebab jerebu yang bukan sahaja menjejaskan kualiti udara di Malaysia
tetapi juga ekonomi negara.
Perdana Menteri berkata, hanya Indonesia sahaja dapat memastikan dan
membuktikan sama ada keadaan jerebu disebabkan aktiviti pembakaran
terbuka oleh syarikat perladangan di negara itu atau kesan daripada
perubahan cuaca.
Menurutnya, pihak Indonesia sahaja boleh memperoleh bukti daripada
syarikat perladangan yang beroperasi di negara itu yang melakukan
aktiviti pembakaran terbuka.
“Perlu pastikan sama ada jerebu disebabkan perbuatan manusia atau
kebakaran berlaku disebabkan cuaca kering,” katanya ketika mengulas
keadaan jerebu di negara kepada wartawan Malaysia sebelum berlepas
pulang selepas mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke Milan.
Beliau berkata, penyelesaian kepada masalah jerebu memerlukan
kerjasama erat antara Malaysia, Indonesia dan Singapura dalam mewujudkan
pelan tindakan yang lebih berkesan.
“Ia mengambil kira perjanjian yang dibuat antara ketiga-tiga negara dalam menangani isu jerebu.
“Malaysia bersama-sama Singapura dan Indonesia masih berusaha untuk
menterjemahkan perjanjian tersebut dalam bentuk tindakan yang sesuai
supaya perkara tersebut tidak berulang,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment