Tuesday, October 06, 2015
MT PKR Gesa Wan Azizah Jawab Mengapa Lancar Pakatan Harapan
PETALING JAYA : Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail dijangka berdepan masa yang sukar pada mesyuarat
tergempar Majlis Tertinggi parti pada Ahad ini.
Mesyuarat itu dipanggil selepas 25 ahli Majlis Tertinggi
(MT) menghantar petisyen bagi membincangkan tentang pelancaran spontan
pakatan pembangkang baharu, Pakatan Harapan oleh Dr Wan Azizah pada 21
September lalu.
Pengumuman itu dibuat oleh Dr Wan Azizah selepas mesyuarat meja bulat
melibatkan parti-parti pembangkang dan juga pertubuhan bukan kerajaan
bagi membincangkan peranan pembangkang dan hala tuju yang bakal berlaku
dalam politik negara.
Apa yang mengejutkan, salah seorang pengikut setia Dr Wan Azizah,
Exco Kerajaan Negeri Selangor Elizabeth Wong, juga menandatangani
petisyen itu, bersama Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Ahli Parlimen Padang
Serai N. Surendran, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Lee Hoy Sian
dan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.
Ahli Majlis Tertinggi terkenal lain yang menandatangani petisyen itu
adalah Adun Sri Muda Shuhaimi Shafiei, Adun Kampung Medan Haniza Talha,
Adun Kota Anggerik Dr Yaakob Sapari dan Adun Batu Caves, Amirudin Shari.
Sumber dalaman PKR berkata barisan pemimpin parti terkejut apabila Dr
Wan Azizah melancarkan gabungan pakatan baharu itu tanpa
membincangkannya di peringkat Majlis Tertinggi.
“Apa yang dibincangkan adalah, mesyuarat meja bulat itu akan menjadi
perhimpunan awal untuk percambahan fikiran,” kata sumber itu sambil
menambah mengikut perancangan, beberapa perbincangan akan diadakan
sebelum sebarang pengumuman atau keputusan mengenai masa depan
pembangkang dibuat.
Petisyen yang ditandatangani pada 22 September itu menyatakan bahawa
pelancaran Pakatan Harapan ini melanggar keputusan yang dibuat pada
mesyuarat Majlis Tertinggi PKR pada 20 September.
“Kami terkejut dengan apa yang berlaku selepas mesyuarat meja bulat
itu, kerana sebahagian daripada kami berpandangan PAS tidak boleh
dikecualikan daripada pakatan pembangkang,” kata sumber dalaman itu.
Tambahnya, kumpulan kecil pemimpin PKR juga mengesyaki bahawa pengumuman Dr Wan Azizah itu amat dipengaruhi oleh DAP.
Beliau berkata, PKR mesti kekal sebagai parti dominan dalam pakatan
pembangkang dan ada yang tidak selesa apabila Dr Wan Azizah, selaku
Ketua Pembangkang, mungkin gagal untuk mengekalkan pendirian ini kerana
penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di penjara.
Salah seorang penandatangan petisyen, yang tidak mahu namanya
disiarkan berkata mesyuarat Majlis Tertinggi pada 20 September telah
menyokong usaha Dr Wan Azizah untuk mengadakan perbincangan meja bulat
tetapi juga memutuskan bahawa tiada pengumuman dibuat.
“Mesyuarat memutuskan bahawa sebarang cadangan yang dibuat pada
mesyuarat meja bulat akan dibincangkan lagi pada mesyuarat Majlis
Tertinggi akan datang,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment