Monday, October 19, 2015
Khairuddin, Matthias Chang Mula Prosiding Hina Mahkamah Terhadap Peguam Negara
KUALA LUMPUR : Bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri
Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang Wen Chieh akan memulakan
prosiding menghina mahkamah terhadap Peguam Negara Tan Sri Mohamed
Apandi Ali.
Peguam mereka, Mohamed Hanif Khatri Abdulla memaklumkan Hakim Mahkamah
Tinggi Datuk Mohd Azman Husin pada Isnin bahawa anak guamnya mengarahkan
beliau untuk berbuat demikian dalam masa terdekat selepas Mohamed
Apandi mengadakan sidang akhbar pada 13 Oktober mengenai kedua-duanya
yang didakwa cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.
Mohamed Hanif berkata anak guamnya memfailkan usul berhubung dengan dakwaan itu pada 10.30 pagi 13 Oktober.
Peguam Negara mengadakan sidang akhbar pada 2.30 petang hari yang sama, menjelaskan mengenai dakwaan itu.
"Ia adalah aduan daripada pemohon (Khairuddin dan Chang) bahawa
kandungan sidang akhbar itu ialah perkara-perkara yang subjudis di
hadapan mahkamah yang mulia," katanya kepada mahkamah sebelum bermulanya
pendengaran usul itu.
Oleh itu, katanya, terdapat satu bahaya prejudis yang begitu besar dan sebenar terhadap penetapan usul anak guamnya.
Pada sidang akhbar di Jabatan Peguam Negara, Mohamed Apandi menjelaskan
mengenai peruntukan undang-undang yang digunakan dalam kes Khairuddin
dan Chang.
Beliau berkata mereka didakwa mengikut Kanun Keseksaan dan bukannya Akta
Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Khairuddin, 53, dan Chang, 65, didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun
Keseksaan (Akta 547) dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang
membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun jika sabit kesalahan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lima lokasi antara 28 Jun dan 26 Ogos tahun ini.
Lokasi berkenaan adalah pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan
Kewangan Perancis di Paris, Balai polis Charing Cross, London, United
Kingdom, Pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern, Balai polis WaiChan,
Hongkong dan Ibu Pejabat Polis Cantonment, Singapura.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment