Tuesday, October 06, 2015
MINDEF Sedia Beri Komitmen Bantu Bawa Masuk Pelarian Syria Ke Negara Ini
KUALA LUMPUR : Kementerian Pertahanan menyatakan kesediaan
untuk memberi sepenuh komitmen terhadap usaha membawa masuk 3,000
pelarian Syria ke negara ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyahut
hasrat berkenaan yang disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak ketika berucap pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa
Bersatu Khamis lepas.
“Ini kerana ia berlandaskan kepada hak keperimanusiaan yang akan
meletakkan Malaysia sebaris dengan negara lain yang terlibat dalam
membantu mereka,” katanya selepas melancarkan ‘Malaysians United Run
2015’ di sini hari ini.
Perdana Menteri menyatakan kesediaan Malaysia menerima 3,000 pelarian
Syria dalam tempoh tiga tahun bagi membantu meringankan krisis pelarian
yang menyebabkan tekanan sosial dan ekonomi kepada negara Eropah.
Hishammuddin berkata bentuk bantuan akan diputuskan Kementerian Dalam Negeri.
Mengenai ‘Malaysians United Run 2015’, Hishammuddin berkata program
anjuran Institut Onn Jaafar itu diadakan julung kali bagi menyemai
semangat perpaduan dan cintakan negara dalam kalangan generasi muda.
Ditanya sekiranya situasi jerebu diambil kira, Hishammuddin berkata
aras maksimum bacaan Indeks Pencemaran Udara bagi program itu akan
ditetapkan.
Katanya sejumlah 15,000 pelajar berusia 18 hingga 24 tahun dari 27
institusi pengajian tinggi tempatan akan terlibat dalam larian itu,
sekaligus melakar nama dalam Malaysia Book of Records sebagai program
larian sukarela melibatkan penyertaan terbesar pelajar institusi
pengajian tinggi.
Larian sejauh empat kilometer itu akan diadakan di Padang Merbok,
Kuala Lumpur, 1 Nov ini dari 6.30 pagi sehingga 10 pagi dan akan turut
disertai Hishammuddin.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment