Tuesday, October 06, 2015
Mampukah PAS Pertahankan Ketegasannya?
Pemimpin-pemimpin
Pas ternyata ‘terluka’ dengan terwujudnya Parti Amanah Negara (Amanah)
yang dipelopori oleh bekas-bekas pemimpin parti itu. Justeru kelmarin,
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden,
Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah memberi isyarat jelas bahawa parti itu
sama sekali tidak akan memberikan kerusi miliknya kepada Amanah untuk
bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Malah Mohd. Amar dengan tegas menyatakan
Pas ber-sedia berhadapan dengan Amanah dalam PRU di kawasan yang
ditandingi oleh Pas. Beliau menegaskan perkara itu kerana yakin PKR dan
DAP tidak akan sanggup memberi laluan kepada Amanah untuk bertanding di
kerusi milik kedua-dua parti tersebut.
Tuan Ibrahim pula memberi peringatan
kepada Amanah bahawa mereka tidak akan mampu menggugat kekua-tan Pas dan
Pas tetap akan meletakkan calon di semua kerusi yang ditandingi kerana
itu adalah hak parti tersebut.
Sudah pasti kenyataan dua pemimpin Pas
ini akan dianggap angkuh oleh pemimpin dan penyokong Amanah tetapi dalam
masa sama mereka juga perlu menerima hakikat mana mungkin Pas memberi
laluan kepada sebuah parti yang dilahirkan berikutan tindakan bekas
pemimpin Pas sendiri. ‘Luka’ yang ditinggalkan oleh bekas-bekas pemimpin
Pas yang bergabung dalam Amanah bukanlah kecil malah ia memungkinkan
Pas buat seketika berada dalam keadaan kucar-kacir.
Pas terpaksa mengumpulkan kembali
kekuatan dan memperbaiki segala kerosakan yang berlaku di semua
peringkat akibat tindakan pemimpin-pemimpin Amanah. Kelompok itu
bertindak keluar parti bukan kerana Pas meninggalkan perjuangan Islam
tetapi hanya semata-mata tewas dalam pemilihan parti yang diadakan.
Oleh itu, mana mungkin Pas begitu mudah
memaafkan pemimpin-pemimpin Amanah yang ketika ini masih mengharapkan
dapat mewujudkan kerjasama dengan Pas selepas Pas menolak untuk
bergabung dalam pakatan pembangkang baharu yang dianggotai oleh PKR, DAP
dan Amanah.
Jika mana-mana pihak mahu menyatakan Pas
angkuh kerana tidak mahu bekerjasama dengan pembangkang kecuali PKR,
bagaimana pula dengan keangkuhan Amanah dan DAP?
Pemimpin-pemimpin Amanah sebelum ini
begitu yakin mereka akan mendapat sokongan justeru mereka bertindak
keluar daripada Pas. Ketika membuat keputusan itu adakah mereka
memikirkan soal bertanding dalam PRU? Atau sememangnya mereka ingin
menjadi “sukarelawan’ kepada DAP dan PKR dalam pilihan raya umum nanti
kerana semua kerusi pembangkang sudah ada pemiliknya?
Bagaimana pula dengan DAP yang tidak
pernah mahu menunjukkan rasa hormat terhadap perjuangan Islam Pas?
Apakah DAP tidak angkuh apabila hanya mempertahankan prinsip perjuangan
sendiri tetapi tidak mahu menghormati prinsip perjuangan parti-parti
lain dalam pakatan pembangkang.
Melalui kenyataan Tuan Ibrahim dan
Mohd.Amar, Pas bukanlah angkuh. Pas sekadar mempertahankan haknya dan
tidak boleh selama-lamanya beralah dengan kemahuan politik parti lain.
Yang beria-ia benar dan begitu gembira dengan kelahiran Amanah ialah
pemimpin DAP dan PKR, oleh itu kedua-dua parti itulah sepatutnya
bersedia mengorbankan kerusi mereka kepada Amanah.
PKR dan DAP tidak boleh memaksa Pas
menyerahkan kerusi parti itu kepada Amanah, kalau mereka sendiri tidak
rela kerusi mereka diberikan kepada Pas. Janganlah setiap kali pakatan
pembangkang bercakap mereka perlu borkorban dalam pilihan raya, yang
hanya diminta berkor-ban, melakukan pengorbanan dan ‘terkorban’ adalah
Pas. Kalau mahu bercakap soal pengorbanan, Amanah paling layak untuk
‘dikorbankan’ kerana parti itu tidak mempunyai apa-apa kekuatan selain
pemimpin-pemimpinnya masih bergelar wakil rakyat atas kemenangan ketika
menjadi calon Pas dahulu.
Pas perlu mempertahankan ketegasannya
dalam soal pembahagian kerusi tersebut. Janganlah mudah lentur atau
mengaku kalah semata-mata kerana terpengaruh dengan dakyah kononnya
kedegilan mereka akan membantutkan usaha pakatan pembangkang
menumbangkan Barisan Nasional (BN).
Dalam keadaan apa sekalipun, BN ada
kekuatan sendiri khususnya dalam kalangan orang Melayu yang semakin muak
dengan mainan politik yang ditunjukkan oleh PKR dan DAP. Ada dalam
kalangan mereka adalah penyokong tegar Pas. Bagi mereka, tidak mengapa
kalau kalah dalam pilihan raya daripada awal-awal lagi sudah tewas
apabila terus tunduk dengan kehendak politik PKR, DAP dan Amanah.
Cukup-cukuplah derita yang ditanggung ketika Pas berada dalam pakatan
pembangkang dahulu.
Pas tinggalkan pakatan pembangkang
kerana DAP, Pas tidak mahu menyertai pakatan pembangkang disebabkan oleh
Amanah, oleh itu tak kanlah tiba-tiba Pas begitu mudah mahu memberikan
kerusi kepada Amanah sedangkan yang tetap akan meraih keuntungan dalam
apa juga situasi ialah DAP. Kalau pun Pas hendak berkorban demi
perjuangan meraih kuasa biarlah bertempat kerana percayalah tiada parti
pembangkang yang bersedia melakukan pengorbanan demi Pas.
Apa yang sering orang Melayu saksikan,
Pas yang banyak berkorban termasuklah dari segi tenaga dan jentera bagi
memenangkan calon pakatan pembangkang dalam pilihan raya tetapi
kesudahannya Pas menjadi ‘lebai malang menang sorak kampung tergadai’
apabila bukan sahaja dilayan ibarat ‘melukut di tepi gantang’ malah
kerusi miliknya pun jadi milik orang lain apabila wujudnya Amanah.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment