Tuesday, October 06, 2015
Krisis Jerebu Harus Ditangani Di Peringkat Asean – Subramaniam
BUTTERWORTH : Malaysia perlu menggunakan status sebagai pengerusi
Asean tahun ini, untuk menangani krisis jerebu yang melanda rantau ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata Malaysia
boleh membawa perkara ini untuk dibincangkan dalam mesyuarat serantau
supaya isu jerebu dapat diselesaikan.
Menurutnya, langkah yang terbaik bagi menangani krisis ini
adalah menggunakan apa sahaja cara dalam rangka kerja Asean supaya ia
dapat ditangani semua anggota pertubuhan itu.
“Krisis jerebu ini bukan perkara baru dan setiap tahun,
Malaysia mengharapkan Indonesia menyelesaikan masalah ini, namun
Indonesia gagal menanganinya.
“Masalah ini bukan masalah satu negara lagi, kita harus melihatnya
sebagai masalah serantau dan Malaysia sebagai pengerusi boleh membawa
perkara ini ke mesyuarat Asean supaya satu agenda dapat ditubuhkan,”
katanya kepada pemberita sebelum merasmikan Konvensyen MIC Pulau Pinang
di sini, semalam.
Beliau berkata krisis jerebu ini telah menjejaskan aktiviti harian
beberapa negara serantau iaitu Malaysia, Brunei dan Singapura.
Subramaniam berkata program pelaksanaan bersama anggota serantau
boleh dilakukan sekiranya isu ini telah dibawa dalam perbincangan
peringkat Asean.
“Pandangan dan kerjasama di kalangan anggota Asean akan membantu dalam menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Keadaan jerebu melanda negara beberapa hari lepas telah
menyebabkan sekolah terpaksa ditutup dan pendaratan dan pelepasan
penerbangan di lapangan terbang terjejas.
Sementara itu, Subramaniam berkata beliau masih belum menerima
sebarang cadangan daripada penganjur Hari Sukan Negara untuk menangguh
program tersebut.
“Mungkin penganjur masih mengharapkan cuaca akan baik dalam beberapa hari ini,” katanya.
Hari Sukan Negara pada 10 Okt ini, bakal diadakan Sabtu minggu kedua
Oktober setiap tahun di seluruh negara, bagi meningkatkan kesedaran
rakyat agar mengamalkan gaya hidup sihat dan kekal cergas serta
menjadikan Malaysia sebagai negara bersukan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment